11/28/2007

Ini taqdirku....

A : Assalamualaikum, B. Kenapa kau tak ke kelas hari ni?
B : Apa nak buat… Allah dah tentukan untuk aku tak ke kelas hari ni.
A : Mmm… Kau dah siapkan assignment minggu lepas?
B : Belum lagi.
A : Aik? Kan assignment tu senang je. Kenapa kau masih belum siapkan?
B : Apa nak buat… Allah dah tentukan aku ni pemalas.
A : Mmm… Tak apalah. Nanti aku bantu kau. Jom kita pegi study circle yang Kak C buat tu.
B : Nak buat apa? Nak jadi baik? Takpe la. Kau pegi la sorang. Aku ni takkan jadi baik punye. Apa nak
buat… Allah dah jadikan aku masih macam ni.
A : Mmmmmmmmmmmmmmmmmmmm………………………….


Mmm…. Biasa tak kita terdengar kata-kata begini? Apa pendapat anda semua? Dulu, mungkin saya akan mendiamkan diri sahaja apabila ada di antara rakan saya memberi pelbagai alasan begini. Tapi sekarang, mungkin saya berasa sedikit sedih. Sedikit kesal. Dan sedikit marah. Tergamak untuk mereka mengeluarkan kata-kata seperti itu. Menjadikan Allah sebagai alas an di atas kelemahan diri sendiri. Tidakkah mereka kenal siapa Allah sebenarnya??

Allah ialah Tuhan Maha Pencipta. Dialah yang menciptakan manusia dan seluruh makhluk di muka bumi ini. Kita ini adalah hamba ciptaanNya. Tiada siapa lagi yang lebih memahami ‘ciptaan’ selain dari Penciptanya sendiri. Pernahkah anda melihat seorang jurutera membina sebuah bangunan, hanya untuk melihatnya roboh? Sungguh tak logic. Itulah hakikat pencipta. Pencipta menjadikan ciptaanNya untuk ciptaanNya sentiasa berada di dalam landasan yang betul. Namun, untuk berada di atas landasan itu, kita haruslah berusaha.

Terlalu banyak salah faham mengenai konsep ‘beriman dengan qada’ dan qadar. Ramai yang berfikir bahawa menerima seadanya segala nasib dan takdir adalah sebahagian daripada beriman dengan qada’ dan qadar. Ya, memang benar kita harus menerima segala yang berlaku dalam kehidupan kita, sebagai tanda kita yakin dengan pertolongan Allah, dan terdapat hikmah sebalik yang berlaku. Tetapi, yang dimaksudkan di sini adalah menerima bulat-bulat tanpa sebarang usaha untuk memperbaikinya.

Terdapat 4 perkara yang sudah tertulis di dalam takdir kehidupan seorang manusia sejak dia masih di dalam rahim ibunya…
1. Rezeki
2. Ajal kematian
3. Amalan
4. Nasibnya samada hidup susah atau senang

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan ketetapan ini? Beriman dengan qada’ dan qadar bermaksud percaya bahawa Allah telah menetapkan ‘kaedah’ pada segala apa yang berlaku di muka bumi ini. Dan ketetapan ini ditulis berdasarkan ‘kehendak’ dan ‘ilmu’Nya.

Apa pula yang dimaksudkan dengan ‘kehendak’ dan ‘ilmu’ ini? Ketetapan berdasarkan ‘kehendak’ adalah seperti undang-undang dan sistem alam ini berfungsi. Sunnatullah. Ketetapan di mana seluruh manusia terpaksa tunduk kepadanya. Jika kita lapar, kita perlu makan. Jika kita mengantuk, kita perlu tidur. Jika satu tumbuhan itu kering, ia memerlukan air. Begitulah ketetapan yang dimaksudkan.

Apa pula ketetapan berdasarkan ‘ilmu’-Nya? Ketetapan inilah yang sering disalah tafsirkan oleh kebanyakan dari kita. Ketetapan yang dimaksudkan di sini adalah perkara-parkara yang dituliskan di dalam ‘lauh mahfuz’ berdasarkan sifatNya yang Maha Mengetahui tentang apa usaha kita semasa di dunia. Tak faham?? Mari saya terangkan dengan lebih jelas.

Andaikan telah tertulis dalam kitab takdir si B untuk tidak berjaya dalam pelajarannya (na’uzubillah min zalik). Namun, apa yang tertulis ini bukanlah telah ditetapkan hanya mengikut kehandak-Nya. Tapi, apa yang tertulis ini berdasarkan ilmu-Nya yang mengetahui sejauh mana si B ini berusaha untuk mencapai kejayaan dalam pelajarannya.

Dalam contoh lain, andaikan seseorang sedang memandu. Jika dia berfikir… “Buat apa aku nak ikut peraturan jalan raya… buat apa aku nak pandu dengan cermat… kalo Allah dah tetapkan aku nak accident, aku pandu secermat mana pun, aku akan accident jugak.” Mmm… memang selalu kita dengar kata-kata begini. Apa yang tertulis di dalam takdirnya samada dia akan selamat atau tidak. Namun, itu semuanya tertulis di bawah pengetahuanNya, sejauh mana dia mengambil langkah berjaga-jaga semasa sedang memandu.
“…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (13:11)

Namun pun begitu, manusia hanya mampu merancang. Allah sahaja yang berkuasa menentukan pengakhiran kita. Kerana dengan ilmuNya juga, Dia mengetahui apa yang lebih baik untuk kita.
“…tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (2:216)

Apa-apa pun, janganlah kita lupa akan sifat-sifat Allah. Maha Lembut, Maha Penyayang, Maha Pemurah, Maha Adil, Maha Halus, Maha Bijaksana, Maha Waspada, Maha Pemberi Rezeki, Maha Pengurnia Keamanan… Segala ketetapan ditulis diatas sifat-sifatNya yang mulia. Tidak mungkin untuk Allah menetapkan sesuatu yang tidak baik untuk ciptaanNya, kecuali kita sendiri yang terlalu lalai untuk berusaha mencapai takdir yang lebih baik.

Oleh itu, kita sebagai manusia biasa, yang tidak pernah lepa daripada melakukan kesilapan, sentiasalah bertaubat kepada Allah, bersyukurlah dengan segala nikmat yang telah diberi. Sentisalah berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi dalam hidup kita. Dalam iman, amal dan juga duniawi (asalkan tidak bertentangan dengan syara’). Letakkan segala pergantungan yang sepenuhnya kepada Allah. Kita hanya mampu berusaha. Allah sahaja dengan sifat pemurahNya, yang lebih mengetahui kesudahan yang etrbaik buat kita. Sama-samalah kita berdoa, semoga kita mendapat ‘husnul khatimah’ (pengakhiran yang baik). Aameen…

WaLlahu a’lam…



No comments: