7/30/2008

21 Rejab 1429/25th July 2008
2:33 pm


Aku ditemani oleh bunyi kipas yang kedengaran. Kadang kala terdengar bunyi kenderaan bergerak laju di luar. Senyap sunyi rumahku. Tiada siapa menemaniku di rumah. Adikku bersekolah. Kakakku bekerja. Ibu bapaku?

Ya. Mereka kini sedang bergembira bercuti di Vietnam. Aku amat bersetuju apabila mereka membuat keputusan untuk pergi bercuti buat masa ini. Aku amat memahami keadaan ibuku yang selama ini amat letih melakukan tugasannya sebagai seorang ibu di rumah. Harinya bermula sebelum anak-anaknya belum sempat bangun tidur, dan berakhir apabila semua anak-anaknya dipastikan sudah makan malam dan tidur pada waktunya. Ditambah lagi dengan anak buahku yang sudah mula nakal. Ibuku tiada lagi masa rehat. Ibuku memang seorang ibu yang baik. Ibuku adalah sahabatku. Aku senang berbicara dengannya. Aku senang meluahkan perasaanku padanya.

Sudah lebih 24 jam ibuku meninggalkan rumah ini di bawah tanggungjawabku. Aku berazam untuk memastikan rumah ini berada dalam keadaan baik sekali. Aku mahu melakukan yang terbaik, seperti mana ibuku melakukannya. Aku akan menjadi ibu kepada adikku buat sementara waktu. Aku akan memastikan rumah ini sentiasa dalam keadaan kemas sentiasa.

Namun, itu tidaklah semudah yang kusangkakan. Lebih kurang pada jam 9 pm semalam, rumah kami yang senyap sunyi bertukar menjadi riuh rendah. Kakakku menjerit, “Syida…. KATAK!!!!!” Aku terkejut melihat seekor katak berada dekat dengan meja makan kami. Ya. Allah, apa nak buat ni? Ummi xde… selalunya Ummi yang selalu halau katak kalau ia masuk dalam rumah. Dan tidak pernah pula katak pernah masuk ke dalam rumah sehingga ke kawasan ruang tamu. Paling-paling pun, katak selalu masuk ke dalam dapur sahaja.

Aku sudah mula cuak. Aku tidak berani untuk menghalau katak itu. Aku geli. Begitu juga kakak dan adikku. Namun, kami perlu juga untuk menghalau katak itu keluar. Lalau kami memberanikan diri. Kami mencapai pelbagai jenis ‘senjata’. Penyapu, kayu, baldi, salur getah dan penyembur serangga. Kami mengambil masa selama hampir sejam untuk menghalau katak tersebut. Geli hati apabila teringat kembali pengalaman tersebut. Kalaulah ibuku ada di rumah, tentu sahaja ibuku akan memegang sahaja katak itu dan mencampaknya ke luar.

Menjadi seorang ibu dan suri rumah tidaklah mudah seperti yang disangkakan. Sejak pagi, aku cuba menjalankan segala kerja yang biasa ibuku lakukan. Mengemas rumah, memasak, dan pelbagai kerja lain. Kelihatan seperti sedikit. Tetapi pada jam 12 tengahari, aku sudah pun mula terbaring keletihan. Bagaimanakah ibuku mampu untuk membuat semua kerja padahal umurnya sudahpun melebihi 50 tahun. Ibuku masih kelihatan kuat bekerja.

Tidak. Ibuku sudah tidak kuat. Pernah dia mengadu kepadaku. Sakit kepala. Sakit sendi. Kakinya bengkak. Macam-macam. Sebenarnya kudratnya sudah tidak sekuat dulu. Ibuku sudah dimakan usia. Semenjak aku pulang dari tanah UK, aku mula perasan akan perubahan pada wajah ibuku. Wajahnya cengkung. Kedut-kedut halus juga sudah mula kelihatan. Aku mula menyedari bahawa ini sudah masanya untuk ibuku duduk berehat. Bukan tugasnya lagi untuk menyelenggara rumah ini. Tugas anak-anaknya. Tugas kami. Tugasku.

Selama 4 hari ibuku tiada di rumah, aku menyedari akan pentingnya seorang ibu dalam hidupku. Bukanlah kerana aku mengharapkan dia kembali untuk menjaga rumah ini seperti sediakala. Tetapi, ketiadaannya membuatkan aku sungguh sunyi. Di waktu ini, kami sering berbual, tak kira tentang masa lampau, masa kini, dan masa depan. Aku rindukan suaranya. Terbayang-bayang kelibatnya di ruang rumah ini….

Ummi…. Syida rindu ummi…. Come back soon…

Come on, Syida… 4 hari je….. heh…


"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya 'ah' dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah 'Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.'"

No comments: