9/08/2009

Syaitan, Nafsu, Tarbiyyah Ramadhan

18 Ramadhan 1430/8th September 2009
5:54 pm


“Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh (mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (35:5-6)


Satu petang aku mentadabbur beberapa ayat dari surah Fathir. Dua ayat ini sangat mengetuk-ngetuk pintu hatiku. Amat pedih. Kerana benar-benar terasa seperti Allah ingin memberi peringatan kepadaku hakikat kejadian dunia ini.


Itulah dia sunnatullah. Allah tidak akan menciptakan sesuatu makhluq dengan sia-sia, tapi pasti ada hikmahnya. Allah tidak menjadikan iblis hanya kerana ingin menyusahkan kita sebagai manusia. Tapi kerana Allah ingin menguji kita, setakat mana ketaqwaan, keimanan dan keyakinan kita kepada Allah dan janji-janjiNya. Dan sesungguhnya Allah itu tidak pernah dan tidak akan memungkiri janjiNya. Hanya kita manusia yang mudah terpedaya dengan tipu daya syaitan yang senantiasa berusaha memesongkan aqidah kita.

Kerana itulah Allah ingin memberitahu kita supaya menjadikan syaitan itu sebagai musuh kita. Dan bukan setakat mengatakannya dengan lidah sahaja, tetapi benar-benar menganggap syaitan itu sebagai musuh dengan hati kita. Dan sudah pasti musuh itu patut dibenci dengan sebenci-bencinya.


Memang kita tidak pernah menganggap syaitan itu sebagai sahabat. Tetapi dalam tidak sedar syaitan itu hidup dalam hati kita. selagi kita masih terdorong untuk melakukan perkara maksiat, selagi itu sebenarnya kita membiarkan syaitan bermaharajalela dalam hati kita. Ya, mungkin kita tidak melakukan maksiat-maksiat yang besar. Tetapi, sesungguhnya syaitan itu sudah dikenali dengan sifat liciknya. Dia akan mendekatkan kita dengan perkara-perkara syubhah yang lama-kelamaan menjadikan kita sangat jauh dengan Allah. Sehingga kita rasa sangat enak dibuai mimpi di siang hari dan membuahkan rasa malas. Sehingga kita khayal menonton televisyen sehingga terlepas waktu solat. Sehingga dalam solat sendiri pun, syaitan sangat berusaha untuk melonggarkan ikatan antara kita dengan Allah dengan mengganggu kekhusyukan kita. Na’uzubillah min zaalik. Hanya pada Allah kita mohon perlindungan.


Firman Allah SWT:
“Maka apakah orang yang dijadikan (syaitan) menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia meyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan)? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; maka janganlah dirimu binasa karena kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (35:8)


Adakah kita tergolong dalam golongan yang Allah firmankan dalam ayat ini? Adakah kita tergolong dalam golongan yang menganggap biasa sahaja perbuatan maksiat kita, atau lebih teruk lagi, memandang indah atau cantiknya perbuatan itu. Astaghfirullah… Sesungguhnya hidayah itu hanya milik Allah. Aku sungguh tidak mahu termasuk dalam golongan yang Dia sesatkan. Perbanyakkanlah berdoa, wahai sahabat, supaya Allah tetapkan hati kita dalam iman.


…………………………………………………………………………….


Alhamdulillah, kini sudah menjangkau ke ‘separuh masa kedua’ kita bertarung dalam bulan Ramadhan ini. Kenapa menggunakan perkataan bertarung? Bagi aku, perkataan itu sangat sesuai digunakan dalam konteks ini kerana sudah pastinya berlawan dengan nafsu amatlah sukar dan perlukan mujahadah yang amat tinggi.


Mari kita renung kembali ke ‘separuh masa pertama’ dalam pertarungan kita. Mari kita bermuhasabah. Sepatutnya pada waktu ini, tahap ibadat kita sudah mencapai tahap yang lebih tinggi dari yang sebelumnya. Sepatutnya tahap iman dan taqwa kita juga begitu, hasil pentarbiyyahan bulan Ramadhan. Atau masih ditakuk lama? Tiada peningkatan?


Mengapa boleh jadi begitu? Padahal seperti yang kita semua ketahui, syaitan dan jin semuanya sedang dibelenggu. Tanpa godaan syaitan, tidakkah sepatutnya kita dapat lebih tekun beribadah dengan perasaan yang tenang sekali?


Itulah propaganda syaitan yang terkeji. Sungguh, usaha syaitan itu berhasil kerana berjaya mendidik nafsu kita ke arah kemaksiatan. Sehingga tanpa kewujudannya, kita masih boleh terdorong untuk melakukan perkara yang tidak baik. Andaikanlah jika ia berterusan jadi begini, bayangkanlah, syaitan sendiri boleh duduk berehat goyang kaki, bergelak ketawa, mem’padan muka’kan kita, kerana telah lemas terus dalam lembah kemaksiatan itu.


Tetapi, wahai sahabat, Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Allah tidak akan membiarkan kita lemas begitu sahaja, tetapi Allah mengurniakan pelampung buat kita. Ramadhan ini adalah untuk kita, wahai sahabat. Allah hadiahkan buat kita supaya kita dapat didik kembali nafsu kita ke arah yang soleh. Puasa di bulan Ramadhan ini bukanlah kerana kejamnya Allah kepada kita, malah kerana Allah sangat cinta dan sayang kepada hamba-hambaNya. Puasa di bulan Ramadhan ini adalah untuk kita bermujahadah mentarbiyyah diri dan hati kita menghadapi segala ujian dan dugaan melawan hawa nafsu. Ramadhan ini juga adalah peluang keemasan bagi kita untuk bermujahadah dalam beribadat. Ramadhan ini adalah waktu untuk kita kumpulkan kembali kekuatan dan memasang perisai yang kalis dengan serangan-serangan syaitan apabila mereka dibebaskan nanti.


Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya syaitan ini tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.” (16:99-100)


Oleh itu, mari kita sama-sama berusaha membina perisai iman dan tawakkal untuk mempersiapkan diri menghadapi musuh utama kita!!!!


Selamat beramal...



Wallahu a’lam...

No comments: