9/01/2009

Ramadhan Ini…

10 Ramadhan 1430/31st August 2009
3:54 pm



Alhamdulillah…. Alhamdulillah… Alhamdulillah… setinggi-tinggi kesyukuran kupanjatkan ke hadrat ilahi. Tidak terkira gembiranya hatiku, setelah 11 bulan, aku masih lagi diberi peluang oleh Tuhanku untuk bertemu dengan bulan yang penuh bakarah ini, bulan Ramadhan. Bulan di mana kita diberi peluang untuk menggandakan segala amal-amal ibadat kita untuk mendapatkan ganjaran yang lebih berlipat ganda. Siapa yang tidak mahu dapat hadiah, kan? Apalagi hadiah daripada Allah yang Maha Kaya. Sudah tentu hadiah itu lebih ‘mahal’ harganya, dan amat berguna untuk menempah tempat kita di syurga kelak. Yang penting, hati ikhlas…


Bulan Ramadhan, bulan yang penuh ujian dan dugaan. Di bulan inilah, kita ditarbiyyah secara praktikal, ruhi dan jasmani. Pada bulan inilah kita ‘sepatutnya rela’ untuk menahan hawa nafsu. Bukan hawa nafsu perut sahaja, tetapi serba serbi.


Selama 11 bulan kita hidup dalam keadaan yang selesa. Tetapi hanya sebulan dalam setiap tahun, Allah menurunkan sedikit ujian buat kita. Adakah kita akan mengeluh, ataupun bersyukur? Sudah 23 tahun aku didatangi Ramadhan ini. tidak cukupkah selama 23 tahun (mungkin 17 tahun je kot, sebab stat puasa umur 6 tahun, huhuhu… ) itu kita di’train’ untuk menahan hawa nafsu kita dengan penuh redha. Ataukah Ramadhan-Ramadhan yang hadir sebelum ini tidak pernah mendatangkan sebarang kesan kepada kita, kecuali lapar dan dahaga?


Aku amat-amat terasa ditarbiyyah oleh Allah bulan Ramadhan ini. Bukan makan minum yang aku gusarkan. Tetapi bermacam-macam dugaan yang harus kuterima. Dugaan yang melibatkan hati dan perasaan (ceewaahh.. ). Namun, pada bulan penuh barakah ini, aku dituntut supaya lebih banyak bersabar dan redha atas segala yang menimpa. Mudah-mudahan Allah berikan kemudahan buat kami dalam segala urusan kami.


Alangkah indahnya jika dapat betul-betul menggunakan bulan ini sebagai practical training kita untuk membentuk sifat sabar, redha, tawakkal dan sebagainya. Alangkah beruntungnya kita jika kita betul-betul dapat mengambil peluang di bulan Ramadhan ini untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Tidakkah kita pernah terfikir, bagaimana kita dengan susah payah dan jujur untuk menjaga puasa kita, menahan diri daripada makan dan minum dan pelbagai amalan fitrah yang lain, walaupun pada ketika itu kita berseorangan? Itu tandanya kita masih mengakui akan kehadiran Allah dalam hidup kita. kita tahu Allah sedang melihat kita. Kita takut jika ibadat puasa kita tidak diterima oleh Allah. Subhanallah, sungguh cantik susunanNya. Secara tidak langsung, Allah telah mendidik hati kita untuk menyedari sifat-sifat agung Allah, Maha Melihat, Maha Berkuasa, Maha Besar, Maha Pemberi Rezeqi…


Lebih indah lagi, jika perasaan ini terus diterap dalam hati kita di bulan-bulan yang lain. Seharusnya kekuatan yang dibina semasa bulan Ramadhan ini dalam melawan hawa nafsu untuk melakukan amalan-amalan fitrah yang pada asalnya adalah halal, menjadi pemangkin untuk diri kita untuk terus melawan hawa nafsu kita dalam melakukan kemaksiatan yang sudah terang lagi bersuluh, adalah haram.


Subhanallah… benarlah bulan Ramadhan ini bulan barakah, bulan yang patut dirai akan kedatangannya. Jom kita tambahkan lebih banyak ibadat!!!



Adakah kita cukup bergembira dengan kehadirannya?



Selamat berpuasa….



Wallahu a’lam…

1 comment:

Haziq Hashim said...

Haziq Hashim likes this