1/20/2008

Sirah Hijrah... Tahukah anda? Are you sure...?

10 Muharram 1429 / 18th January 2008
10:48 am


Saya mendapat email dari seorang sister di Sheffield berkenaan sirah peristiwa hijrah Rasulullah. Memang sudah banyak kali kita mendengar kisah sirah ini berulang-ulang kali. Malahan kanak-kanak sekolah rendah pun sudah boleh menghafal tentang kisah ini. Namun, apa yang menarik minat saya tentang email ini adalah tajuk email tersebut….



‘Kisah Hijrah Nabi Yang Sahih
Hijrah – Antara Kesahihan dan Kemasyhuran’


Berikut adalah isi email tersebut….



………………………………………………………………………………………………………………………………………………



Di dalam kegembiraan menyambut tahun baru hijrah, umat Islam masih lagi disajikan dengan paparan peristiwa hijrah yang masih tidak dapat lari dari keraguan kesahihan cerita dan unsur-unsur tokok tambahnya. Amat malang sekali, cerita-cerita yang sebegini tidak pernah dinilai semula secara meluas atau mendapat perhatian pihak yang berwajib. Kisah yang telah disahihkan cuma disebarkan di peringkat ceramah-ceramah, seminar-seminar atau di perbincangan akademik semata-mata. Malah, teks-teks buku agama sekolah-sekolah masih menyaji cerita-cerita lama ini.

Mari kita imbas kembali cerita hijrah yang dipaparkan. Bermula dengan kisah pihak Quraish telah bermesyuarat di Daar al-Nadwah, yang diketuai oleh sepuluh orang pembesar Quraish termasuklah Abu Jahal, al-Hakam bin Abi 'Aas, 'Uuqbah, Abu Lahab, Ubai bin Khalaf dan lain-lain. Didalam mesyuarat tersebut, Abu Jahal mengesyorkan agar Nabi di bunuh dan cadangan ini disokong oleh seorang tua Najdi yang dikata penyamaran Syaitan.

Nabi :saw memulakan penghijrahan dari rumah baginda pada waktu malam. Saidina Ali ra. telah ditugaskan untuk tidur dikatil Nabi :saw agar dia kelihatan sebagai Muhammad. Orang-orang Quraish pada waktu itu sudah mengepung rumah Nabi :saw. Nabi :saw pun keluar dari rumahnya lalu menabur pasir kearah muka orang-orang Quraish seraya membaca ayat :-

وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ "Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar). " [Yasin : 9]

Akibat dari itu, orang-orang Quraish tidak mampu melihat Nabi :saw keluar dari rumah. Hanya pada keesokkan harinya mereka sedar bahawa orang yang sedang tidur di katil Nabi :saw adalah Ali ra. Baginda bersama Abu Bakar ra telah pergi ke Bukit Thawr dan bersembunyi didalam guanya. Pada hari yang seterusnya, pihak Quraish didalam operasi pencariannya telah pergi ke gua Thawr dan mendapati tempat tersebut dipenuhi dengan sarang labah-labah dan terdapatnya dua ekor merpati. Lalu seorang dari mereka berkata : Tidak mungkin seorang pun telah memasuki kawasan ini.

Kisah diatas ini popular dikalangan kita, akan tetapi kesahihan ceritanya masih di ragukan, Di antaranya adalah :-

a. Kisah syaitan yang menyamar sebagai seorang tua (menghadiri mesyuarat pembesar Quraish) tidak terdapat pada hadith Bukhari.

b. Didalam hadith Bukhari, Nabi :saw telah memulakan hijrah bersama Abu Bakar ra. pada waktu siang, dan bukan malam. Kisah ini terdapat didalam hadith Bukari (#3905) dibawah bab Hijrah Nabi :saw dan sahabat-sahabatnya ke Madinah.

c. Kisah Ali ra. di perintahkan oleh Nabi :saw menggantikan Nabi :saw dibilik tidurnya didapati sanadnya dhaif. Malah didalam hadith Bukhari menceritakan peranan keluarga Abu Bakr ra didalam penghijrahan Nabi :saw, dan bukan Ali ra.

d. Tidak wujud langsung pengepungan Quraish di rumah Nabi pada waktu malam dan juga kaifiat melontar pasir berserta membaca surah Yasin ayat 9 bagi mengkaburkan mata tentera Quraish.

e. Hadith yang menceritakan mengenai peranan labah-labah dan dua ekor merpati adalah dhaef, sebagaimana kata al-Albani didalam al-Silsilah al-Dhaefah (3/339) dan Ahmad Shakir didalam Tahqiq al-Musnad, merujuk kepada sanad hadith tersebut dhaef (lemah).

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa pengarang-pengarang sirah tidak berapa teliti didalam menilai kesahihan sesuatu riwayat, malah hadith-hadith ini banyak menerima kritikan dari ahli-ahli hadith. Kebanyakkan sumbernya di ambil dari Tarikh Tabari dan Ibn Sa'ad.

al-Qaradhawi menjelaskan bahawa hijrah Nabi :saw mendapat pertolongan dari tentera-tentera ghaib sebagaimana firman Allah swt :-

فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا
"Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya." [Surah al-Taubah : 40]

Labah-labah dan merpati adalah makluk Tuhan yang nampak, jelas menunjukkan ia bertentangan dengan ayat diatas yang merujuk kepada pertolongan tentera-tentera ghaib kata al-Qaradhawi.

Sudah sampai masanya untuk masyarakat kita dipaparkan dengan kisah hijrah yang diambil dari hadith-hadith sahih, yang dapat membebaskan manusia dari kisah-kisah yang palsu dan keterlaluan. Tidaklah menghairankan ada juga teori-teori yang menjelaskan akan terdapatnya jarum-jarum Syiah didalam penyebaran kisah sirah yang seumpamanya, contohnya pergorbanan pemuda yang bernama Ali ra. mempertarungkan diri menggantikan Nabi :saw.

Semua pihak harus mengembeling tenaga kearah memperbetulkan kesahihan hijrah Nabi :saw. Buku teks sekolah, buku kanak-kanak, penceramah-penceramah harus memainkan peranan membersihkan kisah hijrah Nabi :saw agar ia kembali didalam bentuk asalnya. Barangkali pada permulaannya mungkin tidak menyeronokkan tanpa cerita labah-labah dan merpati, akan tetapi lama kelamaan mereka akan menerimanya. Ayoh, kita hijrahkan kisah-kisah ini.

Sumber:
http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=15352

.......................................................................................................................................

Saya mengakhiri bacaan artikel tersebut dengan penuh rasa kesedaran. Tentang pentingnya untuk kita merujuk kepada hadith-hadith sahih sebelum kita mentaklidkan kebenaran sesebuah sirah. Sesebuah sirah itu mungkin diubahsuai supaya menjadi lebih menarik atau menakjubkan (magical?). Namun, itu bukan lagi dinamakan sirah, tetapi mitos. Banyak lagi sirah-sirah lain yang boleh dikaji akan kesahihannya, berdasarkan hadith-hadith yang sahih.

Antara lain-lain perkara tentang peristiwa hijrah yang mungkin telah disalah anggap oleh sebahagian dari masyarakat kita…
· Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar telah berhijrah pada bulan safar, bukan muharam.
· Nama-nama bulan hijriah ini sudah pun sedia wujud sebelum peristiwa ini. Nama-nama bulan ini diberikan berdasarkan peristiwa-peristiwa lain. Cth: bulan Muharam dinamakan atas bulan ‘haram’ untuk berperang
(afwan, tak dapat provide lagi hadith yang menyatakan hal ini. Masih dalam pencarian. Tapi ia dari hadith yang sahih. Insya Allah saya akan post pada entri yang lain…)

Walau apapun, terlalu banyak iktibar yang kita boleh ambil daripada peristiwa hijrah ini secara umum. Kita boleh melihat betapa kuatnya tahap keimanan golongan muhajirin pada waktu itu. Mereka sanggup meninggalkan keluarga mereka, harta kekayaan mereka, demi menyahut seruan hijrah yang diarahkan Tuhan kepada mereka. Kerana dalam hati mereka, tersemat keyakinan yang sangat kuat terhadap Allah. Mereka amat yakin dengan pertolongan Allah dan mereka tahu bahawa Allah lebih mengetahui atas segala sesuatu. Dan ternyatalah, Islam berjaya bertapak di bumi Madinah.
Dan kita juga boleh melihat betapa kukuhnya pertalian persaudaraan yang terbina daripada kaum muhajirin dan ansar. Bagaimana mereka sering mendahulukan saudara mereka daripada diri mereka sendiri. Inilah seindah-indah ikatan.

Peristiwa hijrah ini boleh di’adapt’kan dalam kehidupan kita seharian. Mungkin bukan dari segi lughah hijrah itu sendiri. Tapi kita boleh menghijrahkah apa-apa sahaja dalam diri kita dari yang kurang baik kepada yang lebih baik. Binalah azam baru untuk menjadi insan yang lebih baik di ‘mata’ Allah SWT. Ambillah pengajaran pengorbanan kaum muhajirin itu pada diri kita. Kita juga boleh turut berkorban, meninggalkan segala kemanisan-kemanisan dunia demi mencapai kemanisan hidup di syurga tertinggi nanti, insya Allah.

Salam Ma’al Hijrah............

Wallahu a’lam….

No comments: