7/30/2008

21 Rejab 1429/25th July 2008
2:33 pm


Aku ditemani oleh bunyi kipas yang kedengaran. Kadang kala terdengar bunyi kenderaan bergerak laju di luar. Senyap sunyi rumahku. Tiada siapa menemaniku di rumah. Adikku bersekolah. Kakakku bekerja. Ibu bapaku?

Ya. Mereka kini sedang bergembira bercuti di Vietnam. Aku amat bersetuju apabila mereka membuat keputusan untuk pergi bercuti buat masa ini. Aku amat memahami keadaan ibuku yang selama ini amat letih melakukan tugasannya sebagai seorang ibu di rumah. Harinya bermula sebelum anak-anaknya belum sempat bangun tidur, dan berakhir apabila semua anak-anaknya dipastikan sudah makan malam dan tidur pada waktunya. Ditambah lagi dengan anak buahku yang sudah mula nakal. Ibuku tiada lagi masa rehat. Ibuku memang seorang ibu yang baik. Ibuku adalah sahabatku. Aku senang berbicara dengannya. Aku senang meluahkan perasaanku padanya.

Sudah lebih 24 jam ibuku meninggalkan rumah ini di bawah tanggungjawabku. Aku berazam untuk memastikan rumah ini berada dalam keadaan baik sekali. Aku mahu melakukan yang terbaik, seperti mana ibuku melakukannya. Aku akan menjadi ibu kepada adikku buat sementara waktu. Aku akan memastikan rumah ini sentiasa dalam keadaan kemas sentiasa.

Namun, itu tidaklah semudah yang kusangkakan. Lebih kurang pada jam 9 pm semalam, rumah kami yang senyap sunyi bertukar menjadi riuh rendah. Kakakku menjerit, “Syida…. KATAK!!!!!” Aku terkejut melihat seekor katak berada dekat dengan meja makan kami. Ya. Allah, apa nak buat ni? Ummi xde… selalunya Ummi yang selalu halau katak kalau ia masuk dalam rumah. Dan tidak pernah pula katak pernah masuk ke dalam rumah sehingga ke kawasan ruang tamu. Paling-paling pun, katak selalu masuk ke dalam dapur sahaja.

Aku sudah mula cuak. Aku tidak berani untuk menghalau katak itu. Aku geli. Begitu juga kakak dan adikku. Namun, kami perlu juga untuk menghalau katak itu keluar. Lalau kami memberanikan diri. Kami mencapai pelbagai jenis ‘senjata’. Penyapu, kayu, baldi, salur getah dan penyembur serangga. Kami mengambil masa selama hampir sejam untuk menghalau katak tersebut. Geli hati apabila teringat kembali pengalaman tersebut. Kalaulah ibuku ada di rumah, tentu sahaja ibuku akan memegang sahaja katak itu dan mencampaknya ke luar.

Menjadi seorang ibu dan suri rumah tidaklah mudah seperti yang disangkakan. Sejak pagi, aku cuba menjalankan segala kerja yang biasa ibuku lakukan. Mengemas rumah, memasak, dan pelbagai kerja lain. Kelihatan seperti sedikit. Tetapi pada jam 12 tengahari, aku sudah pun mula terbaring keletihan. Bagaimanakah ibuku mampu untuk membuat semua kerja padahal umurnya sudahpun melebihi 50 tahun. Ibuku masih kelihatan kuat bekerja.

Tidak. Ibuku sudah tidak kuat. Pernah dia mengadu kepadaku. Sakit kepala. Sakit sendi. Kakinya bengkak. Macam-macam. Sebenarnya kudratnya sudah tidak sekuat dulu. Ibuku sudah dimakan usia. Semenjak aku pulang dari tanah UK, aku mula perasan akan perubahan pada wajah ibuku. Wajahnya cengkung. Kedut-kedut halus juga sudah mula kelihatan. Aku mula menyedari bahawa ini sudah masanya untuk ibuku duduk berehat. Bukan tugasnya lagi untuk menyelenggara rumah ini. Tugas anak-anaknya. Tugas kami. Tugasku.

Selama 4 hari ibuku tiada di rumah, aku menyedari akan pentingnya seorang ibu dalam hidupku. Bukanlah kerana aku mengharapkan dia kembali untuk menjaga rumah ini seperti sediakala. Tetapi, ketiadaannya membuatkan aku sungguh sunyi. Di waktu ini, kami sering berbual, tak kira tentang masa lampau, masa kini, dan masa depan. Aku rindukan suaranya. Terbayang-bayang kelibatnya di ruang rumah ini….

Ummi…. Syida rindu ummi…. Come back soon…

Come on, Syida… 4 hari je….. heh…


"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya 'ah' dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah 'Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.'"

7/23/2008

Peringatan!!!

7 Rejab 1429/11th July 2008
9:56 am


Syukur Alhamdulillah pada pagi ini aku masih dikurniakan nikmat yang tidak terkira hebatnya. Aku masih dikurniakan nafas yang membolehkan aku masih terus hidup bernyawa di bumi yang serba sementara ini. Masha Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah. Lagi Maha Penyayang. Lagi Maha Pengampun. Meskipun sudah terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan, Allah masih sudi untuk memberi aku satu lagi hari, satu lagi peluang, supaya aku dapat mencari hidayahNya, pengampunanNya sebelum tibanya ajalku, supaya terhapus segala dosaku. Masha Allah. Sungguh bodohnya aku, sungguh angkuhnya aku jika aku masih mempersia-siakan nikmat demi nikmat yang Dia tidak putus-putus, tidak jemu-jemu kurniakan kepadaku. Kepada kita.

Syukur juga aku panjatkan ke hadiratNya, pagi ini aku masih dikurniakan lagi satu nikmat yang julung-julung hebatnya. Tiada tandingannya. Aku masih bangun dalam keadaan aku masih ingat kepadaNya. Alhamdulillah, aku masih lagi seorang muslim. Namun, adakah aku seorang mu’minah? Sudah cukupkah imanku kepadaNya. Ya Allah, panjangkanlah umur kami supaya kami mempunyai satu lagi peluang supaya kami dapat memperbaiki lagi tahap keimanan kami. Kau lapangkanlah hati kami, Kau kurniakanlah hidayah dan taufiqMu kepada kami, dan janganlah Kau tarik kembali hidayah setelah Kau kurniakannya kepada kami.
“Rabbana la tuzigh qulubana, ba’da iz hadaitana, wa hahab lana min ladunka rahmah. Innaka anta al-Wahhab”

Hariku pada hari ini ada sedikit perbezaan berbanding hari-hariku sebelum ini. Hari ini aku akan pergi ke Shah Alam untuk bertemu dengan sahabat-sahabat, untuk duduk bersama, berbincang, muhasabah, dan memperingatkan satu sama lain akan tugas kita di dunia. Pada saat inilah, salah satunya cara, kita dapat me’refresh’ kembali iman kita, kerana manusia pada namanya sahaja sudah memberi maksud akan makhluk yang mudah terlupa. Kita sentiasa memerlukan peringatan. Kita sentiasa memerlukan seseorang yang boleh sentiasa mengingatkan kita. Tidak kiralah siapa pun kita. Mungkin kita seorang ustaz atau ustazah, namun itu tidak bermakna iman kita boleh berada di tahap tinggi sentiasa. Asatizah juga perlu kepada peringatan. Kerana itulah Rasulullah SAW pernah bersabda ketika haji wada’ (haji perpisahan) baginda sebelum kewafatan baginda,
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara iaitu Al-Quran dan As Sunnah, maka berpegang teguhlah kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya.”

Dan dalam firman Allah pula,
“Kami tidak menurunkan alQuran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah)” (20:2-3)
“Dan sesungguhnya dalam Al Qur'an ini Kami telah ulang-ulangi (peringatan-peringatan), agar mereka selalu ingat...” (17:41)

Dari dalil tersebut, terbukti bahawa Rasulullah SAW amat menekankan supaya kita dapat menjadikan alQuran sebagai manual harian kita untuk sentiasa mendapatkan peringatan yang berulang-ulang kali supaya ia akan tetap dan hadam dalam hati kita.



Namun, di dunia pada masa kini, terlalu banyak cabaran dan dugaan untuk mengekalkan kita mengingati Allah. Kerapkali kita kalah dalam pertempuran melawan hasutan syaitan dan nafsu kita sendiri. Memang sukar, apabila kita di kelilingi oleh terlalu banyak hiburan dan suasana jahiliyyah. Memang environment memainkan peranan penting dalam pembentukan hati seseorang. Kerana manusia itu terlalu banyak kelemahan. Sekuat mana pun hati dan iman seseorang, kalau tidak banyak, sedikit demi sedikit akan luntur jua kekuatan itu. Kerana adanya nafsu dalam setiap diri manusia. Nafsu yang sentiasa inginkan hiburan, yang memesongkan kita dari jalan yang lurus, yang suka menghalakan kita mengikut jalan syaitan ar-rajim. Di situlah kepentingan tarbiyyah. Untuk sentiasa meningkatkan, atau paling kurang, mengekalkan kita dalam lingkungan sunnah.

Ibnu Rawaahah pernah mengingatkan sahabatnya, Abu ad-Darda’, sambil memegang tangannya,
“Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak balik dari isi periuk yang sedang menggelegak.”



Bayangkanlah, Ibnu Rawaahah dan Abu ad-Darda’ itu adalah dua orang sahabat Rasulullah, al-Ansori yang terlalu banyak disebutkan dalam al-Quran akan ketinggian martabatnya. Orang seperti mereka sudah tentulah seorang yang amat tinggi tahap imannya kepada Allah dan Rasulnya, tambahan lagi mereka berkesempatan bertemu Rasulullah sendiri. Namun, mereka tetap sentiasa mengingatkan antara satu sama lain, dengan penuh kasih sayang, akan hakikat tahap iman yang turun dan naik, dan kepentingan sentiasa me’recharge’ iman mereka. Dan mereka adalah golongan Sahabat!! Golongan yang berkesempatan bertemu Rasulullah. Al-Ansor!! Dan siapa pula kita di sisi mereka?? Sungguh malulah jika kita berlaku sombong dan enggan untuk duduk sejenak untuk meningkatkan keimanan kita dan memperingatkan sahabat-sahabat kita yang lain.

Dan sudah tentu rakan-rakan semua mengenali dengan nama ‘Umar al-Khatab. Beliau merupakan Khalifah ar-Rasyidin yang kedua memerintah tanah Islam satu ketika dahulu. Salah seorang Sahabat Rasulullah yang paling rapat. Usah diceritakan pula tahap iman dan taqwanya. Namun, apabila berita kewafatan Rasulullah SAW tersebar, ‘Umar terus berasa marah, seraya berkata, “Tidak! Muhammad tidak wafat.” Para sahabat panic apabila diancam oleh ‘Umar supaya supaya tidak mengatakan bahawa Rasulullah telah wafat. Bayangkan sahajalah sifat ‘Umar yang memang bengis dan garang.

Mujurlah Saidina Abu Bakar RA ada berdiri di situ melihat Saidina Umar yang seperti naik berang tidak percaya apabila mendengar berita kewafatan tersebut. Lalu Abu Bakar menenangkan suasana dan berkata, “Barangsiapa beriman kepada Rasulullah, maka Rasulullah telahpun wafat. Dan barangsiapa beriman kepada Allah, percayalah Allah itu Maha Hidup dan tidak akan pernah mati.” Lalu beliau membacakan firman Allah SWT:
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik kebelakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-prang yang bersyukur.” (3:144)

Begitulah kisah ‘Umar. Walaupun tahap keimanan ‘Umar tidak dapat disangkal lagi hebatnya. Namun dia juga tetap ditarbiyyah walaupun di saat kewafatan Rasulullah. Walaupun tinggi tahap keimanan Saidina ‘Umar, beliau juga tewas apabila beliau tidak mempercayai bahawa Rasulullah sudah wafat, malah sanggup membunuh pula. Lihatlah, sedangkan ‘Umar menerima tarbiyyah dan peringatan sepanjang hidupnya, apa lagi kita?

Kisah-kisah sahabat itu telah mengajar kita betapa pentingnya tarbiyyah dalam hidup kita. Lagi-lagi kita yang hidup di zaman hedonism yang penuh dengan hiburan yang melekakan. Kita mungkin tidak sedar sedikit demi sedikit, hiburan itu membawa kita lebih jauh dari Allah. Na’uzubillah min zalik, aku tidak mahu itu. Aku sentiasa ingin hidup di dalam lembayung keredhaanNya. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa hidup di dalam keadaan di mana kita sentiasa ada Allah di hati kita. Bagaimana? Al-Quran itu diturunkan kita. rugilah kalau kita mensia-siakannya. Gunakanlah ia. Dan duduklah bersama-sama orang yang soleh, dan berbicaralah tentang Allah. Insya Allah, Allah akan sentiasa member guidance kepada orang yang ‘mahu’.

Wallahu a’lam…

7/05/2008

Kisah Seekor Robot

13 Jamadil Akhir 1429/18th June 2008
8:58 am


Ada satu kisah yang bagiku amat menarik. Ingin berkongsi dengan rakan-rakan. Please bear with me, ok?
……………………………………………………………………………………………

Ada seekor robot. Namanya Robot. Robot telah dicipta di kilang pembuat robot-robot. Robot diperbuat dari bahan-bahan bermutu tinggi. Badannya diperbuat dari stainless steel (untuk mengelakkan corrosion, dan sangat kuat tapi berat dan mahal). System otaknya pula telah diprogram dengan begitu teliti dengan feedback system yang mantap. Harapnya, Robot ini akan member manfaat kepada tuannya nanti.

Pada suatu hari, Robot telah dibeli oleh seorang lelaki. Lelaki ini berharap agar Robot akan dapat berkhidmat kepadanya, membantunya dalam kerja-kerja hariannya.

Sepulangnya lelaki itu dari Pasaraya Meru, tempat Robot dibeli, lelaki itu terus menekan butang ‘on’ pada Robot supaya Robot dapat berfungsi. Setelah butang itu ditekan, Robot membuka matanya dan tersenyum. Lalu, Robot membuka kepingan di bahagian perutnya dan menarik wayar berupa ‘plug’ dan berjalan-jalan di sekeliling rumah. Apabila Robot terjumpa satu ‘power point’, Robot akan berhenti dan akan men’cas’ (charging) dirinya sendiri.

Setelah penuh baterinya dicas, Robot akan terus berjalan-jalan di sekeliling rumah lelaki itu, mencari lagi mana-mana ‘power point’. Apabila terjumpa lagi, maka Robot akan men’cas’ lagi dirinya. Dan begitulah seterusnya. Berulang-ulang rutin hidup Robot.

Sehinggalah pada suatu hari, Robot telah ter’over-charged’. Maka, system otaknya gagal berfungsi dengan baik. Maka tamatlah riwayat hidup Robot.

……………………………………………………………………………………………………….

Apakah moral of the story?

Cuba kita fikirkan, adakah Robot telah berjaya berkhidmat untuk tuannya? Sudah tentu sekali tidak. Malah, Robot amat menyusahkan tuannya. Apa tidaknya. Sudahlah Robot mahal, ditambah lagi dengan kerja si Robot ini asyik suka menge’cas’ dirinya. Sudah tentu melambung bil elektik lelaki ini. Nasib baik Robot tidak berfungsi menggunakan hasil pembakaran petrol. Kalau tidak tentu lagi haru biru dibuatnya….

Apa kena mengena dengan kita?

Apa kena mengena dengan kita?

Apa kena mengena dengan KITA?

Cuba kita perhatikan kehidupan kita, apa yang kita buat sepanjang hidup kita. Kita bangun pagi, naik kereta, bayar tol, pergi kerja, dapat gaji, balik rumah, tidur. Esok pagi, bangun tidur lagi, naik kereta lagi, bayar tol, pergi kerja, dapat gaji, balik rumah, tidur. Bagi yang masih belajar pula, bangun pagi, naik bas, bayar tambang, pegi kuliah, balik rumah, buat assignment, tidur. Dan perkara yang sama jugalah yang berulang-ulang sepanjang hidup kita. Berulang-ulang.

Apa bezanya pula kita dan Robot?

Robot --> berjalan-jalan untuk mengecas dirinya untuk mendapat tenaga untuk berjalan-jalan lagi untuk mengecaskan dirinya untuk mendapat tenaga, bla…bla…bla…

Kita --> berjalan-jalan untuk bekerja untuk mencari duit supaya kita boleh berjalan-jalan lagi untuk bekerja untuk mencari duit, bla…bla… bla….

Ada beza tak?

mmm… macam tak je…

abis tu? Nak buat apa lagi? Memang itu rutin hidup kita. Apa yang boleh kita buat lagi? Jawab… jawab… JAWAB!!

Banyak sebenarnya yang boleh kita buat yang membezakan hidup kita dengan Robot. Hidup Robot untuk tuannya. Hidup manusia untuk Tuhannya. Jadi buatlah kerja hanya untuk Allah.

Eh, aku cari rezeki ni aku niatkan demi Allah tau!!

Memanglah. Tapi, itu bukan persoalannya. Persoalannya adalah apa yang kita buat yang boleh menguntungkan agama Allah ini?

Memang bekerja itu digalakkan, malah disuruh. Tapi, jika kita menjadikan kerja kita itu sebagai MATLAMAT, itu sudah salah. Kita perlu menjadikan kerja kita itu sebagai CARA.

Renungkan kembali, apa fungsi manusia dijadikan di dunia ini. Untuk bekerjakah? Untuk cari duit kah? Untuk cari duit untuk Allah kah? Tidak, kan?? Kita diciptakan di dunia ini supaya kita dapat beribadat kepada Allah dan juga untuk menyebarkan agamaNya.

Jadi, apa guna kita bekerja?

Untuk memudahkan cerita, sebagai seorang khalifah di muka bumi ciptaan Allah ini, apa-apa sahaja kerja yang kita lakukan, perlulah ia dapat memberi keuntungan kepada agama suci ini. Sebagai contohnya, jika kita bekerja, dapat duit bolehlah kita untuk membuat kebajikan. Ataupun, lebih mudah untuk kita bergerak di muka bumi Allah ini untuk menjalankan kerja dakwah dan sebagainya. Pendek kata, segala kerja kita biarlah member manfaat kepada Islam.
Ataupun, apa guna kita perlu untuk belajar ilmu-ilmu seperti sains, sastera dan matematik. Kalau tugas kita di bumi ini sebagai du’at (pendakwah), cukuplah kalau kita hanya belajar tentang ilmu agama seperti ilmu Fiqah, Tauhid atau Syariah. Tidak. Kita tidak boleh pula menyempitkan fikiran kita seperti itu. Islam itu syumul. Bermakna Islam itu meliputi segala segi. Dan kita juga memang sudah dituntut untuk mengejar ilmu sebanyak mana yang boleh. Kalau tidak kerana ilmu-ilmu seperti sains itu, tidak mungkin kita dapat mengecapi kesenangan seperti yang kita nikmati seperti sekarang ini. Kesenangan? Bukankah itu semua kesenangan dunia? Materialistic kah? Sekali lagi jangan pula kita menyempitkan fikiran kita. dan sekali lagi kita imbas kembali, segala apa yang kita lakukan biarlah menguntungkan agama. Jadi, segala kesenangan yang kita kecapi ini, biarlah kita jadikan sebagai advantage supaya mudah untuk kita menjalankan tugas kita yang sebenar-benarnya. Apabila kita menjadikan kesenangan ini sebagai alat yang menjadikan kita lalai, maka itu adalah salah. Itulah kufur nikmat.

Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah kembali. Apakah tujuan aku bekerja? Apakah tujuan aku belajar? Adakah aku ini robot? Sudah cukupkah apa yang aku lakukan ini member manfaat kepada agamaku? Sudah cukupkah apa yang aku lakukan ini boleh membawaku ke syurga? Fikir-fikirkan lah. Jadilah seorang hamba Allah yang terbaik. Fastabiqul khairat. Berkejar-kejarlah untuk melakukan kebaikan. Jangan jadikan diri sebagai robot. Jangan jadikan diri kita sebagai hamba kepada dunia dan nafsu...

Ingin aku berkongsi satu video yang amat memberikan kesan dalam hatiku.
http://www.youtube.com/watch?v=uF_iG5cFeWM


Wallahu a’lam…