7/23/2008

Peringatan!!!

7 Rejab 1429/11th July 2008
9:56 am


Syukur Alhamdulillah pada pagi ini aku masih dikurniakan nikmat yang tidak terkira hebatnya. Aku masih dikurniakan nafas yang membolehkan aku masih terus hidup bernyawa di bumi yang serba sementara ini. Masha Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah. Lagi Maha Penyayang. Lagi Maha Pengampun. Meskipun sudah terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan, Allah masih sudi untuk memberi aku satu lagi hari, satu lagi peluang, supaya aku dapat mencari hidayahNya, pengampunanNya sebelum tibanya ajalku, supaya terhapus segala dosaku. Masha Allah. Sungguh bodohnya aku, sungguh angkuhnya aku jika aku masih mempersia-siakan nikmat demi nikmat yang Dia tidak putus-putus, tidak jemu-jemu kurniakan kepadaku. Kepada kita.

Syukur juga aku panjatkan ke hadiratNya, pagi ini aku masih dikurniakan lagi satu nikmat yang julung-julung hebatnya. Tiada tandingannya. Aku masih bangun dalam keadaan aku masih ingat kepadaNya. Alhamdulillah, aku masih lagi seorang muslim. Namun, adakah aku seorang mu’minah? Sudah cukupkah imanku kepadaNya. Ya Allah, panjangkanlah umur kami supaya kami mempunyai satu lagi peluang supaya kami dapat memperbaiki lagi tahap keimanan kami. Kau lapangkanlah hati kami, Kau kurniakanlah hidayah dan taufiqMu kepada kami, dan janganlah Kau tarik kembali hidayah setelah Kau kurniakannya kepada kami.
“Rabbana la tuzigh qulubana, ba’da iz hadaitana, wa hahab lana min ladunka rahmah. Innaka anta al-Wahhab”

Hariku pada hari ini ada sedikit perbezaan berbanding hari-hariku sebelum ini. Hari ini aku akan pergi ke Shah Alam untuk bertemu dengan sahabat-sahabat, untuk duduk bersama, berbincang, muhasabah, dan memperingatkan satu sama lain akan tugas kita di dunia. Pada saat inilah, salah satunya cara, kita dapat me’refresh’ kembali iman kita, kerana manusia pada namanya sahaja sudah memberi maksud akan makhluk yang mudah terlupa. Kita sentiasa memerlukan peringatan. Kita sentiasa memerlukan seseorang yang boleh sentiasa mengingatkan kita. Tidak kiralah siapa pun kita. Mungkin kita seorang ustaz atau ustazah, namun itu tidak bermakna iman kita boleh berada di tahap tinggi sentiasa. Asatizah juga perlu kepada peringatan. Kerana itulah Rasulullah SAW pernah bersabda ketika haji wada’ (haji perpisahan) baginda sebelum kewafatan baginda,
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara iaitu Al-Quran dan As Sunnah, maka berpegang teguhlah kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya.”

Dan dalam firman Allah pula,
“Kami tidak menurunkan alQuran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah)” (20:2-3)
“Dan sesungguhnya dalam Al Qur'an ini Kami telah ulang-ulangi (peringatan-peringatan), agar mereka selalu ingat...” (17:41)

Dari dalil tersebut, terbukti bahawa Rasulullah SAW amat menekankan supaya kita dapat menjadikan alQuran sebagai manual harian kita untuk sentiasa mendapatkan peringatan yang berulang-ulang kali supaya ia akan tetap dan hadam dalam hati kita.



Namun, di dunia pada masa kini, terlalu banyak cabaran dan dugaan untuk mengekalkan kita mengingati Allah. Kerapkali kita kalah dalam pertempuran melawan hasutan syaitan dan nafsu kita sendiri. Memang sukar, apabila kita di kelilingi oleh terlalu banyak hiburan dan suasana jahiliyyah. Memang environment memainkan peranan penting dalam pembentukan hati seseorang. Kerana manusia itu terlalu banyak kelemahan. Sekuat mana pun hati dan iman seseorang, kalau tidak banyak, sedikit demi sedikit akan luntur jua kekuatan itu. Kerana adanya nafsu dalam setiap diri manusia. Nafsu yang sentiasa inginkan hiburan, yang memesongkan kita dari jalan yang lurus, yang suka menghalakan kita mengikut jalan syaitan ar-rajim. Di situlah kepentingan tarbiyyah. Untuk sentiasa meningkatkan, atau paling kurang, mengekalkan kita dalam lingkungan sunnah.

Ibnu Rawaahah pernah mengingatkan sahabatnya, Abu ad-Darda’, sambil memegang tangannya,
“Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak balik dari isi periuk yang sedang menggelegak.”



Bayangkanlah, Ibnu Rawaahah dan Abu ad-Darda’ itu adalah dua orang sahabat Rasulullah, al-Ansori yang terlalu banyak disebutkan dalam al-Quran akan ketinggian martabatnya. Orang seperti mereka sudah tentulah seorang yang amat tinggi tahap imannya kepada Allah dan Rasulnya, tambahan lagi mereka berkesempatan bertemu Rasulullah sendiri. Namun, mereka tetap sentiasa mengingatkan antara satu sama lain, dengan penuh kasih sayang, akan hakikat tahap iman yang turun dan naik, dan kepentingan sentiasa me’recharge’ iman mereka. Dan mereka adalah golongan Sahabat!! Golongan yang berkesempatan bertemu Rasulullah. Al-Ansor!! Dan siapa pula kita di sisi mereka?? Sungguh malulah jika kita berlaku sombong dan enggan untuk duduk sejenak untuk meningkatkan keimanan kita dan memperingatkan sahabat-sahabat kita yang lain.

Dan sudah tentu rakan-rakan semua mengenali dengan nama ‘Umar al-Khatab. Beliau merupakan Khalifah ar-Rasyidin yang kedua memerintah tanah Islam satu ketika dahulu. Salah seorang Sahabat Rasulullah yang paling rapat. Usah diceritakan pula tahap iman dan taqwanya. Namun, apabila berita kewafatan Rasulullah SAW tersebar, ‘Umar terus berasa marah, seraya berkata, “Tidak! Muhammad tidak wafat.” Para sahabat panic apabila diancam oleh ‘Umar supaya supaya tidak mengatakan bahawa Rasulullah telah wafat. Bayangkan sahajalah sifat ‘Umar yang memang bengis dan garang.

Mujurlah Saidina Abu Bakar RA ada berdiri di situ melihat Saidina Umar yang seperti naik berang tidak percaya apabila mendengar berita kewafatan tersebut. Lalu Abu Bakar menenangkan suasana dan berkata, “Barangsiapa beriman kepada Rasulullah, maka Rasulullah telahpun wafat. Dan barangsiapa beriman kepada Allah, percayalah Allah itu Maha Hidup dan tidak akan pernah mati.” Lalu beliau membacakan firman Allah SWT:
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik kebelakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-prang yang bersyukur.” (3:144)

Begitulah kisah ‘Umar. Walaupun tahap keimanan ‘Umar tidak dapat disangkal lagi hebatnya. Namun dia juga tetap ditarbiyyah walaupun di saat kewafatan Rasulullah. Walaupun tinggi tahap keimanan Saidina ‘Umar, beliau juga tewas apabila beliau tidak mempercayai bahawa Rasulullah sudah wafat, malah sanggup membunuh pula. Lihatlah, sedangkan ‘Umar menerima tarbiyyah dan peringatan sepanjang hidupnya, apa lagi kita?

Kisah-kisah sahabat itu telah mengajar kita betapa pentingnya tarbiyyah dalam hidup kita. Lagi-lagi kita yang hidup di zaman hedonism yang penuh dengan hiburan yang melekakan. Kita mungkin tidak sedar sedikit demi sedikit, hiburan itu membawa kita lebih jauh dari Allah. Na’uzubillah min zalik, aku tidak mahu itu. Aku sentiasa ingin hidup di dalam lembayung keredhaanNya. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa hidup di dalam keadaan di mana kita sentiasa ada Allah di hati kita. Bagaimana? Al-Quran itu diturunkan kita. rugilah kalau kita mensia-siakannya. Gunakanlah ia. Dan duduklah bersama-sama orang yang soleh, dan berbicaralah tentang Allah. Insya Allah, Allah akan sentiasa member guidance kepada orang yang ‘mahu’.

Wallahu a’lam…

No comments: