1/02/2008

Ke manakah kita?

24 Zulhijjah 1428 / 2nd January 2008
10:02 am


Sebelum tertidur malam semalam, seperti biasa aku membaca doa sebelum tidur. “Allahumma bismika amuutu wa ahya – Ya Allah, dengan namaMu aku mati dan aku hidup” Kebiasaannya, orang selalu membaca ‘ahya wa amuut’ – aku hidup dan aku mati. Tetapi aku sengaja menterbalikkan bacaan tersebut. Dengan harapan selepas Allah mematikan aku seketika ketika tidur itu, Allah akan menghidupkan aku kembali.

Tetapi bagaimana jika sudah takdirku untuk tidak akan terjaga dari tidurku buat selama-lamanya? Aku mula berasa gerun. Bayangan-bayangan yang menakutkan menerjah. Apakah nasibku di dalam kubur nanti? Di akhirat? Akankah aku diundang masuk ke dalam syurga? Atau adakah aku akan diheret ke dalam neraka? Na’uzubillah… Cukupkah amalanku untuk aku menempah tempatku di syurga Allah itu?



Setiap yang hidup, pasti akan menemui matinya. Tidak satu pun makhluk Allah yang akan terlepas dari cengkaman maut. Dan kita semua memang sudah sedia maklum dengan hakikat ini. Dan kebanyakan kita mengetahui bahawa takdir kita tidak terhenti sehingga itu sahaja. Apakah tindakan kita untuk menghadapi kehidupan selepas itu?

Menyedari hakikat itu, aku terfikir apa amalan-amalanku sepanjang hidupku selama 21 tahun di dunia ini. 21 tahun. 252 bulan. 7560 hari. Mmm… Angka yang sangat besar. Bagaimana pula dengan amalanku? Adakah ia dapat menandingi umurku? Jika tidak, apa harus aku tindakanku seterusnya? Bagaimana jika umurku terputus sehingga itu sahaja? Sempatkah aku untuk mempersiapkan bekalan untuk kehidupan yang seterusnya? Pelbagai persoalan bermain-main di fikiranku di saat ini.

Allah telah mengurniakan kita dunia ini sebagai medan persinggahan. Dan Allah juga telah mengurniakan kita akal. Dengan nikmat akal ini, Allah menguji kita bagaimana kita menggunakannya untuk mewarnai dunia ini. Jika kita menggunakannya dengan baik, dunia ini akan menjadi baik. Jika akal ini disalahgunakan, maka dunia ini akan menjadi sebaliknya. Namun sudah menjadi tugas kita untuk menjadi khalifah di muka bumi ini, untuk mentadbir, mendamai, memurnikan dan apa sahaja yang boleh menjadikan bumi ini sebagai tempat terbaik untuk kita mengabdikan diri dan mengingati yang Maha Pencipta. Itu tujuan kita dihidupkan di dunia ini. Wajib untuk kita laksanakannya kerana ini adalah perintah Allah. Sudahkah tanggungjawab ini dilaksanakan? Mmm… mungkin ada yang terfikir… “Aku masih muda. Umurku masih panjang. Esok lusa atau tulat aku buatla….” Yakinkah kita akan masih bernafas dalam saat seterusnya. Aku ketika ini pun berasa bimbang jika aku tidak sempat untuk menyempurnakan hasil tulisanku ini. Nyawaku boleh ditarik bila-bila masa sahaja.

Kita sememangnya sedar bahawa kita tidak akan kekal hidup di dunia ini. Tetapi hakikatnya, segolongan dari kita mudah terpedaya dengan hiburan-hiburan yang sering menggoda hati kita. Terlupa kita dengan gambaran-gambaran syurga dan segala kenikmatannya seperti dalam firman Allah SWT…
Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebajikan, bahawa untuk mereka syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga, mereka berkata, “Inilah rezeki yang diberikan kepada kami dahulu.” Mereka telah diberi yang serupa. Dan di sana mereka (memperoleh) pasangan-pasangan yang suci. Mereka kekal di dalamnya.” (2:25)

“…mereka kekal di dalamnya…” Ini janji Allah dan kita tidak mengendahkannya demi sebuah dunia yang bakal hancur. Bodohnya kita.

Tidak. Seharusnya kita sentiasa mengimpikan untuk menjadi seperti ‘mereka’ yang disebutkan dalam ayat tersebut. Tetapi, siapakah mereka? Mereka itulah ahli syurga. Siapa pula ahli syurga? Firman Allah lagi…
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga…” (4:57)
“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik dan tambahannya. Dan wajah mereka tidak ditutupi debu hitam yang tidak dalam kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.” (10:26)
“Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhannya, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik), (yaitu) syurga-syurga ‘And, mereka masuk ke dalamnya bersama dengan orang yang soleh dari nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya, sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan), “Selamat sejahtera keatasmu kerana kesabaranmu.” Maka alangkah nikmatnya tempat kesudahan itu.” (13:22-24)

Pelbagai andaian dilontarkan. Aku juga pernah menjadi salah seorang daripada mereka yang menyangka bahawa setiap orang islam pasti akan masuk ke dalam syurga akhirnya selepas mendapat siksaan di neraka. Betulkah andaian ini? Setiap dari kita hanya akan menjejakkan kaki ke syurga hanya dengan rahmat dan izinNya. Tidak kiralah walau apa pun, tetapi seharusnya kita sentiasa berdoa dan berusaha untuk menjauhkan diri kita dari api neraka walaupun hanya bahangnya sahaja. Sesungguhnya gambaran azab neraka itu di luar jangkauan kita kepedihannya. Kumpulkanlah segala keperitan azab di dunia ini, azab di neraka jauh lagi pedih, sakit dan perit dari itu. Sentiasalah berusaha supaya kita ditempatkan terus ke dalam syurga tertinggi. Berdoalah supaya kita akan berada dekat dengan Allah pada hari itu. Dan lebih indah lagi apabila kita dapat melihat ‘wajah’ Allah SWT.

Oleh itu, sementara kita masih bernafas, laksanakanlah tanggungjawab yang diamanatkan kepada kita. Jangan tangguhkan sehingga umur kita sudah lanjut kerana kita tidak tahu di manakah penghujung hidup kita. Mungkin esok, mungkin lusa. Yang pasti, nyawa kita akan ditarik satu hari nanti. Janganlah kita menjadikan hidup kita di dunia ini sebagai tempat berlibur semata-mata. Ingatlah, kita hidup bermatlamat. Allah matlamat kita. Kepada Allah semua urusan dikembalikan.

Takutilah mati, kerana tidak cukup amalan kita untuk ditunjukkan kepada Allah nanti, bukan kerana tidak cukup menikmati hiburan di dunia.

Zikrul maut…. zikruLlah….

Wallahu a’lam…

No comments: