10/21/2009

Hamba yang Tertapis...

2nd Zulqaedah 1430/21st October 2009
6:04 am


Perjalananku sehari-harian berulang-alik Klang-UM dengan menaiki public transport memang agak memenatkan. Tapi, Alhamdulillah, Allah masih mengurniakan aku secebis tenaga dan ketabahan untuk aku masih boleh berdiri dan bekerja seperti biasa. Dan yang paling hebat sekali, Allah tidak mahu aku menjadikan semua itu sebagai rutin sahaja, tetapi, dalam perjalanan hampir 6 jam (pergi-balik) di atas bas itu, Allah ingin aku berfikir dan mempelajari banyak perkara.

Aku gemar memerhati keletah orang ramai yang pelbagai. Ada yang kurasakan jelek, ada yang kurasakan senang. Namun, di sebalik semua itu, terdapat hikmah dan pelajaran yang dapat diambil. Tidak pernah ada satu pun yang berlaku di atas muka bumi ini yang dijadikan sia-sia, bahkan adalah untuk memberikan pengajaran atau tazkirah bagi sesiapa yang berfikir.

……………………………………………………………..

Aku menaiki bas seperti biasa. Jam pada waktu itu menunjukkan pukul 5 petang. Peak hour. Pada waktu itu, aku terpaksa berhimpit dengan ramai orang yang baru pulang dari kerja sepertiku. Pada waktu itu, orang ramai sudah tidak peduli akan tatasusila. Tidak peduli untuk menjaga penampilan diri. Yang penting, masing-masing dapat menaiki bas dan kalau boleh mendapat tempat duduk. Aku yang pada asalnya malas nak ambil port pun turut sama dalam pertarungan untuk menaiki bas itu, walaupun aku tahu akhirnya semua yang menunggu akan berjaya menaiki bas itu akhirnya. Kenapa masih mahu berebut dan lupa akan sifat sopan-santun seorang melayu dan muslim? Ish.. ish… aku pun sama jugak…

Dalam kesibukan dalam bas itu, di mana semua orang berebut tempat duduk, tetapi, tiba-tiba ada seorang lelaki yang bangun dari tempat duduknya. Dia memberikan tempat duduknya pada seorang wanita yang dipercayai sedang mengandung. Aku hanya memandang dari jauh dan tersenyum sendiri. Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan penat, masih ada orang yang boleh berfikir secara waras dan memberikan priority kepada orang yang lebih memerlukan.

Dalam masa itu, aku sempat berfikir sendiri. Aku teringin untuk mendapat peluang itu. Bukan peluang menjadi ibu mengandung itu, tetapi sebagai lelaki itu. Aku teringin untuk mendapat pahala mudah seperti itu. Aku teringin untuk mendapat peluang untuk membuat kebaikan pada orang lain seperti itu. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi untuk menambahkan pahala amalan, dan juga dapat memberi contoh yang baik pada mereka yang lain. Susah untuk gambarkan perasaan ini.

Pada satu hari yang lain, aku menaiki Putra LRT dari Wangsamaju. Seawal jam 7:30 pagi, sudah terlalu ramai orang yang beratur menunggu giliran mereka untuk menaiki tren. Bayangkan, aku sendiri yang sudah berada dalam barisan hanya dapat menaiki tren selepas 5-6 tren berlalu pergi. Selepas tren ke-6 tiba, barulah aku dapat menaikinya, itu pun berebut juga. Tak usahlah berharap untuk mendapat tempat duduk. Hanya selepas tiba di KLCC tren menjadi sedikit lengang, barulah aku dapat merehatkan kakiku.

Pada masa yang sama, masih ada orang lain yang berpusu-pusu masuk ke dalam tren, dan mereka terpaksa berdiri. Dan hendak dijadikan cerita, berdiri di hadapanku adalah seorang wanita berbangsa cina. Masih terbayang di ruang mata akan penampilannya, berbaju kemeja pendek bercorak petak-petak, dan berskirt pendek. Namun, apa yang lebih menarik perhatianku adalah perutnya yang sedikit menonjol. Aku pun berfikir, wanita ini mengandung ataupun buncit? Dua-dua pun ada kemungkinannya. Aku pun berkira-kira sendiri, kalau wanita ini tidak mengandung, jika aku menawarkan tempat duduk ini, adakah dia akan berkecil hati? (pahamkan sebab apa….) terlalu lama berfikir, akhirnya wanita itu turun di destinasinya. Maka aku terlepaslah peluang untuk membuat kebajikan yang dari dulu aku idamkan.

Pada satu lagi hari yang lain, aku terasa begitu penat sekali. Dan agak lama aku perlu berdiri di dalam bas pulang menuju ke Klang. Tiba di Shah Alam, seorang lelaki turun meninggalkan satu tempat kosong berdekatan denganku. Aku apa lagi, tidak mahu melepaskan peluang pada orang lain, terus duduk dan bersandar kelegaan.

Namun, beberapa saat selepas itu, seorang lelaki berbangsa india di sebelahku bangun. Adakah tidak selesa denganku? Rupa-rupanya tidak. Malah dia memberikan tempat duduknya pada seorang lelaki bertongkat yang sudah berusia agak lanjut. Yang paling ironic sekali, rupa-rupanya lelaki tua itu hanya berdiri di sebelahku!!

......................................................

Ya Allah, aku sungguh malu denganMu. Aku meminta supaya aku dikurniakan peluang untuk membuat amalan kecil seperti itu. Tetapi selepas Kau datangkan padaku peluang itu, aku tidak pula berusaha untuk menggunakannya. Malah, aku hanya mementingkan diriku sendiri, dan aku tidak berusaha untuk memerhatikan orang lain dahulu sebelum diriku. Aku lupa untuk bersifat ithar.

Walaupun kisah ini tampak amat kecil, tetapi ia sudah cukup untuk mengingatkan aku pada kisah Bani Israel yang banyak diceritakan dalam alQuran. Seperti firman Allah SWT:

“Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israel sesudah Nabi Musa, yaitu ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah". Nabi mereka menjawab: "Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang." Mereka menjawab: "Mengapa kami tidak mau berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dari anak-anak kami?" Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, mereka pun berpaling, kecuali beberapa orang saja di antara mereka. Dan Allah Maha mengetahui orang-orang yang zalim.” (2:246)

Adakah aku ini hanya seperti mereka yang meminta-minta untuk membuat sesuatu amalan di jalan Allah, tetapi hakikatnya kata-kata itu di mulut sahaja, tetapi tidak disertakan dengan iman yang hak? Adakah aku ini tergolong dalam golongan yang munafiq? Na’uzubillah min zaalik...

Secara terus-terang, kadang-kadang, aku sentiasa berasa kekosongan di Malaysia ini. Dahulu, aku dapat banyak peluang untuk ‘mencapai’ ramai orang, dan diberi peluang untuk menjadi naqibah usrah. Peluang itu sangat-sangat aku hargai dan syukuri, dan memberikan aku sedikit bekalan dan preparation untuk aku menghadapi reality di Malaysia. Kini, aku sudah mendapat peluang bekerja di UM, di mana terlalu banyak takungan mad’u yang dahagakan cahaya deen Islam. Bukankah itu yang dari dulu aku pinta? Untuk berpeluang berkerja di kalangan pelajar supaya aku mudah untuk mencapai mereka? Sekarang apakah usahamu ke arah itu?

Mahukah aku menjadi seperti Bani Israel itu??? TIDAK MAHU!!!!!!!!!!!!!!!!




Wallahu a’lam...

4 comments:

Haziq Hashim said...

kadang2 kita rasa malu nak bangun dari tempat duduk. jangan dilayan sgt perasaan tu. kalau rase keperluan lebih kpd org yg berdiri. teruskan bangun tanpa melayan perasaan ragu. sesungguhnya ragu2 itu datang drpd syaitan... :)

Han Rohim said...

hukhuk... baik2...

Unknown said...

dah berjaya tolong org buta Jumaat lepas :D

Han Rohim said...

hhaha... lawak ok...

alhamdulillah kite masih dikurniakan peluang tu kn? semoga amalan kite diterima olehNya...

mudah-mudahan nia kite juga sentiasa suci dan ikhlas hanya untuk mendapat redhaNya semata...