9/07/2008

Merdeka!!!!!?

29 Sya’ban 1429/31st August 2008
11:14 am


MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!!!!!!!!
Lantang sungguh pemuda-pemudi negara melaungkan kemerdekaan. Semangat mereka berkobar-kobar. Sanggup mereka berasak-asak menuju ke Taman KLCC, semata-mata ingin bersama-sama remaja-remaja atau pemuda-pemudi lain menyambut kemerdekaan yang ke-51 tahun Negara kita Malaysia. Bersama-sama ingin memeriahkan konsert istimewa merdeka. Melompat sana-sini. Menjerit terlolong sana-sini. Asyik amat berpesta merdeka. Wah… merdekanya hati mereka….

Beberapa jam sebelum detiknya pukul 12 tengah malam, seorang sister yang kukenali semasa di Sheffield menegurku di Yahoo Messenger.
N : Baru teringat yang esok hari merdeka Malaysia
N : Hopefully, sambutan merdeka thn ni tak lah seteruk tahun2 yang dulu…
N : Yela, sebab esoknya tu kan kita nak puasa…
Aku : Betul3….


Namun, tidak ada apa yang berubah. Masih lagi ditakuk lama. Merdeka masih lagi disambut dengan iringan konsert-konsert di sana sini. Kebanyakan stesen television juga menyiarkan rancangan-rancangan konsert tersebut, tidak kira rakaman mahupun siaran langsung. Aku berfikir. Bukanlah salah mereka 100% kerana tidak memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya. Ini kerana budaya yang diamalkan pada ketika ini telah mendidik hati mereka supaya mengaitkan merdeka dengan konsert merdeka. Kemudian melaungkan merdeka sebanyak tujuh kali. Apa erti laungan itu? Adakah sekadar laungan? Atau adakah sebarang kesan di hati mereka?

Aku tahu, ingatan seperti ini sudah banyak kali kita terima. Tetapi, selagi tiada perubahan yang berlaku, aku rasa perlunya untuk ingatan ini diulang-ulang. Mari kita muhasabah kembali diri kita. Mari kita periksa kembali hati kita. Apakah indicator yang menunjukkan kita ini sudah merdeka sepenuhnya? Periksa kembali hati kita. Adakah hati kita betul-betul suci dari jajahan anasir-anasir jahiliyyah?

Mari kita singkap kembali sejarah kita dahulu. Tika Inggeris mula menduduki Tanah Melayu. Tahukah kita apakah matlamat sebenar mereka datang ke tanah kita? Adakah kerana rempah ratus? Adakah kerana kedudukan Negara kita yang strategic? Ya, mungkin benar. Tapi disebalik kedatangan mereka ke Negara kita, serba sedikit telah mengubah gaya pemikiran orang-orang melayu. Ya, mereka tidak menganggu agama kita. Mereka menyerahkan urusan agama kepada sultan. Namun bagaimana pula dengan urusan pembendaharaan yang lain? Pemerintahan? Pendidikan? Perdagangan? Semuanya dikuasai oleh penjajah. Nampakkah bahawa apa yang telah diajar oleh mereka kepada kita? Ya, sekularisme!! Mereka telah mengasingkan islam dari gaya hidup kita. Bukankah islam itu syumul atau menyeluruh, di mana islam itu merangkumi semua aspek termasuk pemerintahan, pendidikan, perdagangan dan juga perundangan?? Kedatangan penjajah itu telah mendidik orang-orang melayu supaya berlakunya perasingan tersebut. Islam itu ibadah sahaja. Akhirat sahaja. Islam perlu diasingkan dari hal dunia.

Kita lihat pula pada zaman kini. Apa bezanya? Hal-hal agama diserahkan kepada sultan yang memerintah negeri, bukan Negara. Dan Negara kita sendiri mempunyai dua system perundangan atau mahkamah. Mengapa perlunya mahkamah jenayah dan mahkamah syariah, padahal islam sudah cukup lengkap system perundangannya termasuk hukum-hukum janayah? Adakah perundangan islam itu hanya merangkumi undang-undang perkahwinan atau murtad sahaja?

Kita lihat pula diri kita sendiri. Ya, kita solat. Kita berpuasa. Tapi, bagaimana pula dengan masa-masa lain? Adakah kita mengamalkan gaya hidup islam? Adakah kita bersosial mengikut gaya islam? Adakah kita bekerja, kita bercakap mengikut gaya seorang muslim?

Adakah kita sudah merdeka? Tepuk dada tanya iman.

Wallahu a’lam….

~ Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak ~