11/07/2009

Mari Melontar Lembing!!!

19 Zulqaedah 1430/7th November 2009
11:40 am


Makin hari makin kurang kita dengar akan berita saudara kita di sana. Adakah kita masih pedulikan akan mereka yang berjuang di sana? Ataukah demam ‘peduli’ itu hanya timbul di waktu hari Nakba, atau sewaktu pembedilan bertubi-tubi dari Israel seperti December 08/Januari 09 itu sahaja. Padahal kita sepatutnya sedar setiap hari mereka masih menanggung derita dan terus berjuang mempertahankan hak mereka (tpt tinggal, pendidikan, sara hidup, alAqsa, etc…).

Tidak mahu bercerita panjang tentang mereka. Aku yakin sudah ramai yang tahu akan kisah pilu yang mereka alami. Malah aku sendiri pernah menulis serba sedikit tentang mereka sebelum ini (sila rujuk post yang lama ya). Tetapi, aku ingin mengajak para pembaca semua untuk terus menyumbangkan ke arah kemenangan mereka. Terus perbanyakkan doa kita akan kesejahteraan dan kebebasan mereka.

Boikot?? Adakah boikot adalah salah satu usaha yang boleh membantu mereka? Berkesankah?
Aku tahu terlalu ramai yang masih tidak percaya dengan kesan positif terhasil dari pemboikotan barangan-barangan Israel. Ramai yang masih tidak percaya dengan memboikot barangan mereka, akan berjaya melumpuhkan ekonomi mereka.


Pada pendapat aku, jika kita masih berfikiran begitu, maka sangat ceteklah pemikiran kita. Malah kita sebagai seorang muslim harus berfikir lebih daripada itu. Kerana kita sepatutnya percaya bahawa ada satu kuasa yang Maha Besar yang menguasai segala-galanya di dunia ini, bumi dan langit dan semua yang terdapat di antaranya, dan seluruh angkasa raya. SEMUANYA. Jika kita mengimani akan sifat-sifatNya, maka kita akan percaya dan yakin bahawa dengan usaha kita yang sekecil manapun, boleh membawa impak yang sangat besar.

Ingatkah kita pada kisah perang Badar (boleh refer Surah al-Anfal). Pada peperangan itu, jika difikirkan dengan otak, mengikut ilmu logic kita, sungguh tidak munasabah akan muncul kemenangan di tangan orang-orang mukmin pada waktu itu. Padahal bilangan mereka pada waktu itu amatlah sedikit. Hanya 313 orang. Padahal tentera musyrikin Makkah adalah seramai 1000 orang (approx.). Masakan boleh tentera yang sedikit boleh mengalahkan tentera yang ramai. Tetapi, itulah yang berlaku pada mereka. Dengan bilangan mereka yang sedikit itulah, mereka berjaya mengalahkan orang musyrikin itu dengan jayanya. Apakah senjata mereka?

Firman Allah SWT:
“…Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (2:249)

Itulah senjata utama mereka. Iman dan sabar.

Apa kaitannya dengan boikot?

Cuba kita fikirkan kembali akan kemunasabahan yang berlaku dalam kisah Gazwah Badar di atas. Tidak munasabah, tetapi ia berlaku hanya kerana iman yang kuat dan sabar dan redha mereka dengan ketentuan Allah SWT. Begitu juga dengan kita. Mengikut logic akal, kadang-kadang memang terasa seperti usaha kecil kita ini tidak dapat memberikan sebarang untung pun pada mereka di sana. Tetapi, tidak. Bukankah kita percaya yang Allah sedang melihat kita?
Apa yang diambil kira di sini adalah apakah sumbangan dan usaha kita. dan bukannya hasil daripada apa yang kita buat. Kerana sesungguhnya Allah boleh sahaja menterbalikkan bumi Israel itu seperti apa yang terjadi pada Kaum Lut, jika Dia menghendaki. Tetapi, Dia Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Dan Dia tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Allah menjadikan segala apa yang berlaku adalah sebagai ujian buat kita dan untuk menguji siapakah yang lebih baik amalannya.


Jika kita benar-benar ingin menjadi seorang mukmin, maka teruslah berusaha membantu mereka di medan juang itu walau dalam bentuk sekecil mana pun. Asalkan usaha itu dituruti dengan iman yang kuat dalam hati. Selagi kita rasa tidak yakin yang usaha itu dapat membantu, muhasabahlah diri. Periksa kembali iman kita. Tanya diri sendiri. Adakah usaha itu (baca: boikot) yang boleh melumpuhkan musuh Allah, ataupun adakah Allah yang melumpuhkan mereka?

Firman Allah SWT:
“Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah-lah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar. (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (8:17)


Dalam kemenangan orang muslim menentang musyrikin, semuanya kerana izinNya semata. Bukan kerana usaha mereka, tetapi kerana Allah yang ingin menjadikannya begitu. Tetapi bolehkah seorang musyrik itu terbunuh jika tidak salah seorang dari mukmin itu melemparkan lembingnya?



Tanyalah iman….


Wallahu a’lam…