3/10/2009

Ini sejarahku... (Part 1)

13 Rabi’ul Awwal 1430/10th March 2009
9:04 am


Semalam, aku banyak menghabiskan masa bersama adik-adik junior kesayanganku. Aku memasak untuk mereka. Berpenat lelah. Walaupun nasi ayamku agak tidak menjadi (malu… malu… huhuhu… ), tidak mengapalah. Asalkan kami dapat mengeratkan ukhuwwah kami. Dua minggu lepas, kami telah pun duduk bersama-sama untuk berkongsi cerita tentang sejarah ‘kita’. Dan semalam, kami duduk bersama-sama untuk mendengar sebuah kisah sejarah yang lain pula.

Aku, Wani, dan Kak Nikmun telah berkongsi-kongsi cerita bersama-sama mereka. Mereka agak terperanjat apabila dikatakan bahawa kami ini dahulunya tidaklah bertudung dan berbaju labuh seperti sekarang ini. Kami dahulu juga adalah seorang yang suka bermain-main, sukakan hiburan, dan tidak menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Aku ringan mulut bercerita kepada mereka.

..................................................


Dahulu, semasa sekolah rendah, aku bersekolah Tahfiz. Di sekolah, kami perlu untuk menghafal satu juz ‘Amma. Surah Yassin kami hafal. Surah Kahfi pun kami hafal. Apalagi Surah ar-Rahman dan Surah as-Sajjadah. Semuanya kami hafal……

… untuk lulus exam.

Alhamdulillah, berbekalkan result examku, dan dengan rahmat Allah, aku berjaya ditempatkan ke Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin. Satu sekolah agama yang ‘agak’ diidam-idamkan oleh kebanyakan pelajar (jika tidak diterima masuk ke sekolah berasrama penuh dan MRSM).

Di sekolah ini, semua pelajar diwajibkan untuk bertudung labuh menutup siku, melebihi pinggang. Baju kurung juga mestilah bercekak. Aku hanya menurut arahan. Takut ‘kantoi’ dengan Pengawas sekolah atau Cikgu Disiplin. Tetapi, ramai juga yang tidak mengikut peraturan itu. Remaja la katakan… Rebellious…

Tetapi malangnya, apabila aku di luar sekolah, aku tidak pernah untuk mempraktikkan semula peraturan sekolah itu. Aku masih lagi bertudung singkat. Lengan bajuku yang panjang, aku sinsing lalu menampakkan auratku. Tidak pula aku takut akan Pengawas semesta alam yang akan menghukumku di satu hari kelak. Hari yang tidak akan dapat seorang pun yang akan terlepas daripadanya.

Alhamdulillah, aku mendapat keputusan yang agak baik dalam PMR. Aku diterima masuk ke MRSM Batu Pahat yang baru sahaja siap dibina. Berpayah-payah juga aku dan family meletakkan usaha untuk memastikan aku berjaya juga menempatkan diri di MRSM.

Di sekolah ini, aku bagaikan mengalami kejutan budaya yang teramat. Setelah 3 tahun bersekolah di sekolah perempuan, aku berasa janggal apabila aku terpaksa belajar di sekolah campur. Teringat aku pada satu hari apabila seorang lelaki tiba-tiba memanggilku untuk duduk di sebelahnya. Kerana terlalu gerun, aku terus lari meninggalkan lelaki itu terpinga-pinga.

Pada awal persekolahanku di situ, aku kerap menyalahkan keadaan. Dahulu, suasana sekolah yang ‘agak’ solehah telah membuatkan aku selesa, dan kononnya telah membina diriku untuk menjadi lebih solehah (dari segi menjaga aurat – di sekolah saja). Tetapi di sini, kononnya aku menyalahkan suasana di maktab yang tidak menekankan tentang hal ini. Aku mula merungut-rungut, “kalaulah aku masih belajar di sekolah Hisamuddin, dah tentu aku tak perlu terjebak dengan suasana seperti ini.” Sungguh aku tidak bersyukur. Bukankah dahulu aku yang beria-ia nak ke maktab pilihan ini? Dan bukankah itu merupakan salahku sendiri, jika aku tidak berjaya mengekalkan pemakaian lamaku. Di manakah silapnya?

Alhamdulillah, berbekalkan keputusan SPMku, aku berjaya melangkahkan kaki ku ke tanah Inggeris ini. Dahulu, ramai yang menasihatkan aku. Jangan mudah terpengaruh dengan budaya kafir ini. Di tempat orang nanti, jaga diri, jaga perlakuan. Aku hanya mengiyakan. Takkanlah aku akan terikut-ikut budaya barat itu.

Namun, yang sebaliknya pula terjadi. Aku bagaikan lupa asal-usul. Aku terlupa akan janjiku dahulu. Aku mula larut dalam arus barat yang berjaya melemaskan aku. Aku mula terpengaruh dengan cara pemakaian mereka. Aku juga ingin kelihatan bergaya seperti mereka. Bajuku singkat. Pergaulanku bebas. Pada waktu ini, ada juga kakak-kakak senior yang ada mendekatiku, mungkin untuk menahanku dari terus hanyut. Tapi, tidak aku pedulikan. Ini hidupku...

- to be continued -

No comments: