11/05/2007

Mari bersamaku...

24 Syawal 1428 / 5 November 2007
7.03am

Alhamdulillah…. Alhamdulillah…. Alhamdulillah…. Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Aku masih dapat menikmati nikmat yang tidak terhingga daripadaMu. Setiap nafas yang kuhela, semuanya atas rahmatMu semata Ya Rahman. Namun, nikmat yang paling agung, adalah aku masih ingat bahawa tanggungjawabku untuk masih berpegang kepada 2 syahadat itu. Laa ilaaha illAllah, Muhammadurrasulullah… Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu adalah utusan Allah. Aku sentiasa berdoa, moga aku tidakkan terpesong dari kalimat itu, insya Allah.


Hatiku tergerak untuk mencoret sesuatu di lembaran ini. Amat banyak perkara yang mengganggu fikiranku sejak kebelakangan ini. Mengapa aku berasa tidak tenang? Mengapa hatiku senantiasa dirundung mendung menunggu hujan ribut?

Pabila aku pandang kembali ke belakang, kulihat kembali apa kesilapan yang telah kulakukan. Terlalu banyak. Aku seringkali alpa. Tanggungjawab aku bukanlah hanya beribadat memuji Allah semata-mata. Aku tahu, Islam itu bukanlah hanya untuk diri aku sendiri. Islam itu adalah untuk umat sejagat. Ummat di seluruh dunia. Itu tugasku. Untuk membawa Islam itu ke hati semua manusia.

Aku ingat itu. Namun apa yang telah kulakukan untuk menjalankan tanggungjawabku itu? Mungkin aku tidak mampu untuk berdiri di atas bukit Safa, menyeru kepada seluruh manusia, mengajak kepada Islam. Tidak, aku tidak mampu untuk melakukannya. Jadi, apa yang boleh aku lakukan?

Kufikir kembali. Jikalau aku berdiri di tepi jalan, bolehkah mereka meneka bahawa aku adalah muslim? Jikalau aku bertutur, bolehkah mereka meneka bahawa aku seorang muslim? Jikalau aku bergaul, adakah mereka dapat meneka bahawa aku seorang muslim? Astaghfirullahal’aziim…. Terlalu banyak cacat celaku. Mana mungkin aku dapat mengajak orang kepada jalan ini, jika diriku sendiri tidak mencerminkan bahawa aku berada di atas jalan yang benar?

Ya Allah, kurniakanlah aku hidayah dan taufikMu. Kau kurniakanlah aku kekuatan. Kau gerakkanlah aku. Aku mahu berhijrah. Namun aku tidak mahu berhijrah seorang diri. Aku memohon kepadaMu, Ya Rabb. Lembutkanlah lidahku. Elokkanlah perlakuanku. Moga ramai akan mengikutku bersama, berhijrah mengejar redhaMu….

No comments: