5/20/2008

Living in assumptions

4 Jamadil Awwal 1429 / 9 May 2008
1:09PM


Alhamdulillah. Sejak kebelakangan ni cuaca bumi Sheffield ini sangat baik. Tiada lagi rasa sejuk yang melampau. Suhu pada saat ini menjangkau angka 21°C. Alhamdulillah. Moga dengan keadaan cuaca yang baik ini, aku juga dikurniakan ‘mood’ yang lebih baik untuk menyiapkan assignment dan prepare untuk exam yang bakal menjelang dalam masa 2 minggu sahaja lagi! Ya Allah… kurniakan aku keberkatan masa.

Oleh kerana cuaca yang amat baik ini, kami kaum hawa undergrad di Sheffield ini tidak melepaskan peluang untuk menghirup udara segar di waktu petang. Kami ber’picnic’ di Botanical Garden. Pada mulanya, aku agak keberatan untuk bersama-sama mereka kerana aku agak letih memandangkan baru sahaja selesai meeting dengan groupmates. Tetapi, apabila aku memikirkan ini adalah satu peluang aku untuk merapatkan lagi ukhuwwah antara kami, aku pun bersetuju. Aku pun sudah lama tidak meluangkan masa bersama mereka, bertukar-tukar cerita. Selain itu, dapat juga aku menikmati keindahan alam dan membuang segala ke’tension’an disebabkan kerja-kerja yang berlambak-lambak menanti untuk disiapkan.

Semasa bersembang-sembang di Botanical garden itu, kami mengambil kesempatan untuk berta’aruf semula. Bukannya kami tidak mengenali antara satu sama lain. Ramai juga di antara mereka yang aku sudah kenali hampir 3 tahun. Tetapi, apabila kami membuka cerita, banyak juga kisah tentang mereka yang aku baru sahaja ketahuinya. Ada juga yang berkata, “Ooo… patutlah akak wat ‘cani…cani…’ Ingatkan sebab akak ‘cani… cani….’ Rupenye ‘cani…cani…’” Dan ada pula yang membuka cerita tentang kisahnya semasa kanak-kanak. Boleh dikatakan ianya sebuah kisah yang agak sedih. “itulah kisah akak mase akak kecik. Disebabkan pengalaman akak tu la, sampai sekarang akak bersikap macam ni. Harap semua boleh menerima akak seadanya.”
Itulah kepentingan ta’aruf. Ta’aruf bukanlah sekadar mengetahui nama, umur, tempat tinggal dan sebagainya. Tetapi, dengan ta’aruf kita sepatutnya sudah lebih dapat memahami akan seseorang itu. Perwatakannya, gaya bercakap, sikapnya, ‘sensitivity’nya… semua itu amat penting supaya kita dapat lebih menghormati setiap individu. Terutama orang-orang terdekat dengan kita. Sahabat kita, adik-beradik kita, ibu-bapa kita… Kita jangan terlalu yakin yang kita sudah cukup mengenali mereka.

Pernah tak satu ketika, ada seseorang datang kepada kita dan menceritakan masalahnya kepada kita. Dan pernah tak kita berasa, “Ekelleh… benda-benda kecik cani pun dia nak amek kesah. Padahal akunye problem ni lagi besar nk bandingkan dengan benda alah ni.” Pernah tak? Kalau ada, itu adalah satu kesilapan yang agak besar. Itu adalah salah satu tanda kita tidak menghormati sahabat kita tersebut.

Kita jangan lupa, Allah mencipatakan kita bermacam-macam jenis, bermacam-macam rupa, gaya, kerenah. Begitu juga dengan tahap ketahanannya. Mungkin tahap ketahanan kita lebih tinggi daripada sahabat kita. Namun itu tidak bermakna kita layak untuk meremehkan masalah-masalah ‘kecil’ sahabat kita itu. Seharusnya kita menghormati perasaan sahabat kita tersebut, mendengar kisahnya dan cuba untuk menyelami hati dan perasaannya. Nasihatilah mereka jika perlu.

Terlalu ramai sahabatku yang mengalami perkara ini. Seorang sahabat pernah bercerita kepadaku tentang seorang sahabatnya yang sering sahaja menceritakan masalah kepadanya. Sahabatku itu sering merungut. Dia merasakan sahabatnya itu kurang matang menghadapi ujian yang ditimpakan kepadanya. Ya, memang benar. Kita disuruh untuk bersabar dan redha dengan ujian yang diturunkan kepada kita. Namun, sahabat juga perlu memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Apa-apa pun, kita hanyalah manusia. Kita sentiasa memerlukan kepada sahabat yang boleh memberi sokongan kepada kita, ataupun yang sentiasa mengingatkan kita supaya bersabar dan sebagainya. Jika kita berfikir masalahnya remeh, jangan lupa, masalah yang besar pada kita mungkin pula nampak kecil di mata orang lain. Mesti sedih kan kalau sahabat rapat kita menggelakkan kita apabila kita meluahkan masalah kita kepada mereka?

Memang sukar juga untuk menjadi seorang sahabat. Sahabat. Bolehkah aku menjadi seorang sahabat yang baik? Adakah aku boleh menjadi pendengar yang baik apabila sahabatku menceritakan masalahnya? Di saat sahabatku ditimpa kesusahan, adakah aku akan sentiasa di sampingnya? Adakah aku boleh menjadi seorang sahabat ketika susah dan senang? Jika sahabatku melakukan sesuatu yang salah, adakah aku akan menegur kesalahannya? Jika aku mendengar berita-berita tidak elok tentang sahabatku, adakah aku terus mempercayainya?

Mmm… Soalan yang terakhir itu sungguh menarik. Kerana memang kebanyakan orang gagal menjadi seorang sahabat disebabkan gagalnya mereka menangani keadaan itu. Hal itu juga kerapkali berlaku pada diriku. Sesuatu yang amat aku kesalkan.

“Kau tau tak, Han, aku dengar daripada si A, yang si B tu penipu besar. Kat si A dia kata lain. Rerupenye dapat tau yang si B ni tipu dia rupenye. Kesian kat si A." (Kisah ini hanyalah rekaan semata-mata. Kisah yang sebenarnya dirahsiakan :D)

Apabila aku mendengar sahaja khabar itu, merah padam wajahku. Apa yang ada dalam fikiranku ketika itu, aku agak kesal dengan sikap si B rakanku itu. Ada juga aku mempertahankan sahabatku itu. Tetapi aku tidak dapat menipu diriku sendiri, sedikit sebanyak, sebenarnya aku sudah pun mempercayai akan khabar angin itu. Astaghfirullah…

Beberapa hari berikutnya, aku terserempak dengan sahabatku si B itu. Aku masih bermanis muka padanya. Aku berlagak seperti biasa. Namun, di dalam hatiku terdetik untuk bertanya kepadanya akan kisah sebenar. Aku pun dengan bijaknya cuba untuk membuka cerita supaya dia dapat bercerita kepadaku tanpa melibatkan nama sahabatku yang lain. Akhirnya, setelah mendengar kisahnya, aku mengetahui akan kisah sebenar. Semua ini hanyalah salah faham semata-mata. Lihatlah, inilah bahana khabar angin. Bagaimana seorang yang kononnya bergelar ‘sahabat’ telah bersangka buruk terhadap rakannya itu. Hanya kerana satu berita yang terbukti tidak benar. Sedih….
Benarlah apa Allah ajar kita…

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.” (6:116)

Memang, oleh kerana aku hanya mempercayai kata-kata orang lain, aku mula bersangka buruk terhadap rakanku sendiri. Dan Allah sudah pun mengungkapkan, jika kita hanya mempercayai sahaja apa yang kebanyakan orang ungkapkan, tanpa usul-periksa, kita boleh tersesat dari jalan yang lurus ini. Astaghfirullah al-‘Azim… Ampunkan dosaku ya Allah. Ya Allah, janganlah kau pesongkan hati-hati kami dari jalanMu, secara sengaja atau tidak sengaja, ya Muqallibal Qulub.

Peristiwa ini banyak mengajarku tentang erti persahabatan dan kepercayaan. Ia juga banyak menguji tahap keimananku. Bukankah sudah Allah ungkapkan, perasaan yang tidak baik itu datangnya dari bisikan syaitan. Dan alangkah lemahnya imanku, aku gagal menepis segala bisikan syaitan yang mencucuk-cucuk nafsuku untuk bersangka buruk terhadap sahabatku sendiri. Memang ini rencana syaitan laknatullah! Dari sinilah jalan masuknya untuk dia mengotori hati kita. Sedikit sahaja kotor hati kita, sudah cukup untuk memudahkan kerja syaitan direjam itu terus merosakkan hati kita. Na’uzubillah min zalik.


Hanya niat untuk berkongsi kisah ini dengan rakan-rakan yang lain. Perasaan sangka buruk (su’uz zon) itu mungkin nampak kecil. Tetapi, hakikatnya Allah telah berkali-kali menyebut dalam firmanNya tentang perasaan prasangka ini. Menunjukkan betapa pentingnya untuk kita sentiasa menjaga hati daripada lahirnya prasangka-prasangka yang buruk terhadap manusia, dan lebih teruk lagi, kepada Allah. Astaghfirullah…


Juz my 2p


Wallahu a’lam…

No comments: