11/20/2008

Skodeng....

22 Dzulqaedah 1429/20th November 2008
4:41am


Pada awal pagi yang hening ini, aku terbangun dari tidur. Alhamdulillah, aku masih lagi dikurniakan nikmat hidup selepas aku dimatikan buat sementara waktu. Alhamdulillah, lena tidurku tadi. Aku melihat jam, “Ish, baru kul 4. Awalnya aku bangun…” Yep, memang awal. Tapi, sudah cukup 6 jam aku tertidur. Kesejukan hari semalam menyebabkan aku tertidur seawal jam 9pm. Huhuhu…


Di waktu ini, suhu mencecah 0 deg centigrade di Sheffield. Walaupun sepatutnya waktu ini adalah musim luruh (autumn), namun, musim sejuk bagaikan sudah memanggil-manggil. Pelik juga dengan pertukaran musim yang mendadak ini. Inilah akibat daripada ‘global warming’. Mmm…

Aku memandang ke luar tingkap. Aku gemar melihat pemandangan luar dari jendela bilikku, tambahan lagi bilikku ini di bahagian attic rumah. Pada jam ini, masih lagi terdapat beberapa manusia yang berpeleseran di luar rumah. Bukan sahaja berpeleseran, malah membuat bising pula. “Mesti baru balik dari pub ni. Ish…ish… ish….!!”

Tiba-tiba, terdetik di dalam hati. Eh, entah-entah mereka baru balik dari IC (Information Commons – university library yang berdekatan). Mungkin mereka sedang bergembira kerana mereka baru sahaja dapat menyiapkan assignment atau projek mereka. Astaghfirullah al-Azim… sungguh buruk sangkaanku kepada mereka.

Begitulah. Kita terlalu mudah untuk berprasangka buruk terhadap orang lain. Walaupun orang yang kita bersangka buruk itu bukanlah orang yang mempunyai ikatan aqidah yang sama dengan kita, tetapi mereka juga berhak untuk mendapat persepsi yang baik dari kita. Apakah salah mereka sehinggakan kita sering sahaja menaburkan tanggapan buruk, dan lebih teruk lagi, fitnah ke atas mereka. Kejam, kan kita ni?

Aku teringat satu kisah yang seringkali berlaku kepada kita. Cik A berjalan pulang dari kelas. Tiba-tiba ternampak pula seorang wanita. Nampak macam orang Malaysia. Tapi tidak bertudung. Berkepit pula dengan seorang lelaki. Berpegangan tangan. Lelaki itu pula dengan beraninya merangkul pinggang wanita itu. Ish, berani betul. Tak malu betul. Sungguh lancang mulut Cik A mengutuk-ngutuk perbuatan pasangan itu.

Tiba-tiba, wanita itu tersenyum pada Cik A. “Assalamualaikum. Orang Malaysia, ke?”
Oleh kerana wanita itu telah menegurnya, maka Cik A pun membalas senyumannya, “A’ah, orang Malaysia.”

“Oo… Dah agak dah. Sebab macam terdengar cik bercakap tadi. Tak kenal sangat orang-orang di sini. Saya dan suami saya ni baru je sampai dari Malaysia.”


Sungguh memalukan apa yang telah Cik A itu lakukan. Sungguh pantas Cik A membuat tanggapan terhadap wanita baik itu. Menabur fitnah tanpa sebarang bukti. Hanya kerana wanita itu tidak mengenakan hijab di kepalanya, pantas benar Cik A membuat andaian buruk terhadapnya. Padahal, wanita itu yang terlebih dahulu menghulurkan kata salam kepadanya.

Satu lagi kisah yang pernah diceritakan oleh seorang ustaz kepada kami dalam sebuah program. Satu hari, Ust M pergi ke sebuah kedai mamak bersama seorang rakannya yang datang dari Yaman untuk bercuti di Malaysia. Rakannya itu merupakan seorang syeikh yang amat dikenali dengan kewara’annya. Hendak dijadikan cerita, sedang mereka makan itu, Ust M meliarkan pandangannya ke sekitar gerai itu. Hampir di setiap meja itu terdapat pasangan lelaki dan perempuan makan bersama-sama. Berasa tidak sedap hati, maka Ust M berkata kepada sahabatnya, “Ya Akhi, macammana ni. Takkan nak duk diam je macam ni. Banyak couple bersepah-sepah tu.”
“Mana?” kata sahabatnya itu.
“Tu…. Bersepah-sepah kat sini.” Ust M memuncungkan mulut ke arah salah satu meja berdekatan mereka.
“La… apa pulak.. tu kan abang dengan adik tu makan bersama-sama. Biarkanlah…”


Begitulah. Itulah didikan yang diterimanya. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah bagaimana didikan yang diterima oleh mereka bahawa berjalan berdua-duaan sesama ajnabi itu salah. The keyword is ‘didikan’. Kerana didikan itu, maka di dalam masyarakat mereka memang jarang kelihatan pasangan couple duduk berduaan atau ‘dating’, kecuali hanya sesame mahram sahaja. Maka, masyarakat mereka sentiasa bersangka baik antara sesame mereka, oleh kerana didikan yang mereka terima itu. Mereka yakin, dengan didikan yang diterima oleh msayarakat mereka, maka sepatutnya tiada siapa yang akan membuat sesuatu yang bercanggah dengan syariat Islam itu.

Cuba kita reflex pula pada keadaan masyarakat di Malaysia. Memang tak dapat dinafikan, memang masih ramai lagi maksiat-maksiat yang berlaku di depan mata. Bukan ingin bersangka buruk, namun itulah hakikatnya. Maksiat zina berlaku merata-rata. Dan apakah tindakan kerajaan untuk membanteras masalah ini sebagai sebuah Negara Islam? Adakah dengan hanya tertubuhnya Badan Pencegah Maksiat, maka kemaksiatan dapat dibanteras? Personally, aku kurang bersetuju dengan tindakan badan pencegah maksiat itu. Kenapa? Kita lihat kembali apa yang telah diajar kepada kita di dalam al-Quran dan sirah. Bagaimanakah Rasulullah berusaha untuk membanteras jenayah kemaksiatan di kalangan umat. Tidak lain dan tidak bukan, adalah dengan dakwah baginda. Baginda dengan bersusah payah mendidik setiap hati umat Banginda, terapkan aqidah yang mantap dalam diri setiap manusia. Supaya setiap manusia takut untuk melakukan dosa, semata-mata takut akan kemurkaan Allah. Bukanlah dengan menubuhkan satu badan untuk berkeliaran di waktu malam untuk ‘mencari’ kalau-kalau adanya maksiat yang berlaku. ‘Mencari’. MENCARI…!!

Perkara ini seolah-olah mereka sudah dapat mengagak bahawa akan adanya maksiat yang bakal berlaku lalu mereka ingin mencarinya. Tetapi, tidak pernah untuk cuba mencegah sebarang maksiat untuk berlaku di masa hadapan. Kalau dapat mencegah pun, adalah kerana mereka takutkan Badan Pencegah Maksiat itu, bukan kerana takutkan Allah!!. Bukankah badan itu terdiri daripada manusia-manusia juga yang punya banyak kelemahan. Jika takutkan BPM, orang-orang yang suka membuat maksiat ini akan mencari tempat lain yang tak dapat dicapai oleh BPM ini pula. Kerana mereka tidak takut bahawa Allah sedang melihat segala gerak laku mereka dan even mengetahui apa yang ada di hati mereka. Tidak takut…. Astaghfirullah… takutnya aku jika kita terjatuh ke lembah syirik.

Teringat aku kepada satu kisah sahabat Rasulullah. Kita sedia mengetahui bahawa pada zaman jahiliyyah, kebanyakan daripada manusia pada zaman itu gemar meminum arak. Apabila turunnya wahyu Allah kepada Nabi Muhammad SAW di Mekah, mereka masih lagi dibenarkan untuk meminum arak kerana tiadanya wahyu larangan akannya. Seawal itu, wahyu banyak berkisarkan hanya pada keteguhan aqidah. Tiada lagi ayat suruhan solat, puasa dan aurat. Namun, pada tahun ketiga hijrah (kalau tak silap, afwan kalo tersilap. Nanti boleh betulkan), wahyu larangan meminum arak telah diturunkan.
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mendekati solat, ketika kamu dalam keadaan mabuk, sampai kamu sedar apa yang kamu ucapkan…” (4:43)

Dan apa yang terjadi selepas larangan itu diturunkan? Kaum-kaum muhajirin dan Ansar pada ketika itu lantas memecahkan semua botol-botol arak yang terdapat pada ketika itu. Kerana sudah kuatnya aqidah mereka. Kerena hati mereka sudah pun terdidik dengan cahaya Islam.
Hendak dijadikan cerita, pada zaman pemerintahan Khalifah Umar ra, terdapat seorang ‘informer’ yang mengatakan si fulan bin si fulan ini masih meminum arak di rumahnya secara senyap-senyap. Ya, sukar untuk menghentikan secara sekali gus perbuatan yang sudah menjadi tabiat. Si fulan ini tidak boleh meminum arak secara terang-terangan di khalayak ramai kerana pada waktu itu sudah bertapaknya Islam yang kuat di bumi itu, sehingga dia sendiri malu untuk membuat dosa.


