12/01/2008

Patuhnya hamba Allah itu...

2 Dzulhijjah 1429/30th November 2008
7:59 pm


Baru minggu lepas rakan serumahku, Zack pergi ke London untuk menghadiri satu temuduga dengan Petronas. Cuak sungguh Zack menanti hari-hari tersebut. Biasalah. Siapa tidak takut untuk ditemuduga. Apa lagi dengan syarikat besar seperti Petronas. Sudah banyak telah kudengari tentang betapa sukarnya untuk menjawab soalan-soalan temuduga Petronas. Dengan beberapa stage yang perlu dilalui, dengan soalan killer yang bakal ditanya, aku memahami akan perasaan Zack. Namun, aku agak kagum dengannya. Kerana Zack amat aku kenali dengan sifatnya yang yakin dengan diri sendiri dan berani mengharungi cabaran. Bukan seperti aku. Mm….

Ramai juga rakan-rakanku yang meng’apply’ untuk bekerja di syarikat itu. Aku? Tak tahulah. Aku tidak berminat untuk bekerja di syarikat itu. Frankly, aku langsung tidak berminat untuk bekerja di mana-mana syarikat pun. Aku tidak tahu samada benarkah aku ini tidak bercita-cita tinggi, tetapi, aku lebih kuat untuk memasuki bidang pendidikan. Aku ni bukanlah pandai benar untuk mengajar orang, oleh kerana kurangnya communication skill. Tapi, itulah cita-citaku. Mungkin aku akan menyambung pengajian dalam PhD. Tapi, aku masih mempertimbangkannya lagi. Banyak lagi aspek-aspek lain yang perlu aku consider sebelum membuat keputusan.

Sejak akhir-akhir ini, aku kerap berfikir. Aku kerap termenung. Apakah yang bakal terjadi padaku 5 tahun akan datang? Berjayakah aku? Adakah aku akan menjadi seperti rakan-rakanku yang lain? Menjadi engineer atau manager yang dipandang tinggi? Mendapat gaji yang banyak? Rumah yang besar? Adakah dapat kucapai semua itu dengan hanya menjadi seorang guru? Tak dapat aku menipu diriku sendiri. Aku mulai risau apabila aku memikirkan semua itu. Aku takut jika masa depanku tidak secerah seperti yang diidam-idamkan.

Kadang-kadang aku mengeluh sendiri. Mengapakah aku mesti menjadi seorang dewasa. Kerapkali juga aku terdengar dari mulut Zack, “Han, I’m not ready to be a grown-up.” But, that’s the reality. We’re grown-ups. Aku sudah tidak boleh mengabaikan pelajaranku. Bukan seperti waktu sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Kalau gagal dalam UPSR, aku masih boleh menebus kembali semasa PMR ataupun SPM. Kali ini? Aku sudahpun di tahun akhir pengajianku. Kalau aku gagal kali ini, apakah lagi peluang yang aku ada?

Penyesalan yang tidak terhingga aku rasakan pada saat ini. Aku melihat kembali pada waktu-waktu yang telah berlalu. Apa yang telah aku lakukan? Aku sedar, aku banyak membuang masa. Aku selalu melengah-lengahkan kerjaku. Dan akibatnya, aku sering sahaja mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan. Adakah aku tidak fikir bahawa aku ingin membina masa depan?

Kesedaran itu sering sahaja aku datang dalam diriku. Setiap tahun. Apabila aku mendapat keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan, aku akan mula berazam untuk membuat yang terbaik pada tahun hadapan. Namun, azam hanya kekal untuk sementara waktu sahaja. Kemudian aku mula lalai. Aku leka. Aku tidak menumpukan perhatian pada pelajaranku. Dan akhirnya, aku kecundang lagi.

Masa itu adalah satu nikmat Allah yang tidak sepatutnya kita sia-siakan. Kerana masa itu saat demi saat akan pergi meninggalkan kita. Dan saat demi saat jugalah malaikat-malaikat di bahu kita memerhatikan apa yang kita kerjakan. Peluang yang Allah berikan kepada kita sangat banyak untuk kita sentiasa mengerjakan perkara-perkara yang baik. Tetapi, apa yang kebanyakan dari kita lakukan adalah meninggalkan saat-saat itu berlalu pergi begitu sahaja. Seperti yakin benar kita bahawa saat-saat itu akan datang kembali kepada kita. Ataupun, yakin benar kita akan masih ada lagi saat-saat yang kita lalui.

Masa itu juga adalah hamba Allah yang sangat patuh. Tidak pernah masa itu berhenti daripada bergerak. Kerana itulah tanggungjawab masa. Allah telah memerintahkan masa untuk terus berdetik meninggalkan hari dan malam. Tidak pernah masa itu leka menjalankan tanggungjawabnya. Tidak pernah sekali-kali kita melihat tiba-tiba dalam sehari terdapat 40 jam. Kerana lekanya atau letihnya masa untuk bergerak. Alangkah sedihnya masa apabila melihat kita mensia-siakan dirinya yang tidak boleh berpatah balik. Alangkah sedihnya masa itu jika melihat kita menggunakan dirinya untuk perkara-perkara maksiat.

Matahari dan bulan itu adalah makhluk Allah. Patuhnya mereka kerana mereka tidak pernah leka untuk silih berganti menukar siang dan malam. Semuanya mengikut aturan yang ditetapkanNya. Semuanya mengikut sunnatullah. Tidak pernah matahari dan bulan bergaduh berebut untuk menerangi tempat yang mereka kehendaki. Jika giliran matahari untuk muncul di Bandar Sheffield pada jam 6am, maka pada 6am lah matahari akan muncul. Tidak akan terlewat tanpa izinNya. Dan bulan pula tidak akan sibuk-sibuk untuk hadir bersama. Kerana tugasnya adalah di tempat lain pula. Namun tugas mereka adalah sama. Untuk member keselesaan kepada manusia. Matahari, menerangi manusia di waktu siang supaya mudah berjalan melakukan kerja-kerja harian. Bulan, menghiasi dada langit yang gelap gelita pada malam hari. Malam di mana manusia diberi peluang untuk berehat.
“…dan Kami jadikan tidurmu untuk istirehat, dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan…” (78:9-11)


Namun, alangkah sedihnya matahari dan bulan jika mengetahui manusiaini tidak menggunakan siang dan malamnya dengan perkara yang berfaedah. Malah berfoya-foya dan tidak menghargai ciptaan Allah yang hebat ini.

Bumi itu adalah ciptaan Allah. Patuhnya bumi kerana tanahnya yang subur yang boleh menumbuhkan tanam-tanaman yang menjadi makanan kita. Patuhnya bumi kerana sanggup berkorban diri dipijak-pijak oleh kita untuk berjalan di mukanya. Tidak mengapa. Kerana ini perintah Allah. Memang ini tugasnya.

Dan patuh juga bumi kerana sanggup berkorban diri untuk merobek-robek dirinya apabila waktu ditetapkan nanti. Iaitu waktu di mana semua pintu taubat itu tertutup. Di mana tiada lagi masa untuk kita mencari-cari jalan-jalan amalan kebajikan. Tiada lagi. Pada hari itu, matahari, bulan dan planet-planet lain juga sanggup berkorban diri untuk melanggar antara satu sama lain. Di atas perintah Allah, mereka lakukannya. Jika mereka mempunyai mulut. Sudah tentu mereka akan menjerit, meraung kesakitan. Namun, tidak mengapa. Itu perintah Allah. Alangkah sedihnya mereka jika pada waktu itu, mereka mengetahui sangat ramai manusia yang hitungannya berat di sebelah kiri, walaupun di waktu sempurnanya mereka, mereka masih mempunyai masa untuk mengubah semua itu. Sedih…

Ingatlah, sedangkan seluruh alam, bumi, langit dan matahari pun tidak lupa bertasbih memuji Allah.
“Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah). Dan Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (57:1)


Di manakah kita di waktu itu? Kitalah sebaik-baik ciptaan Allah yang dijadikan untuk beribadat dan mentadbir bumi. Namun adakah kita setanding dengan mereka ini. Di manakah tahap kita? Tidak malukah kita melakukan kerja-kerja maksiat dan sia-sia di atas bumi yang bertasbih kepadaNya?


Wallahu a’lam…

No comments: