2/17/2013

Semangat Orang Muda

6th Rabi’ul Akhir 1434 / 17th February 2013
7:18 am

Bangun pagi… gosok gigi… mandi-mandi… sarung baju… terus melangkah keluar mencari rezeki…
Jam sudah menunjukkan pukul 5.30pm. Sudah waktu pulang dari kerja. Hooooraaaayyy!!!! Bagaikan syurga di hadapan, berlari menuju ke kenderaan untuk meneruskan aktiviti untuk sisa-sisa hari. “Apa nak buat malam ni, ya?”

Berpuluh rancangan bermain di kepala. Menonton wayang, kah? Bermain badminton di pusat sukan, kah? Shopping, kah? Atau hanya lepak-lepak bersama kawan-kawan, kah?

Balik ke rumah pukul 12 tengah malam. Aktiviti untuk hari esok sudah sedia dirancang. Begitu juga untuk hari minggu, dan musim cuti yang panjang. Tiket Air Asia (wah… promote…) ke negara “Winter Sonata” sudah lama dibeli, hanya menunggu masanya sahaja untuk berjalan-jalan, bersiar-siar, menjelajah tanah yang asing itu.

Wah, semangat betul orang muda. Itulah fitrahnya. Bukankah seringkali kita dengar akan hadis ini:


“Manfaatkan masa muda sebelum masa tua”. Ya, kerana pada masa muda itulah kita masih bertenaga untuk melakukan apa yang PERLU kita lakukan. Oh, sangat sia-sialah jika menggunakan masa muda kita dengan hanya berlibur, tanpa sedikit pun diabadikan buat Yang Maha Menciptakan Masa, Yang Maha Mengurniakan Kesihatan, Yang Maha Memberikan Rezeki, Yang Maha Memberikan Kehidupan… Oh, biadap sungguh kita….

“Laa… yang aku duk buat kerja, jumpa-jumpa kawan, gi jalan-jalan… semuanya kerana Allah tu.. Lagipun bukan aku tak solat…”

Oh, baguslah, anda niatkan semuanya kerana Allah. Saya harap di setiap saat anda beraktiviti itu, bibir anda tidak henti berzikir mengingati kekuasaan dan kemuliaan Allah SWT.

Kadang-kadang rasa sukar, kan?

Ya, kita hanyalah manusia yang mudah saja alpa dan lupa…

Maka, janganlah terlupa untuk mengabdikan sedikit dari masa seharian kita untuk mengejar ilmu Allah. Bukan sahaja ilmu yang hanya diletakkan di kepala… Tapi, ilmu yang akan tergambar dengan amal dan menguatkan iman.

Tak gunalah jika kita buat aktiviti seharian kerana Allah, tapi secara fizikalnya, oh, tidak tergambar pun seperti hamba Allah yang seperti digariskan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT:

“Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur-angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai nyanyuk, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya… (Surah al-Hajj:5)

Ingatlah, hidup kita ini sepanjang-panjangnya sentiasa bersemangat dan bertenaga. Sampai masanya kita akan kembali seperti bayi yang serba tidak mampu. Perlu didukung untuk bergerak, perlu disuap untuk makan.

Jom kembali kepada Allah selagi umur masih ada. Jadilah manusia yang berwatakkan al-Quran….


Aku menulis hanya untuk muhasabah buat diri sendiri, juga sebagai tazkirah buat yang lain.


Wallahu a’lam…