Selepas Umar ra mendengar berita itu, maka pada suatu malam, Umar pergi ke rumah si fulan untuk mengintip perbuatannya itu. Benar berita yang didengarinya itu. Si fulan itu secara sembunyi-sembunyi sedang meminum arak yang telah nyata haramnya itu. Maka, Umar pun secara diam-diam memasuki pintu belakang rumah si fulan itu untuk menangkapnya kerana kesalahannya.

“Haa….. abeslah ko, si fulan… aku dah dapat tangkap ko minum arak….”
“Uish… tergezut aku…”
“Ko dah dapat tangkap ko buat satu kesilapan dan dosa yang besar. Aku sendiri menyaksikan.”
“Wahai Umar. Kau hanya melihat aku membuat satu sahaja kesalahan. Tetapi aku melihat kau melakukan 3 kesilapan. Yang pertama, kau memasuki rumahku tanpa meminta izinku…
[Daripada Abu Said al-Khudri:
Ketika aku hadir ke satu perjumpaan orang-orang Ansar, Abu Musa telah dating seperti dalam keadaan ketakutan, dan dia berkata, “Aku telah meminta izin untuk masuk ke rumah Umar sebanyak 3 kali, tetapi aku tidak diberikan keizinan, jadi aku pun pulang.” (Apabila Umar mengetahui hal ini) dia berkata kepada Abu Musa, “Kenapa kau tidak masuk?” Abu Musa menjawab, “Aku telah meminta izin sebanyak 3 kali, dan aku tidak diberikannya, jadi aku pun pulang, kerana Rasulullah SAW telah bersabda, “Jika sesiapa yang meinta kebenaran untuk memasuki satu rumah sebanyak 3 kali, dan keizinan itu tidak diberikan, maka, dia patut pulang.”... (HR Bukhari)]


Yang kedua, kau memasuki rumahku dari pintu belakang…
[Bara’ berkata:
Apabila orang Ansar mengerjakan haji, mereka tidak memasuki rumah mereka kecuali dari pintu belakang. Seorang dari golongan Ansar telah datang dan mula memasuki rumah dari pintunya, tetapi telah diberitahu kepadanya (kenapa dia berbuat sesuatu yang bertentangan dengan adat resam untuk memasuki rumah dari pintu belakang). Kemudian baris ini telah menunjukkan: “Adalah satu amalan yang tidak baik untuk mendatangi suatu rumah dari pintu belakang.” (HR Muslim)]


Yang ketiga, kau telah mengintip dan menghendap perbuatanku.
[Sahl b. Sa'd as-Sa'id berkata:
Seseorang telah menghendap melalui satu lubang di pintu Rasulullah SAW, dan pada waktu itu Rasulullah SAW sedang memegang satu alat untuk menggaru kepalanya. Apabila Rasulullah SAW melihatnya, Baginda bersabda, “Jika aku mengetahui kau sedang mengintai melalui pintu itu, aku akan menjolok matamu dengan alat ini.” Dan Rasulullah SAW menambah lagi, “Keizinan diperlukan untuk mengelakkan pengintipan.” (HR Muslim)]”


Terkena dengan ayat-ayat si fulan itu, maka Umar pun tersedar malu. Maka Umar ra pun pulang ke rumah tanpa memberkas si fulan atas kesalahannya meminum arak itu.

Apakah moral value dari kisah itu? Jangan salah faham. Bukannya kita tidak dibenarkan untuk menegur kesalahan orang lain. Malah, kita memang diWAJIBkan untuk menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kejahatan (amar ma’ruf nahi munkar). Tetapi, untuk menegur kesalahan orang lain, ada cara-caranya. Jangan kita menegur kesalahan orang lain, tetapi pada masa yang sama kita telah pun secara tida sedar melakukan perkara yang telah dilarang. Objektif kita adalah untuk memperbetulkan kembali akhlaq seseorang, bukan mencari salah seseorang. Dan cara yang terbaik adalah dengan mendidik hatinya. Alangkah bagusnya jika BPM di Malaysia mengambil tindakan dengan memperbanyakkan kursus-kursus atau program-program yang boleh mendidik remaja dan muda-mudi supaya sentiasa berada dalam lingkungan Quran dan sunnah. Dan ianya harus diiringi dengan keikhlasan. Itulah sebaik-baiknya. Cara menyentuh hati adalah dengan hati. Cara untuk mendidik hati seseorang adalah dengan membersihkan hati kita sendiri. Jika hati kita sendiri tidak bersih, masakan kita boleh menyentuh hati orang lain.


Namun begitu, jangan menjadikan alasan ini untuk tidak mahu melakukan amar ma’ruf nahi munkar. Tugas ini wajib dijalankan despite of everything. Malah, dengan menjalankan tanggungjawab inilah kita secara tidak langsung akan berusaha untuk memperbaiki diri sendiri…


Wallahu a’lam….