5/02/2008

Kisah Sang Musafir

22 Rabiul Akhir 1429 / 28th April 2008
1:27 pm

Bermula 26th March 2008, aku bersama 8 orang rakan yang lain memulakan perjalanan ke ‘watan’ (tanah air) ku, yang dahulunya pernah menyaksikan satu pembangunan pesat Islam, di waktu Islam menjadi ‘ustaziatul alam’ (world order). Namun kini watanku itu telah pun jatuh ke tangan manusia yang tidak mengenal kalimah shadatain itu. Namun itulah watanku. Spain.

Sebelum menjejakkan kaki ke tanah Andalusia, penerbangan kami dari Stansted Airport mendarat dahulu ke Barcelona. Kami menghabiskan seharian pergi melawati Bandar itu termasuklah stadium bola, dan bangunan-bangunan unik yang direka oleh seorang arkitek bernama Gaudi. Keesokannya pula, kami bertolak ke Madrid dengan menaiki speed train. Di sana kami juga melawati stadium bola Real Madrid yang terkenal itu, dan juga Plaza de Toros (Bull Ring) yang menjadi ‘trademark’ kepada Spain itu sendiri.


Keesokan harinya pula, kami menuju ke Cordoba. Aku berasa tidak sabar-sabar untuk tiba di sana kerana aku tahu bagaimana megahnya dahulu Islam di tanah itu satu waktu dahulu. Di tanah itu, berdirinya satu masjid (Mesquita/mosque) yang gah pada waktu itu. Namun selepas kejatuhan Islam, Masjid itu telah dirampas kembali oleh orang kristian dan dijadikan cathedral. Sedih. Mesquita itu tidak jauh dari hostel yang kami diami. Apabila kami tiba di situ, aku tidak dapat menahan air mataku daripada mengalir. Tidak tahu bagaimana perlu ku gambarkan perasaanku pada waktu itu. Aku berasa sangat hiba. Aku sayangkan masjid itu. Sangat sedih apabila kulihat sekeliling masjid itu yang sepatutnya damai, aman, permai; menjadi seperti sebuah pesta; akibat daripada kini ianya menjadi destinasi para pelancong. Masjid itu tidak lagi dihormati. Semakin kuat azamku untuk kembalikan kehormatan ‘deen’ku.

Setelah membeli tiket (woott???), kami semua berjalan ke arah pintu masuk masjid itu. Tiba di pintu masuk, sudah ada pak guard yang menunggu. Sempat dia berpesan kepada kami, “You are not allowed to pray inside this cathedral.” Bertambah hiba hati ini rasakan. Ini tempatku. Ini sepatutnya menjadi tempat ibadat kami. Dahulunya masjid ini menjadi serbuan ribuan orang muslim, sehinggakan di kejauhan terdengar seperti bunyi nyamuk (itulah asal wujudnya perkataan mosque/mesquita). Kini kami dihalang untuk beribadat di tempat kami sendiri. Tempat kita. Namun, kami tidak melawan. Kami bersetuju.

Aku melangkah masuk. Masha Allah. Air mata ini mengalir lagi. Kulihat patung-patung Jesus dan crucifix menjadi hiasan setiap penjuru tempat itu. Masjid yang dahulunya terang disirami cahaya mentari, kini diselubungi kegelapan akibat kebanyakan pintu-pintu masjid itu ditutupi dengan simen batu. Alangkah indahnya masjid itu jika pintu-pintu itu dibiarkan terbuka, membenarkan sinaran mentari menerangi setiap penjuru masjid itu, menzahirkan keindahannya. Sebahagian daripada masjid itu masih mengekalkan ukiran-ukiran indah yang asal yang diukir semasa zaman pemerintahan Islam dahulu. Mungkin mereka sendiri tidak sanggup untuk membuang ukiran-ukiran itu kerana cantiknya seni Islam itu.

Aku akhirnya menjumpai tempat yang dahulunya menjadi mimbar. Tempat itu kini telah berpagar. Namun ukiran di sebalik pagar itu masih dapat kubaca. “La ilaha ill Allah….” Dan banyak lagi kata-kata pujian ke atas Allah. Ukiran itu masih dikekalkan. I wonder why….

Setelah puas berjalan dan bergambar di dalam masjid itu, kami duduk sebentar. Kami mula bercerita dan berbincang tentang sejarah awal Islam di Spain. Kami mengimbau kembali bagaimana Islam mula berkembang di Spain, konflik yang berlaku, sehinggalah kejatuhannya. Memang penting untuk kita mengkaji kembali sejarah ini supaya kita dapat mengambil iktibar daripada kisahnya. Dan dari sejarah jugalah kita boleh memilih untuk mengikut jejak langkah tokoh-tokoh Islam terdahulu (Tariq b Ziyad, Abd Rahman al-Ghafiki, etc)bagaimana tingginya semangat mereka untuk menyebarkan seruan deen Allah ke setiap pelusuk bumi Allah ini. Hanya untuk mendapat keredhaan Allah. Mencapai syurga Allah. Itu sahaja impian dan cita-cita mereka. Sungguh, aku ingin jadi seperti mereka.

Pada petang itu, kami menaiki bas menuju ke Medina Az-Zahra. Mengikut sejarahnya, Medina Az-Zahra ini dibina semasa zaman pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III untuk dijadikan Bandar istana. Ada sejarah mengatakan nama Az-Zahra itu diambil bersempena nama isterinya. Namun, ramai rakyat tidak berpuas hati dengan pembinaan istana itu kerana ada sejarah mengatakan bahawa semasa pembinaannya, khalifah pernah meninggalkan Solat Jumaat sebanyak 3 kali akibat terlalu sibuk sehinggakan tindakannya itu ditegur oleh Ulama’ pada ketika itu. Akhirnya, istana itu telah dibakar semasa ‘civil war’. Istana yang dahulunya sangat masyhur dan megah berdiri, kini hanya terdiri dari runtuhan-runtuhan batu. Bolehlah kita ambil pengajarannya di sini, lihatlah pengakhiran kuasa khalifah itu pada waktu itu kerana cintanya dia pada dunia melebihi cintanya kepada agamanya sendiri.

Keesokannya pula, kami bertolak ke Sevilla. Tiada apa sangat yang kami lakukan di sana kecuali menaiki Tour Bus untuk mengelilingi satu Bandar Sevilla itu. Kelakar. Aku membayar tiket itu dengan harga €15. Namun, di atas bas itu aku hanya tertidur tanpa menikmati tempat-tempat yang kami lewati. Rugi….rugi….. Pada petang itu, kami semua menuju ke Granada pula dan bermalam di sana selama semalam.

Mungkin ramai yang pernah mendengar tentang hebatnya istana Alhambra atau Al-Hamra’ iaitu ‘Kota Merah’. Alhambra ini merupakan istana dimana Khalifah pada waktu itu memerintah dan bersemayam. Apa yang amat menakjubkan tentang istana ini adalah seni ukiran yang menghiasi sentiap pelusuk dinding istana itu. Dan apa yang sangat menarik adalah ukiran-ukiran itu menyebutkan kalimah “La Ghalib Illa Allah”. Tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah. Subhanallah. Mengikut sejarah, ukiran-ukiran ini bermaksud supaya ke mana sahaja penghuni-penghuni istana itu berjalan, mereka tidak akan terlepas daripada hanya mengingati Allah. Supaya pemerintah ketika itu sentiasa beringat bahawa walaupun pada waktu itu mereka mempunyai kuasa yang besar di tanah itu, namun terdapat lagi satu kuasa yang Maha Besar yang tidak tertanding lagi. Allah ‘Azza wa Jalla. Alangkah bagusnya jika pemimpin-pemimpin Negara pada zaman ini mempunyai kesedaran seperti itu. Akan muncullah sekali lagi, biiznillah, dunia idealism Islam.
Satu lagi aspek yang diterapkan di kawasan istana itu adalah konsep air di mana ianya adalah untuk menggambarkan suasana di syurga nanti. Memang kedamaian dan kedinginan istana itu lebih terasa dengan kolam-kolam air yang amat tenang. Ini baru di dunia yang hanya bersifat sementara. Bagaimanakah pula agaknya kedamaian semasa di syurga nanti.

Pada petang itu, kami semua bertolak ke destinasi terakhir kami di Spain, iaitu Malaga. Aku ditugaskan untuk menjaga hal ehwal perjalanan kami sepanjang di sana. Alhamdulillah, setelah sedikit kesukaran untuk memahami peta, walaupun pernah sekali tersesat jalan, akhirnya kami berjaya tiba di hostel. Keadaan hostel itu tidaklah begitu selesa seperti mana di Granada. Namun, itu cukup untuk membuatkan aku tidur dengan nyenyak sekali.

Keesokannya, kami semua menuju ke sebuah pantai kira-kira 10 minit dari hostel kami. Pantai Costa del Sol. Aku lega apabila aku melihat kegembiraan terpancar dari wajah rakan-rakanku. Kerana sebelum ini aku berasa sedikit risau jika perjalanan mereka di Malaga ini bukan satu perjalanan yg menarik. Namun, setelah melihat kegembiraan mereka, aku boleh tersenyum lebar.

Selepas hampir 2 jam, kami berjalan pulang ke hostel untuk berkemas. Selepas ini, aku bercadang untuk membawa mereka bersiar-siar di sekitar Bandar Malaga sebelum menuju ke Lapangan Terbang Malaga untuk pulang ke London. Setibanya kami di Stesen Renfe untuk menuju ke Bandar, seorang dari kawanku mendekatiku. “Han, aku nye handphone xde. Aku rase tertinggal kat hostel la.” Aku dengan rasa senang hati menemaninya kembali ke hostel. Aku berdoa supaya handphone nya itu dapat dijumpai. Aku agak gusar jika bilik yang dia diami malam tadi sudah pun dikemas dan handphone itu telahpun diambil oleh pihak hostel. Namun aku tetap berdoa.

Tiba sahaja kami di sana, kawanku itu terus bergegas menuju ke biliknya itu setelah meminta izin dari receptionist. Malangnya, handphone itu tak diketemui. Aku risau. Aku kembali bertemu dengan receptionist bertanyakan tentang handphone rakanku yang hilang itu. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur kerana pekerja-pekerja di hostel itu sungguh jujur. Housekeeper yang telah mengemas bilik itu telah menemui handphonenya. Housekeeper itu sambil tersenyum, memulangkan kembali handphone itu kepada rakanku.

Setelah itu, kami menuju kembali ke Stesen Renfe dan bersama-sama bergerak ke Bandar Malaga. Tiba sahaja kami di Bandar Malaga, aku mulai berasa ‘tension’ kerana sekali lagi aku menghadapi masalah untuk membaca peta. Lalu aku pun mengambil langkah untuk bertanya dengan orang tempatan untuk mengetahui arah ke tempat destinasi kami.

Setelah lama berjalan, aku yang mengetuai rombongan itu terperanjat apabila aku terdengar suara-suara cemas rakan-rakanku di belakang. Aku semakin terperanjat apabila aku melihat tompok-tompok hijau yang mengotori baju-baju mereka. Seorang wanita Spanish yang sedar dengan kejadian itu memberitahu kami bahawa itu burung-burung ‘flamingo’ yang terbang dikawasan itu telah ber’nyahtinja’ di atas baju mereka. Lalu aku meminta 2 orang dari rakan yang berjalan disampingku tadi untuk memeriksa bajuku. Alhamdulillah, tiada tompok hijau tersebut. Begitu juga di baju mereka. Lalu kami bertiga membuat keputusan untuk masuk sebentar di kedai-kedai berdekatan untuk mengelakkan daripada najis-najis tersebut. Namun, wanita Spanish itu beria-ia untuk membawa kami semua untuk ke sebuah lorong di mana mengikut katanya terdapat satu tandas awam di mana kami boleh membersihkan pakaian-pakaian kami. Kami pun menurutinya.

Setelah itu, 3 orang lelaki lagi termasuk seorang yang dari tadi sedang bercakap di dalam pondok telefon datang ke arah kami. Mereka berkeras untuk membantu kami untuk membersihkan baju-baju kami. Tandas yang dikatakan tadi tidak pula kelihatan. Orang-orang Spanish itu pun memberikan tissue kepada kami supaya kami dapat mebersihkan pakaian-pakaian antara satu sama lain. Pakaian aku yang tadinya bersih sudah pun dicemari dengan tompokan hijau tersebut. Mungkin sepanjang kami berjalan di lorong itu, burung itu sempat untuk melakukan proses perkumuhannya sekali lagi. Huhuhu….

Aku di paksa oleh salah seorang dari mereka untuk membersihkan baju seorang rakanku walaupun setelah berkali-kali aku mengatakan yang bajunya itu sudah pun bersih. Dia pula sibuk untuk membersihkan bajuku dari belakang. Aku sedar akan caranya semasa membersihkan bajuku itu agak kasar. Aku terasa seperti dia ingin merabaku, lalu aku memarahinya. Namun, dia tetap juga berkeras untuk menolongku. Rakan-rakanku yang lain juga begitu. Mereka berbaris supaya mereka dapat membersihkan pakaian antara satu sama lain, dan orang yang paling belakang pula, bajunya akan dibersihkan oleh salah seorang daripada orang Spanish itu. “Asal baik sangat lak derang ni…. Mmmm…..”

Setelah 5 minit, mereka semua beredar meninggalkan kami sambil mengucapkan selamat tinggal. Kami semua pula bergelak tawa, lucu dengan kejadian tahi burung ini. Aku pula berasa sangat kagum dengan kebaikan dan keperamahan orang-orang Spain ini. Sanggup menolong walaupun kami tidak mereka kenali. Namun, tak lama kemudian….
“Eh, korang. Aku punya purse dah takde,” seorang rakanku bersuara. Kami mula terdiam dan memintanya untuk memeriksa sling-bag nya sekali lagi. Namun jawapannya tetap sama. Tiada. Kami tersedar. Kami mula memeriksa pula beg-beg tangan kami. Alhamdulillah, tiada apa yang hilang.

Namun, kami amat bersimpati di atas seorang rakanku ini kerana barang-barang penting seperti student card, debit card dan credit card semuanya lesap. Kami terus memintanya untuk menghubungi pihak bank di UK untuk melaporkan hal itu sebelum apa-apa yang lebih buruk terjadi. Aku melihat wajah rakanku itu cemas, namun aku tahu, dia sedang cuba untuk bertenang. Keadaan semakin rumit apabila pihak bank meminta bermacam-macam jenis maklumat sebagai verification. Takut-takut jika panggilan itu adalah panggilan palsu (fraud). Semakin cemas rakanku itu, bagaimana pada waktu seperti itu dia boleh mendapatkan semua maklumat seperti nombor akaun bank dan bermacam-macam lagi. Proses pembatalan kad itu tidak dapat dijalankan selagi pihak bank tidak mendapatkan maklumat-maklumat tersebut. Masa terus berjalan. Kami semakin risau kalu-kalau pencuri-pencuri tersebut sempat untuk meng’songlap’ duitnya sebelum pembatalan sempat dijalankan.

Sedang rakanku itu sibuk menyelesaikan masalahnya, tiba-tiba aku teringat sesuatu yang berharga di dalam beg aku. Aku memeriksa begku sekali lagi. Dugaan demi dugaan. Kameraku yang telah kugunakan sejak 2 tahun lalu itu hilang. Ya Allah. Lemah terus tubuh badan ku rasakan. Aku menggigil. Aku memberitahu berita itu kepada rakanku yang lain. Mereka terperanjat. Dan mereka terus menenangkan perasaanku. Namun, aku tidak dapat menahan air mataku. Aku menangis. Aku tidak kisah akan kameraku yang hilang. Tetapi aku merindukan kenangan-kenangan yang kami rakamkan. Mujurlah bukan kameraku sahaja yang digunakan sepanjang perjalanan kami. Sekurang-kurangnya aku boleh mendapatkan gambar-gambar dari rakanku yang lain. Namun godaan syaitan itu sangat dasyat dan aku pula pada ketika itu sangat lemah imanku. Mudah sungguh aku terpedaya dengan bisikan-bisikan jahat syaitan itu. Aku marah, aku geram, dan seakan-akan tidak redha dengan dugaan yang Allah turunkan itu. Padahal setiap musibah yang Allah turunkan itu adalah semata-mata untuk menguji tahap keimananku. Astaghfirullah al-Azim…. Sabar Han…

Tidak lama selepas itu, aku mula berasa tenang. Namun, aku dan rakanku masih berasa trauma dengan kejadian tersebut. Tetapi aku amat bersyukur rakan-rakanku yang lain yang banyak menyokong kami. Thanks, all…..

Satu perkara yang amat menyentuh hatiku, seorang rakanku memberitahuku….




“Kita kena belajar untuk redha dengan ujian yang Allah turunkan untuk kita. Apa-apa yang telah Allah takdirkan untuk kita, baik atau buruk, semua ada hikmah di sebaliknya. Macam kisah rompakan ni, walaupun sepanjang perjalanan kita, kita selalu mengingatkan antara satu sama lain supaya menjaga beg kita. Namun kita selalu berjaga-jaga hanya di kawasan yang sesak dengan orang saja. Tapi kita terlupa, malang itu boleh berlaku pada bila-bila masa je. Tak kiralah kawasan itu adalah kawasan sesak ataupun lapang. Kerana perompak-perompak ini sentiasa sahaja mempunyai helah yang boleh membutakan mata kita. Tengok saja apa yang berlaku pada kita. Hanya dengan tahi burung kita sudah terlupa untuk sentiasa berhati-hati dengan barang-barang kita. Akhirnya, tragedy menimpa kita…”


“…Begitu juga dengan iman kita. Kita hanya sentiasa berjaga-jaga dengan perkara-perkara maksiat yang besar, seperti tidak meninggalkan solat, tidak melakukan zina, dan lain-lain. Namun, kita sering terlupa, syaitan itu sangat licik dan bijak untuk memperdaya dan menyesatkan kita (17:61-65). Lihatlah sahaja benda-benda lagha yang banyak kita lakukan, seperti berbual-bual kosong, membuang masa, menonton rancangan yang tidak berfaedah. Kita mungkin tidak sedar, pada waktu itu iman kita adalah di tahap yang paling rendah sekali. Oleh itu, sangat penting untuk kita sentiasa ditarbiyyah supaya tiada satu saat pun dalam hidup kita lalai daripada mengingati Allah.”


“… Dan anggaplah kejadian malang ini sebagai tarbiyyah juga kepada kita…”


Sesungguhnya apa yang dijadikan Allah di dunia ini adalah tidak lain dan tidak bukan sebagai nikmat dan juga peringatan kepada kita.





Wallahu’alam….

No comments: