5/27/2008

Jihad Pen Dan Kertas

22 Jamadil Awwal 1429/27th May 2008
9:26 am




Penat sungguh otak. Sudah tepu rasanya otak ini untuk menerima lagi sebarang info-info baru yang baru untuk diulangkaji. Tepu? Heh, macam lah ilmu itu berbentuk fizikal dan mempunyai jisim yang boleh menepukan otak. Padahal otak ini boleh saja untuk dipenuhkan dengan segala ilmu yang ada di dunia ini (tanpa melangkaui batas-batas ilmu Allah of course). Dengan izin Allah. Tetapi, kenapa otak ini berasa seakan-akan sudah tidak mahu lagi menerima sebarang ilmu baru? Mungkin ini silapku. Apa-apa pun, otak ini juga adalah makhluk Allah yang serba kekurangan. Masakan otak ini boleh menerima ilmu sekaligus pada waktu yang sama, tanpa diberi rehat. Dan mungkin juga kerana hati ini tidak cukup berzikir kepada Allah, yang menyebabkan Allah tidak mengizinkan otakku boleh bekerja dengan lebih kuat lagi. Salahku. Minta maaf, ya Tuhan.


Aku akan menduduki peperiksaan bermula pada hari lusa bersamaan 24 Jamadil Awwal 1429/29th May 2008 pada jam 9am. Lagi 2 hari sahaja. Namun persediaanku cukup sedikit sekali. Aku memang sungguh degil. Sudah acapkali aku menerima padah akibat last minute preparation. Namun, tidak mahu pula aku belajar dari kesilapan itu. Kawan-kawan, jangan jadi seperti aku ya!

Kadang-kadang aku cukup tidak sukakan waktu-waktu peperiksaan seperti ini. Kerana di waktu ini, aku bagaikan ditimpakan ujian yang amat besar. Aku berusaha menelaah bersungguh-sungguh. Kemudian di waktu peperiksaan aku memang tidak lupa untuk berdoa. Bertawakkal lah kononnya. Sehingga aku lupa apa erti tawakkal yang sebenarnya. Kerana apabila aku menerima keputusan peperiksaanku itu, jika keputusan itu tidak baik, aku mula berasa sedih dan hiba. Aku menyalahkan diri sendiri (alhamdulillah, aku tidak pernah menyalahkan Tuhan. Na’uzubillah min asy-syaitani ar-rajiim). Tapi apakah erti tawakkal itu sebenarnya? Tawakkal itu adalah kita berserah kepada Allah SETELAH BERUSAHA sehabis baik dan menerima dengan REDHA AKAN NATIJAH yang bakal diturunkan oleh Allah. Ada 2 points di situ. Berusaha dan redha. Aku selalu terlupa. Aku masih tidak cukup bertawakkal. Nipis sungguh imanku. Aku bagaikan menganggap Allah itu tidak adil, padahal Allah itu Maha Mengetahui akan segala urusanNya. Ampun lagi Ya Allah…

Sabtu lepas aku sempat pergi ke Majlis Solat Hajat anjuran Sheffield’s Malaysian Students Association (SMSA). Berminat dengan tips-tips yang diberikan oleh Ustaz Abd Rahim, penceramah jemputan untuk majlis tersebut. Di antaranya adalah:
1. Jaga masa
2. Meletakkan mindset bahawa apa yang kita pelajari itu senang
3. Minta doa dan restu ibu bapa

- kalau boleh sertakan jadual penuh peperiksaan
kepada mereka supaya mereka tidak lepa untuk berdoa terus
menerus kepada kita, insya Allah
4. Sebelum mula belajar, bacalah ayat-ayat al-Quran dahulu

walaupun satu ayat
- untuk memohon keberkatan daripada Allah dan supaya
perbuatan mengulangkaji kita itu dikira sebagai satu
ibadat, insya Allah
5. Doa untuk orang-orang lain
- Apabila kita berdoa untuk orang lain juga, malaikat akan

menyambut doa kita dengan berkata, “wa iyyaka” yang
bermaksud, “untuk kamu juga”.
- Bermakna doa kita akan di’amin’ kan juga oleh para

malaikat, dan malaikat juga berdoa untuk kita (doa para
malaikat sangat mustajab)
- Betapa Allah nak mengajar kita supaya tidak berhasad

dengki dengan berdoa untuk orang lain

Apa-apa pun, kuingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf dari sahabat-sahabat semua di atas segala salah dan silap yang pernah kulakukan, sedar atau tanpa sedar. Mohon keredhaan dari sahabat-sahabat semua. Doakan kejayaan kita semua dunia dan akhirat. Amiin….

Name : Siti Rusyida Rohim
Student ID : 050193651
Level 3 MEng Mechanical Engineering
Final Examination Timetable Spring Semester 2007-08




“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu jadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.” (3:103)



Wallahu a’lam...

5/20/2008

Living in assumptions

4 Jamadil Awwal 1429 / 9 May 2008
1:09PM


Alhamdulillah. Sejak kebelakangan ni cuaca bumi Sheffield ini sangat baik. Tiada lagi rasa sejuk yang melampau. Suhu pada saat ini menjangkau angka 21°C. Alhamdulillah. Moga dengan keadaan cuaca yang baik ini, aku juga dikurniakan ‘mood’ yang lebih baik untuk menyiapkan assignment dan prepare untuk exam yang bakal menjelang dalam masa 2 minggu sahaja lagi! Ya Allah… kurniakan aku keberkatan masa.

Oleh kerana cuaca yang amat baik ini, kami kaum hawa undergrad di Sheffield ini tidak melepaskan peluang untuk menghirup udara segar di waktu petang. Kami ber’picnic’ di Botanical Garden. Pada mulanya, aku agak keberatan untuk bersama-sama mereka kerana aku agak letih memandangkan baru sahaja selesai meeting dengan groupmates. Tetapi, apabila aku memikirkan ini adalah satu peluang aku untuk merapatkan lagi ukhuwwah antara kami, aku pun bersetuju. Aku pun sudah lama tidak meluangkan masa bersama mereka, bertukar-tukar cerita. Selain itu, dapat juga aku menikmati keindahan alam dan membuang segala ke’tension’an disebabkan kerja-kerja yang berlambak-lambak menanti untuk disiapkan.

Semasa bersembang-sembang di Botanical garden itu, kami mengambil kesempatan untuk berta’aruf semula. Bukannya kami tidak mengenali antara satu sama lain. Ramai juga di antara mereka yang aku sudah kenali hampir 3 tahun. Tetapi, apabila kami membuka cerita, banyak juga kisah tentang mereka yang aku baru sahaja ketahuinya. Ada juga yang berkata, “Ooo… patutlah akak wat ‘cani…cani…’ Ingatkan sebab akak ‘cani… cani….’ Rupenye ‘cani…cani…’” Dan ada pula yang membuka cerita tentang kisahnya semasa kanak-kanak. Boleh dikatakan ianya sebuah kisah yang agak sedih. “itulah kisah akak mase akak kecik. Disebabkan pengalaman akak tu la, sampai sekarang akak bersikap macam ni. Harap semua boleh menerima akak seadanya.”
Itulah kepentingan ta’aruf. Ta’aruf bukanlah sekadar mengetahui nama, umur, tempat tinggal dan sebagainya. Tetapi, dengan ta’aruf kita sepatutnya sudah lebih dapat memahami akan seseorang itu. Perwatakannya, gaya bercakap, sikapnya, ‘sensitivity’nya… semua itu amat penting supaya kita dapat lebih menghormati setiap individu. Terutama orang-orang terdekat dengan kita. Sahabat kita, adik-beradik kita, ibu-bapa kita… Kita jangan terlalu yakin yang kita sudah cukup mengenali mereka.

Pernah tak satu ketika, ada seseorang datang kepada kita dan menceritakan masalahnya kepada kita. Dan pernah tak kita berasa, “Ekelleh… benda-benda kecik cani pun dia nak amek kesah. Padahal akunye problem ni lagi besar nk bandingkan dengan benda alah ni.” Pernah tak? Kalau ada, itu adalah satu kesilapan yang agak besar. Itu adalah salah satu tanda kita tidak menghormati sahabat kita tersebut.

Kita jangan lupa, Allah mencipatakan kita bermacam-macam jenis, bermacam-macam rupa, gaya, kerenah. Begitu juga dengan tahap ketahanannya. Mungkin tahap ketahanan kita lebih tinggi daripada sahabat kita. Namun itu tidak bermakna kita layak untuk meremehkan masalah-masalah ‘kecil’ sahabat kita itu. Seharusnya kita menghormati perasaan sahabat kita tersebut, mendengar kisahnya dan cuba untuk menyelami hati dan perasaannya. Nasihatilah mereka jika perlu.

Terlalu ramai sahabatku yang mengalami perkara ini. Seorang sahabat pernah bercerita kepadaku tentang seorang sahabatnya yang sering sahaja menceritakan masalah kepadanya. Sahabatku itu sering merungut. Dia merasakan sahabatnya itu kurang matang menghadapi ujian yang ditimpakan kepadanya. Ya, memang benar. Kita disuruh untuk bersabar dan redha dengan ujian yang diturunkan kepada kita. Namun, sahabat juga perlu memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Apa-apa pun, kita hanyalah manusia. Kita sentiasa memerlukan kepada sahabat yang boleh memberi sokongan kepada kita, ataupun yang sentiasa mengingatkan kita supaya bersabar dan sebagainya. Jika kita berfikir masalahnya remeh, jangan lupa, masalah yang besar pada kita mungkin pula nampak kecil di mata orang lain. Mesti sedih kan kalau sahabat rapat kita menggelakkan kita apabila kita meluahkan masalah kita kepada mereka?

Memang sukar juga untuk menjadi seorang sahabat. Sahabat. Bolehkah aku menjadi seorang sahabat yang baik? Adakah aku boleh menjadi pendengar yang baik apabila sahabatku menceritakan masalahnya? Di saat sahabatku ditimpa kesusahan, adakah aku akan sentiasa di sampingnya? Adakah aku boleh menjadi seorang sahabat ketika susah dan senang? Jika sahabatku melakukan sesuatu yang salah, adakah aku akan menegur kesalahannya? Jika aku mendengar berita-berita tidak elok tentang sahabatku, adakah aku terus mempercayainya?

Mmm… Soalan yang terakhir itu sungguh menarik. Kerana memang kebanyakan orang gagal menjadi seorang sahabat disebabkan gagalnya mereka menangani keadaan itu. Hal itu juga kerapkali berlaku pada diriku. Sesuatu yang amat aku kesalkan.

“Kau tau tak, Han, aku dengar daripada si A, yang si B tu penipu besar. Kat si A dia kata lain. Rerupenye dapat tau yang si B ni tipu dia rupenye. Kesian kat si A." (Kisah ini hanyalah rekaan semata-mata. Kisah yang sebenarnya dirahsiakan :D)

Apabila aku mendengar sahaja khabar itu, merah padam wajahku. Apa yang ada dalam fikiranku ketika itu, aku agak kesal dengan sikap si B rakanku itu. Ada juga aku mempertahankan sahabatku itu. Tetapi aku tidak dapat menipu diriku sendiri, sedikit sebanyak, sebenarnya aku sudah pun mempercayai akan khabar angin itu. Astaghfirullah…

Beberapa hari berikutnya, aku terserempak dengan sahabatku si B itu. Aku masih bermanis muka padanya. Aku berlagak seperti biasa. Namun, di dalam hatiku terdetik untuk bertanya kepadanya akan kisah sebenar. Aku pun dengan bijaknya cuba untuk membuka cerita supaya dia dapat bercerita kepadaku tanpa melibatkan nama sahabatku yang lain. Akhirnya, setelah mendengar kisahnya, aku mengetahui akan kisah sebenar. Semua ini hanyalah salah faham semata-mata. Lihatlah, inilah bahana khabar angin. Bagaimana seorang yang kononnya bergelar ‘sahabat’ telah bersangka buruk terhadap rakannya itu. Hanya kerana satu berita yang terbukti tidak benar. Sedih….
Benarlah apa Allah ajar kita…

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.” (6:116)

Memang, oleh kerana aku hanya mempercayai kata-kata orang lain, aku mula bersangka buruk terhadap rakanku sendiri. Dan Allah sudah pun mengungkapkan, jika kita hanya mempercayai sahaja apa yang kebanyakan orang ungkapkan, tanpa usul-periksa, kita boleh tersesat dari jalan yang lurus ini. Astaghfirullah al-‘Azim… Ampunkan dosaku ya Allah. Ya Allah, janganlah kau pesongkan hati-hati kami dari jalanMu, secara sengaja atau tidak sengaja, ya Muqallibal Qulub.

Peristiwa ini banyak mengajarku tentang erti persahabatan dan kepercayaan. Ia juga banyak menguji tahap keimananku. Bukankah sudah Allah ungkapkan, perasaan yang tidak baik itu datangnya dari bisikan syaitan. Dan alangkah lemahnya imanku, aku gagal menepis segala bisikan syaitan yang mencucuk-cucuk nafsuku untuk bersangka buruk terhadap sahabatku sendiri. Memang ini rencana syaitan laknatullah! Dari sinilah jalan masuknya untuk dia mengotori hati kita. Sedikit sahaja kotor hati kita, sudah cukup untuk memudahkan kerja syaitan direjam itu terus merosakkan hati kita. Na’uzubillah min zalik.


Hanya niat untuk berkongsi kisah ini dengan rakan-rakan yang lain. Perasaan sangka buruk (su’uz zon) itu mungkin nampak kecil. Tetapi, hakikatnya Allah telah berkali-kali menyebut dalam firmanNya tentang perasaan prasangka ini. Menunjukkan betapa pentingnya untuk kita sentiasa menjaga hati daripada lahirnya prasangka-prasangka yang buruk terhadap manusia, dan lebih teruk lagi, kepada Allah. Astaghfirullah…


Juz my 2p


Wallahu a’lam…

5/02/2008

Kisah Sang Musafir

22 Rabiul Akhir 1429 / 28th April 2008
1:27 pm

Bermula 26th March 2008, aku bersama 8 orang rakan yang lain memulakan perjalanan ke ‘watan’ (tanah air) ku, yang dahulunya pernah menyaksikan satu pembangunan pesat Islam, di waktu Islam menjadi ‘ustaziatul alam’ (world order). Namun kini watanku itu telah pun jatuh ke tangan manusia yang tidak mengenal kalimah shadatain itu. Namun itulah watanku. Spain.

Sebelum menjejakkan kaki ke tanah Andalusia, penerbangan kami dari Stansted Airport mendarat dahulu ke Barcelona. Kami menghabiskan seharian pergi melawati Bandar itu termasuklah stadium bola, dan bangunan-bangunan unik yang direka oleh seorang arkitek bernama Gaudi. Keesokannya pula, kami bertolak ke Madrid dengan menaiki speed train. Di sana kami juga melawati stadium bola Real Madrid yang terkenal itu, dan juga Plaza de Toros (Bull Ring) yang menjadi ‘trademark’ kepada Spain itu sendiri.


Keesokan harinya pula, kami menuju ke Cordoba. Aku berasa tidak sabar-sabar untuk tiba di sana kerana aku tahu bagaimana megahnya dahulu Islam di tanah itu satu waktu dahulu. Di tanah itu, berdirinya satu masjid (Mesquita/mosque) yang gah pada waktu itu. Namun selepas kejatuhan Islam, Masjid itu telah dirampas kembali oleh orang kristian dan dijadikan cathedral. Sedih. Mesquita itu tidak jauh dari hostel yang kami diami. Apabila kami tiba di situ, aku tidak dapat menahan air mataku daripada mengalir. Tidak tahu bagaimana perlu ku gambarkan perasaanku pada waktu itu. Aku berasa sangat hiba. Aku sayangkan masjid itu. Sangat sedih apabila kulihat sekeliling masjid itu yang sepatutnya damai, aman, permai; menjadi seperti sebuah pesta; akibat daripada kini ianya menjadi destinasi para pelancong. Masjid itu tidak lagi dihormati. Semakin kuat azamku untuk kembalikan kehormatan ‘deen’ku.

Setelah membeli tiket (woott???), kami semua berjalan ke arah pintu masuk masjid itu. Tiba di pintu masuk, sudah ada pak guard yang menunggu. Sempat dia berpesan kepada kami, “You are not allowed to pray inside this cathedral.” Bertambah hiba hati ini rasakan. Ini tempatku. Ini sepatutnya menjadi tempat ibadat kami. Dahulunya masjid ini menjadi serbuan ribuan orang muslim, sehinggakan di kejauhan terdengar seperti bunyi nyamuk (itulah asal wujudnya perkataan mosque/mesquita). Kini kami dihalang untuk beribadat di tempat kami sendiri. Tempat kita. Namun, kami tidak melawan. Kami bersetuju.

Aku melangkah masuk. Masha Allah. Air mata ini mengalir lagi. Kulihat patung-patung Jesus dan crucifix menjadi hiasan setiap penjuru tempat itu. Masjid yang dahulunya terang disirami cahaya mentari, kini diselubungi kegelapan akibat kebanyakan pintu-pintu masjid itu ditutupi dengan simen batu. Alangkah indahnya masjid itu jika pintu-pintu itu dibiarkan terbuka, membenarkan sinaran mentari menerangi setiap penjuru masjid itu, menzahirkan keindahannya. Sebahagian daripada masjid itu masih mengekalkan ukiran-ukiran indah yang asal yang diukir semasa zaman pemerintahan Islam dahulu. Mungkin mereka sendiri tidak sanggup untuk membuang ukiran-ukiran itu kerana cantiknya seni Islam itu.

Aku akhirnya menjumpai tempat yang dahulunya menjadi mimbar. Tempat itu kini telah berpagar. Namun ukiran di sebalik pagar itu masih dapat kubaca. “La ilaha ill Allah….” Dan banyak lagi kata-kata pujian ke atas Allah. Ukiran itu masih dikekalkan. I wonder why….

Setelah puas berjalan dan bergambar di dalam masjid itu, kami duduk sebentar. Kami mula bercerita dan berbincang tentang sejarah awal Islam di Spain. Kami mengimbau kembali bagaimana Islam mula berkembang di Spain, konflik yang berlaku, sehinggalah kejatuhannya. Memang penting untuk kita mengkaji kembali sejarah ini supaya kita dapat mengambil iktibar daripada kisahnya. Dan dari sejarah jugalah kita boleh memilih untuk mengikut jejak langkah tokoh-tokoh Islam terdahulu (Tariq b Ziyad, Abd Rahman al-Ghafiki, etc)bagaimana tingginya semangat mereka untuk menyebarkan seruan deen Allah ke setiap pelusuk bumi Allah ini. Hanya untuk mendapat keredhaan Allah. Mencapai syurga Allah. Itu sahaja impian dan cita-cita mereka. Sungguh, aku ingin jadi seperti mereka.

Pada petang itu, kami menaiki bas menuju ke Medina Az-Zahra. Mengikut sejarahnya, Medina Az-Zahra ini dibina semasa zaman pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III untuk dijadikan Bandar istana. Ada sejarah mengatakan nama Az-Zahra itu diambil bersempena nama isterinya. Namun, ramai rakyat tidak berpuas hati dengan pembinaan istana itu kerana ada sejarah mengatakan bahawa semasa pembinaannya, khalifah pernah meninggalkan Solat Jumaat sebanyak 3 kali akibat terlalu sibuk sehinggakan tindakannya itu ditegur oleh Ulama’ pada ketika itu. Akhirnya, istana itu telah dibakar semasa ‘civil war’. Istana yang dahulunya sangat masyhur dan megah berdiri, kini hanya terdiri dari runtuhan-runtuhan batu. Bolehlah kita ambil pengajarannya di sini, lihatlah pengakhiran kuasa khalifah itu pada waktu itu kerana cintanya dia pada dunia melebihi cintanya kepada agamanya sendiri.

Keesokannya pula, kami bertolak ke Sevilla. Tiada apa sangat yang kami lakukan di sana kecuali menaiki Tour Bus untuk mengelilingi satu Bandar Sevilla itu. Kelakar. Aku membayar tiket itu dengan harga €15. Namun, di atas bas itu aku hanya tertidur tanpa menikmati tempat-tempat yang kami lewati. Rugi….rugi….. Pada petang itu, kami semua menuju ke Granada pula dan bermalam di sana selama semalam.

Mungkin ramai yang pernah mendengar tentang hebatnya istana Alhambra atau Al-Hamra’ iaitu ‘Kota Merah’. Alhambra ini merupakan istana dimana Khalifah pada waktu itu memerintah dan bersemayam. Apa yang amat menakjubkan tentang istana ini adalah seni ukiran yang menghiasi sentiap pelusuk dinding istana itu. Dan apa yang sangat menarik adalah ukiran-ukiran itu menyebutkan kalimah “La Ghalib Illa Allah”. Tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah. Subhanallah. Mengikut sejarah, ukiran-ukiran ini bermaksud supaya ke mana sahaja penghuni-penghuni istana itu berjalan, mereka tidak akan terlepas daripada hanya mengingati Allah. Supaya pemerintah ketika itu sentiasa beringat bahawa walaupun pada waktu itu mereka mempunyai kuasa yang besar di tanah itu, namun terdapat lagi satu kuasa yang Maha Besar yang tidak tertanding lagi. Allah ‘Azza wa Jalla. Alangkah bagusnya jika pemimpin-pemimpin Negara pada zaman ini mempunyai kesedaran seperti itu. Akan muncullah sekali lagi, biiznillah, dunia idealism Islam.
Satu lagi aspek yang diterapkan di kawasan istana itu adalah konsep air di mana ianya adalah untuk menggambarkan suasana di syurga nanti. Memang kedamaian dan kedinginan istana itu lebih terasa dengan kolam-kolam air yang amat tenang. Ini baru di dunia yang hanya bersifat sementara. Bagaimanakah pula agaknya kedamaian semasa di syurga nanti.

Pada petang itu, kami semua bertolak ke destinasi terakhir kami di Spain, iaitu Malaga. Aku ditugaskan untuk menjaga hal ehwal perjalanan kami sepanjang di sana. Alhamdulillah, setelah sedikit kesukaran untuk memahami peta, walaupun pernah sekali tersesat jalan, akhirnya kami berjaya tiba di hostel. Keadaan hostel itu tidaklah begitu selesa seperti mana di Granada. Namun, itu cukup untuk membuatkan aku tidur dengan nyenyak sekali.

Keesokannya, kami semua menuju ke sebuah pantai kira-kira 10 minit dari hostel kami. Pantai Costa del Sol. Aku lega apabila aku melihat kegembiraan terpancar dari wajah rakan-rakanku. Kerana sebelum ini aku berasa sedikit risau jika perjalanan mereka di Malaga ini bukan satu perjalanan yg menarik. Namun, setelah melihat kegembiraan mereka, aku boleh tersenyum lebar.

Selepas hampir 2 jam, kami berjalan pulang ke hostel untuk berkemas. Selepas ini, aku bercadang untuk membawa mereka bersiar-siar di sekitar Bandar Malaga sebelum menuju ke Lapangan Terbang Malaga untuk pulang ke London. Setibanya kami di Stesen Renfe untuk menuju ke Bandar, seorang dari kawanku mendekatiku. “Han, aku nye handphone xde. Aku rase tertinggal kat hostel la.” Aku dengan rasa senang hati menemaninya kembali ke hostel. Aku berdoa supaya handphone nya itu dapat dijumpai. Aku agak gusar jika bilik yang dia diami malam tadi sudah pun dikemas dan handphone itu telahpun diambil oleh pihak hostel. Namun aku tetap berdoa.

Tiba sahaja kami di sana, kawanku itu terus bergegas menuju ke biliknya itu setelah meminta izin dari receptionist. Malangnya, handphone itu tak diketemui. Aku risau. Aku kembali bertemu dengan receptionist bertanyakan tentang handphone rakanku yang hilang itu. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur kerana pekerja-pekerja di hostel itu sungguh jujur. Housekeeper yang telah mengemas bilik itu telah menemui handphonenya. Housekeeper itu sambil tersenyum, memulangkan kembali handphone itu kepada rakanku.

Setelah itu, kami menuju kembali ke Stesen Renfe dan bersama-sama bergerak ke Bandar Malaga. Tiba sahaja kami di Bandar Malaga, aku mulai berasa ‘tension’ kerana sekali lagi aku menghadapi masalah untuk membaca peta. Lalu aku pun mengambil langkah untuk bertanya dengan orang tempatan untuk mengetahui arah ke tempat destinasi kami.

Setelah lama berjalan, aku yang mengetuai rombongan itu terperanjat apabila aku terdengar suara-suara cemas rakan-rakanku di belakang. Aku semakin terperanjat apabila aku melihat tompok-tompok hijau yang mengotori baju-baju mereka. Seorang wanita Spanish yang sedar dengan kejadian itu memberitahu kami bahawa itu burung-burung ‘flamingo’ yang terbang dikawasan itu telah ber’nyahtinja’ di atas baju mereka. Lalu aku meminta 2 orang dari rakan yang berjalan disampingku tadi untuk memeriksa bajuku. Alhamdulillah, tiada tompok hijau tersebut. Begitu juga di baju mereka. Lalu kami bertiga membuat keputusan untuk masuk sebentar di kedai-kedai berdekatan untuk mengelakkan daripada najis-najis tersebut. Namun, wanita Spanish itu beria-ia untuk membawa kami semua untuk ke sebuah lorong di mana mengikut katanya terdapat satu tandas awam di mana kami boleh membersihkan pakaian-pakaian kami. Kami pun menurutinya.

Setelah itu, 3 orang lelaki lagi termasuk seorang yang dari tadi sedang bercakap di dalam pondok telefon datang ke arah kami. Mereka berkeras untuk membantu kami untuk membersihkan baju-baju kami. Tandas yang dikatakan tadi tidak pula kelihatan. Orang-orang Spanish itu pun memberikan tissue kepada kami supaya kami dapat mebersihkan pakaian-pakaian antara satu sama lain. Pakaian aku yang tadinya bersih sudah pun dicemari dengan tompokan hijau tersebut. Mungkin sepanjang kami berjalan di lorong itu, burung itu sempat untuk melakukan proses perkumuhannya sekali lagi. Huhuhu….

Aku di paksa oleh salah seorang dari mereka untuk membersihkan baju seorang rakanku walaupun setelah berkali-kali aku mengatakan yang bajunya itu sudah pun bersih. Dia pula sibuk untuk membersihkan bajuku dari belakang. Aku sedar akan caranya semasa membersihkan bajuku itu agak kasar. Aku terasa seperti dia ingin merabaku, lalu aku memarahinya. Namun, dia tetap juga berkeras untuk menolongku. Rakan-rakanku yang lain juga begitu. Mereka berbaris supaya mereka dapat membersihkan pakaian antara satu sama lain, dan orang yang paling belakang pula, bajunya akan dibersihkan oleh salah seorang daripada orang Spanish itu. “Asal baik sangat lak derang ni…. Mmmm…..”

Setelah 5 minit, mereka semua beredar meninggalkan kami sambil mengucapkan selamat tinggal. Kami semua pula bergelak tawa, lucu dengan kejadian tahi burung ini. Aku pula berasa sangat kagum dengan kebaikan dan keperamahan orang-orang Spain ini. Sanggup menolong walaupun kami tidak mereka kenali. Namun, tak lama kemudian….
“Eh, korang. Aku punya purse dah takde,” seorang rakanku bersuara. Kami mula terdiam dan memintanya untuk memeriksa sling-bag nya sekali lagi. Namun jawapannya tetap sama. Tiada. Kami tersedar. Kami mula memeriksa pula beg-beg tangan kami. Alhamdulillah, tiada apa yang hilang.

Namun, kami amat bersimpati di atas seorang rakanku ini kerana barang-barang penting seperti student card, debit card dan credit card semuanya lesap. Kami terus memintanya untuk menghubungi pihak bank di UK untuk melaporkan hal itu sebelum apa-apa yang lebih buruk terjadi. Aku melihat wajah rakanku itu cemas, namun aku tahu, dia sedang cuba untuk bertenang. Keadaan semakin rumit apabila pihak bank meminta bermacam-macam jenis maklumat sebagai verification. Takut-takut jika panggilan itu adalah panggilan palsu (fraud). Semakin cemas rakanku itu, bagaimana pada waktu seperti itu dia boleh mendapatkan semua maklumat seperti nombor akaun bank dan bermacam-macam lagi. Proses pembatalan kad itu tidak dapat dijalankan selagi pihak bank tidak mendapatkan maklumat-maklumat tersebut. Masa terus berjalan. Kami semakin risau kalu-kalau pencuri-pencuri tersebut sempat untuk meng’songlap’ duitnya sebelum pembatalan sempat dijalankan.

Sedang rakanku itu sibuk menyelesaikan masalahnya, tiba-tiba aku teringat sesuatu yang berharga di dalam beg aku. Aku memeriksa begku sekali lagi. Dugaan demi dugaan. Kameraku yang telah kugunakan sejak 2 tahun lalu itu hilang. Ya Allah. Lemah terus tubuh badan ku rasakan. Aku menggigil. Aku memberitahu berita itu kepada rakanku yang lain. Mereka terperanjat. Dan mereka terus menenangkan perasaanku. Namun, aku tidak dapat menahan air mataku. Aku menangis. Aku tidak kisah akan kameraku yang hilang. Tetapi aku merindukan kenangan-kenangan yang kami rakamkan. Mujurlah bukan kameraku sahaja yang digunakan sepanjang perjalanan kami. Sekurang-kurangnya aku boleh mendapatkan gambar-gambar dari rakanku yang lain. Namun godaan syaitan itu sangat dasyat dan aku pula pada ketika itu sangat lemah imanku. Mudah sungguh aku terpedaya dengan bisikan-bisikan jahat syaitan itu. Aku marah, aku geram, dan seakan-akan tidak redha dengan dugaan yang Allah turunkan itu. Padahal setiap musibah yang Allah turunkan itu adalah semata-mata untuk menguji tahap keimananku. Astaghfirullah al-Azim…. Sabar Han…

Tidak lama selepas itu, aku mula berasa tenang. Namun, aku dan rakanku masih berasa trauma dengan kejadian tersebut. Tetapi aku amat bersyukur rakan-rakanku yang lain yang banyak menyokong kami. Thanks, all…..

Satu perkara yang amat menyentuh hatiku, seorang rakanku memberitahuku….




“Kita kena belajar untuk redha dengan ujian yang Allah turunkan untuk kita. Apa-apa yang telah Allah takdirkan untuk kita, baik atau buruk, semua ada hikmah di sebaliknya. Macam kisah rompakan ni, walaupun sepanjang perjalanan kita, kita selalu mengingatkan antara satu sama lain supaya menjaga beg kita. Namun kita selalu berjaga-jaga hanya di kawasan yang sesak dengan orang saja. Tapi kita terlupa, malang itu boleh berlaku pada bila-bila masa je. Tak kiralah kawasan itu adalah kawasan sesak ataupun lapang. Kerana perompak-perompak ini sentiasa sahaja mempunyai helah yang boleh membutakan mata kita. Tengok saja apa yang berlaku pada kita. Hanya dengan tahi burung kita sudah terlupa untuk sentiasa berhati-hati dengan barang-barang kita. Akhirnya, tragedy menimpa kita…”


“…Begitu juga dengan iman kita. Kita hanya sentiasa berjaga-jaga dengan perkara-perkara maksiat yang besar, seperti tidak meninggalkan solat, tidak melakukan zina, dan lain-lain. Namun, kita sering terlupa, syaitan itu sangat licik dan bijak untuk memperdaya dan menyesatkan kita (17:61-65). Lihatlah sahaja benda-benda lagha yang banyak kita lakukan, seperti berbual-bual kosong, membuang masa, menonton rancangan yang tidak berfaedah. Kita mungkin tidak sedar, pada waktu itu iman kita adalah di tahap yang paling rendah sekali. Oleh itu, sangat penting untuk kita sentiasa ditarbiyyah supaya tiada satu saat pun dalam hidup kita lalai daripada mengingati Allah.”


“… Dan anggaplah kejadian malang ini sebagai tarbiyyah juga kepada kita…”


Sesungguhnya apa yang dijadikan Allah di dunia ini adalah tidak lain dan tidak bukan sebagai nikmat dan juga peringatan kepada kita.





Wallahu’alam….