3/17/2009

Ini Sejarahku (Part 2)

20 Rabi’ul Awwal 1430/17th March 2009
8:13 am


Pada cuti summer, seorang rakanku telah memperkenalkan aku dengan satu program di Kelantan. KIBAR. Kursus Intensif Bahasa Arab. Aku berminat. Sudah lama aku meninggalkan bahasa itu yang dahulunya aku minati. Pada mulanya, ada seorang kakak yang agak keberatan ingin membenarkan aku mengikuti kursus ini. Alasannya, dia takut aku akan terkejut dengan pengisian-pengisian yang berat yang bakal aku akan dengari di sana. Aku berasa keliru. Apa salahnya untuk aku dengar? Kalau aku tak faham, aku akan bertanya. Paling-palingpun, aku akan mendiamkan diri sahaja. Setelah berfikir, aku menetapkan keputusanku. Aku pun bersama rakanku itu bertolak ke Kelantan menyertai kursus itu.

Memang benar. Keadaan di situ sungguh membuatkan aku terpana. Rata-rata yang menyertai kursus itu adalah mereka yang bertudung labuh, dan berpakaian labuh. Menutup aurat dengan lengkap sekali. Aku menjadi segan. Pakaianku tidaklah se’solehah’ mereka. Sedangkan stoking pun aku tidak bawa banyak. Kadangkala aku tidak mengenakan stoking pun sewaktu kelas diadakan.

Aku berasa tenang sewaktu di program itu. Aku suka dengan suasana ketika itu. Suasana yang amat baik. Bi’ah solehah. Di waktu itulah aku seringkali terfikir. Mengapa tidak aku jadi seperti mereka? Padahal dahulu aku juga bersekolah agama.aku tahu banyak hukum agama. Tahu? Oh, baru aku sedar. Aku hanya sekadar tahu. Tapi, hatiku ini kurasakan sungguh kotor kerana tidak terfikir pun untuk mengamalkan ajaran-ajaran islam itu.

Aku perhatikan mereka. Tidak pernah sekali-kali aku melihat mereka membuang masa apabila mereka diberikan masa rehat. Jika mereka bersendirian, rata-rata aku melihat mereka semua sungguh khusyuk menelaah al-Quran. Atau pun, mereka bersolat sunat. Aku kagum. Mereka sungguh istiqomah.

Apabila aku pulang dari program tersebut, aku mula berazam. Aku ingin berubah. Aku ingin berubah untuk menjadi seperti mereka.

Sepulangnya aku ke UK semula, aku telah diserapkan ke dalam sistem usrah. Dalam sepanjang aku berusrah inilah aku telah diberikan tarbiyyah. Tarbiyyah yang telah banyak mendidik hatiku, melembutkan hatiku. Menjadikan aku lebih memahami apakah erti islam itu sendiri. Astahfirullah al-Azim… aku sudah banyak tersasar dari jalan jalan lurus itu. Kerana betapa jahilnya aku tentang deenku ini.

Sedikit demi sedikit, aku mula menjinakkan diri untuk berpakaian labuh. Menutup aurat. Bukan untuk menunjuk-nunjuk. Tiada sekali-kali aku berperasaan untuk berperasaan ‘ujub. Na’uzubillah. Minta Allah jauhkan aku dari sifat terkutuk itu. Namun, niatku hanya satu. Inilah yang telah diajar oleh Rasulullah. Inilah yang Allah minta setiap hambaNya untuk lakukan. Sudah terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan. Aku mahu menebus kembali dosa-dosaku yang telah lalu. Aku ingin menjadi qudwah kepada orang lain. Kerana aku ingin sahabat-sahabatku yang lain turut merasa nikmat Islam yang telah dapat kurasai pada saat ini. Oleh kerana itu, perkara paling kecil yang boleh aku sumbangkan adalah menunjukkan contoh terbaik buat mereka, dan mempamerkan sendiri keindahan islam itu. Namun, ya… itu sangat sukar. Kerana ia perlu dibentuk dari dalam. Iaitu dari hati.
Hidayah itu hanya milik Allah. Allah sahajalah yang berkuasa untuk membalik-balikkan hati manusia. Aku sentiasa berdoa semoga Allah tetapkan aku dalam jalan yang lurus ini. Aku sentiasa berdoa supaya Allah sentiasa melindungi diriku ini dari mengikut nafsuku yang menjebakkan aku ke arah kemaksiatan.

Hidayah itu sudah berada di depan mata. Lihatlah dunia ciptaanNya ini. Lihatlah dirimu sendiri. Betapa indahnya ciptaanNya. Dia memudahkan kita untuk bergerak. Pernah tak kira berasa tidak selesa, dan merungut apabila nikmat kesihatan kita itu ditarik? Pernah tak kita merungut apabila kita sakit-sakit badan sehingga kita sukar untuk bergerak untuk membuat kerja-kerja seharian kita?

Lihatlah betapa Allah itu Maha Berkuasa ke atas kita. Kerana diri kita ini milikNya. Kita hidup kerana Dia. Maka seluruh hidup kita ini hanyalah untuk Dia. Dan apabila kita menghembuskan nafas kita yang terakhir, kita akan kembali bertemuNya. Dan apakah yang akan kita sembahkan di hadapanNya nanti? Semuanya terpulang pada kita. Sementara kita masih hidup, fikir-fikirkanlah…

“Ya Allah… Kau kurniakanlah kepada kami hidayahMu ya Allah… Kau ampunkanlah dosa-dosa kami. Dan Kau lindungilah diri kami dari bahang api neraka itu… “

Ucapkanlah "SAYONARA JAHILIYYAH"...!!!

Wallahu a’lam…

No comments: