12/05/2009

Khifafan wa Thiqalan

17th Zulhijjah 1430/5th December 2009
2:22 pm


Masa sibuk itu membunuh. Masa lapang itu menggoda. Itulah yang amat kurasakan pada waktu ini.

Aku tidak boleh menipu diri sendiri. Kadang-kala, apabila aku mendapat text message: “malam ni ada usrah”, aku ada sedikit mengeluh. Malas? Penat? Aku sendiri kurang pasti. Yang pastinya ada rasa keberatan.

Mengapa perlu ada perasaan begini? Aku memarahi diri sendiri. Bukankah setiap pengakhiran yang baik itu memerlukan sedikit pengorbanan. Jiwa, harta atau masa!

Setiap kali perasaan ini datang, aku gemar mendengar cerita-cerita dari akhawat lain dari setiap pelusuk dunia. Mereka amat tegar membuat kerja-kerja dakwah walaupun terpaksa berkorban masa dan banyak wang mereka. Tidak pernah mereka kisahkan kurangnya masa tidur mereka. Jika tidurpun, mimpi mereka hanya memikirkan dakwah. Aku kagum. Kagum sangat. Aku ingin jadi seperti mereka!

Dari situlah datangnya semangat. Aku perlukan sahabat. Sahabat yang boleh sama-sama mengiring aku bersama mereka mengendong tanggungjawab sebagai seorang muslim ini. Kerana sesungguhnya tugas ini tidak pernah ringan. Kerana itu jugalah hadiahnya amat-amat super lumayan sekali. Siapa yang tidak mahu hidup aman damai di syurga Firdaus?

………………………………………………

Sahabat… Bukankah dahulu kita pernah sama-sama merasai keindahan tarbiyyah ini. Bukankah dahulu kita pernah sama-sama berbincang dan berfikir untuk membawa ramai lagi manusia untuk turut serta dalam perjalanan ini. Bukankah kita dahulu pernah ada satu matlamat yang sama? Bukankah dahulu kita pernah sama-sama berazam untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dari semalam. Bukankah dahulu kita sama-sama berazam untuk terus berubah meninggalkan jahiliyyah lama? Bukankah dahulu kita pernah memberi peringatan antara sesama kita?

Sahabat? Di manakah kau sahabat? Marilah kita sama-sama bangkit dari tidur lena kita. cukuplah bermimpi indah yang hanya menghidangkan tipu daya. Marilah kita sama-sama mengejar redha Ilahi. Tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan ini, melainkan hanya jalan-jalan yang penuh duri yang memerlukan banyak pengorbanan. Dan tidak ada yang sanggup mengharunginya kecuali bagi mereka yang mempunyai keimanan yang tinggi. Dan tiada cara lain untuk mencapainya kecuali tarbiyyah yang berterusan….

Wahai sahabatku.. marilah bangkit bersamaku… Tidak kira ringan atau berat. Tidak boleh tidak. Kita harus kendong tugas ini. Dan janganlah kau risau. Kita akan kendong tanggungjawab ini bersama-sama. Dan jangan pernah lupa. Allah sentiasa memberi pertolongan dan kejayaan bagi hamba-hambaNya yang menolong agamaNya. Mari sama-sama berseru. Nahnu AnsaruLlah!!!!!


Doakan supaya kita terus thabat…


Wallahu a’lam…