7/30/2008

21 Rejab 1429/25th July 2008
2:33 pm


Aku ditemani oleh bunyi kipas yang kedengaran. Kadang kala terdengar bunyi kenderaan bergerak laju di luar. Senyap sunyi rumahku. Tiada siapa menemaniku di rumah. Adikku bersekolah. Kakakku bekerja. Ibu bapaku?

Ya. Mereka kini sedang bergembira bercuti di Vietnam. Aku amat bersetuju apabila mereka membuat keputusan untuk pergi bercuti buat masa ini. Aku amat memahami keadaan ibuku yang selama ini amat letih melakukan tugasannya sebagai seorang ibu di rumah. Harinya bermula sebelum anak-anaknya belum sempat bangun tidur, dan berakhir apabila semua anak-anaknya dipastikan sudah makan malam dan tidur pada waktunya. Ditambah lagi dengan anak buahku yang sudah mula nakal. Ibuku tiada lagi masa rehat. Ibuku memang seorang ibu yang baik. Ibuku adalah sahabatku. Aku senang berbicara dengannya. Aku senang meluahkan perasaanku padanya.

Sudah lebih 24 jam ibuku meninggalkan rumah ini di bawah tanggungjawabku. Aku berazam untuk memastikan rumah ini berada dalam keadaan baik sekali. Aku mahu melakukan yang terbaik, seperti mana ibuku melakukannya. Aku akan menjadi ibu kepada adikku buat sementara waktu. Aku akan memastikan rumah ini sentiasa dalam keadaan kemas sentiasa.

Namun, itu tidaklah semudah yang kusangkakan. Lebih kurang pada jam 9 pm semalam, rumah kami yang senyap sunyi bertukar menjadi riuh rendah. Kakakku menjerit, “Syida…. KATAK!!!!!” Aku terkejut melihat seekor katak berada dekat dengan meja makan kami. Ya. Allah, apa nak buat ni? Ummi xde… selalunya Ummi yang selalu halau katak kalau ia masuk dalam rumah. Dan tidak pernah pula katak pernah masuk ke dalam rumah sehingga ke kawasan ruang tamu. Paling-paling pun, katak selalu masuk ke dalam dapur sahaja.

Aku sudah mula cuak. Aku tidak berani untuk menghalau katak itu. Aku geli. Begitu juga kakak dan adikku. Namun, kami perlu juga untuk menghalau katak itu keluar. Lalau kami memberanikan diri. Kami mencapai pelbagai jenis ‘senjata’. Penyapu, kayu, baldi, salur getah dan penyembur serangga. Kami mengambil masa selama hampir sejam untuk menghalau katak tersebut. Geli hati apabila teringat kembali pengalaman tersebut. Kalaulah ibuku ada di rumah, tentu sahaja ibuku akan memegang sahaja katak itu dan mencampaknya ke luar.

Menjadi seorang ibu dan suri rumah tidaklah mudah seperti yang disangkakan. Sejak pagi, aku cuba menjalankan segala kerja yang biasa ibuku lakukan. Mengemas rumah, memasak, dan pelbagai kerja lain. Kelihatan seperti sedikit. Tetapi pada jam 12 tengahari, aku sudah pun mula terbaring keletihan. Bagaimanakah ibuku mampu untuk membuat semua kerja padahal umurnya sudahpun melebihi 50 tahun. Ibuku masih kelihatan kuat bekerja.

Tidak. Ibuku sudah tidak kuat. Pernah dia mengadu kepadaku. Sakit kepala. Sakit sendi. Kakinya bengkak. Macam-macam. Sebenarnya kudratnya sudah tidak sekuat dulu. Ibuku sudah dimakan usia. Semenjak aku pulang dari tanah UK, aku mula perasan akan perubahan pada wajah ibuku. Wajahnya cengkung. Kedut-kedut halus juga sudah mula kelihatan. Aku mula menyedari bahawa ini sudah masanya untuk ibuku duduk berehat. Bukan tugasnya lagi untuk menyelenggara rumah ini. Tugas anak-anaknya. Tugas kami. Tugasku.

Selama 4 hari ibuku tiada di rumah, aku menyedari akan pentingnya seorang ibu dalam hidupku. Bukanlah kerana aku mengharapkan dia kembali untuk menjaga rumah ini seperti sediakala. Tetapi, ketiadaannya membuatkan aku sungguh sunyi. Di waktu ini, kami sering berbual, tak kira tentang masa lampau, masa kini, dan masa depan. Aku rindukan suaranya. Terbayang-bayang kelibatnya di ruang rumah ini….

Ummi…. Syida rindu ummi…. Come back soon…

Come on, Syida… 4 hari je….. heh…


"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya 'ah' dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah 'Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.'"

7/23/2008

Peringatan!!!

7 Rejab 1429/11th July 2008
9:56 am


Syukur Alhamdulillah pada pagi ini aku masih dikurniakan nikmat yang tidak terkira hebatnya. Aku masih dikurniakan nafas yang membolehkan aku masih terus hidup bernyawa di bumi yang serba sementara ini. Masha Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah. Lagi Maha Penyayang. Lagi Maha Pengampun. Meskipun sudah terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan, Allah masih sudi untuk memberi aku satu lagi hari, satu lagi peluang, supaya aku dapat mencari hidayahNya, pengampunanNya sebelum tibanya ajalku, supaya terhapus segala dosaku. Masha Allah. Sungguh bodohnya aku, sungguh angkuhnya aku jika aku masih mempersia-siakan nikmat demi nikmat yang Dia tidak putus-putus, tidak jemu-jemu kurniakan kepadaku. Kepada kita.

Syukur juga aku panjatkan ke hadiratNya, pagi ini aku masih dikurniakan lagi satu nikmat yang julung-julung hebatnya. Tiada tandingannya. Aku masih bangun dalam keadaan aku masih ingat kepadaNya. Alhamdulillah, aku masih lagi seorang muslim. Namun, adakah aku seorang mu’minah? Sudah cukupkah imanku kepadaNya. Ya Allah, panjangkanlah umur kami supaya kami mempunyai satu lagi peluang supaya kami dapat memperbaiki lagi tahap keimanan kami. Kau lapangkanlah hati kami, Kau kurniakanlah hidayah dan taufiqMu kepada kami, dan janganlah Kau tarik kembali hidayah setelah Kau kurniakannya kepada kami.
“Rabbana la tuzigh qulubana, ba’da iz hadaitana, wa hahab lana min ladunka rahmah. Innaka anta al-Wahhab”

Hariku pada hari ini ada sedikit perbezaan berbanding hari-hariku sebelum ini. Hari ini aku akan pergi ke Shah Alam untuk bertemu dengan sahabat-sahabat, untuk duduk bersama, berbincang, muhasabah, dan memperingatkan satu sama lain akan tugas kita di dunia. Pada saat inilah, salah satunya cara, kita dapat me’refresh’ kembali iman kita, kerana manusia pada namanya sahaja sudah memberi maksud akan makhluk yang mudah terlupa. Kita sentiasa memerlukan peringatan. Kita sentiasa memerlukan seseorang yang boleh sentiasa mengingatkan kita. Tidak kiralah siapa pun kita. Mungkin kita seorang ustaz atau ustazah, namun itu tidak bermakna iman kita boleh berada di tahap tinggi sentiasa. Asatizah juga perlu kepada peringatan. Kerana itulah Rasulullah SAW pernah bersabda ketika haji wada’ (haji perpisahan) baginda sebelum kewafatan baginda,
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara iaitu Al-Quran dan As Sunnah, maka berpegang teguhlah kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya.”

Dan dalam firman Allah pula,
“Kami tidak menurunkan alQuran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah)” (20:2-3)
“Dan sesungguhnya dalam Al Qur'an ini Kami telah ulang-ulangi (peringatan-peringatan), agar mereka selalu ingat...” (17:41)

Dari dalil tersebut, terbukti bahawa Rasulullah SAW amat menekankan supaya kita dapat menjadikan alQuran sebagai manual harian kita untuk sentiasa mendapatkan peringatan yang berulang-ulang kali supaya ia akan tetap dan hadam dalam hati kita.



Namun, di dunia pada masa kini, terlalu banyak cabaran dan dugaan untuk mengekalkan kita mengingati Allah. Kerapkali kita kalah dalam pertempuran melawan hasutan syaitan dan nafsu kita sendiri. Memang sukar, apabila kita di kelilingi oleh terlalu banyak hiburan dan suasana jahiliyyah. Memang environment memainkan peranan penting dalam pembentukan hati seseorang. Kerana manusia itu terlalu banyak kelemahan. Sekuat mana pun hati dan iman seseorang, kalau tidak banyak, sedikit demi sedikit akan luntur jua kekuatan itu. Kerana adanya nafsu dalam setiap diri manusia. Nafsu yang sentiasa inginkan hiburan, yang memesongkan kita dari jalan yang lurus, yang suka menghalakan kita mengikut jalan syaitan ar-rajim. Di situlah kepentingan tarbiyyah. Untuk sentiasa meningkatkan, atau paling kurang, mengekalkan kita dalam lingkungan sunnah.

Ibnu Rawaahah pernah mengingatkan sahabatnya, Abu ad-Darda’, sambil memegang tangannya,
“Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak balik dari isi periuk yang sedang menggelegak.”



Bayangkanlah, Ibnu Rawaahah dan Abu ad-Darda’ itu adalah dua orang sahabat Rasulullah, al-Ansori yang terlalu banyak disebutkan dalam al-Quran akan ketinggian martabatnya. Orang seperti mereka sudah tentulah seorang yang amat tinggi tahap imannya kepada Allah dan Rasulnya, tambahan lagi mereka berkesempatan bertemu Rasulullah sendiri. Namun, mereka tetap sentiasa mengingatkan antara satu sama lain, dengan penuh kasih sayang, akan hakikat tahap iman yang turun dan naik, dan kepentingan sentiasa me’recharge’ iman mereka. Dan mereka adalah golongan Sahabat!! Golongan yang berkesempatan bertemu Rasulullah. Al-Ansor!! Dan siapa pula kita di sisi mereka?? Sungguh malulah jika kita berlaku sombong dan enggan untuk duduk sejenak untuk meningkatkan keimanan kita dan memperingatkan sahabat-sahabat kita yang lain.

Dan sudah tentu rakan-rakan semua mengenali dengan nama ‘Umar al-Khatab. Beliau merupakan Khalifah ar-Rasyidin yang kedua memerintah tanah Islam satu ketika dahulu. Salah seorang Sahabat Rasulullah yang paling rapat. Usah diceritakan pula tahap iman dan taqwanya. Namun, apabila berita kewafatan Rasulullah SAW tersebar, ‘Umar terus berasa marah, seraya berkata, “Tidak! Muhammad tidak wafat.” Para sahabat panic apabila diancam oleh ‘Umar supaya supaya tidak mengatakan bahawa Rasulullah telah wafat. Bayangkan sahajalah sifat ‘Umar yang memang bengis dan garang.

Mujurlah Saidina Abu Bakar RA ada berdiri di situ melihat Saidina Umar yang seperti naik berang tidak percaya apabila mendengar berita kewafatan tersebut. Lalu Abu Bakar menenangkan suasana dan berkata, “Barangsiapa beriman kepada Rasulullah, maka Rasulullah telahpun wafat. Dan barangsiapa beriman kepada Allah, percayalah Allah itu Maha Hidup dan tidak akan pernah mati.” Lalu beliau membacakan firman Allah SWT:
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik kebelakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-prang yang bersyukur.” (3:144)

Begitulah kisah ‘Umar. Walaupun tahap keimanan ‘Umar tidak dapat disangkal lagi hebatnya. Namun dia juga tetap ditarbiyyah walaupun di saat kewafatan Rasulullah. Walaupun tinggi tahap keimanan Saidina ‘Umar, beliau juga tewas apabila beliau tidak mempercayai bahawa Rasulullah sudah wafat, malah sanggup membunuh pula. Lihatlah, sedangkan ‘Umar menerima tarbiyyah dan peringatan sepanjang hidupnya, apa lagi kita?

Kisah-kisah sahabat itu telah mengajar kita betapa pentingnya tarbiyyah dalam hidup kita. Lagi-lagi kita yang hidup di zaman hedonism yang penuh dengan hiburan yang melekakan. Kita mungkin tidak sedar sedikit demi sedikit, hiburan itu membawa kita lebih jauh dari Allah. Na’uzubillah min zalik, aku tidak mahu itu. Aku sentiasa ingin hidup di dalam lembayung keredhaanNya. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa hidup di dalam keadaan di mana kita sentiasa ada Allah di hati kita. Bagaimana? Al-Quran itu diturunkan kita. rugilah kalau kita mensia-siakannya. Gunakanlah ia. Dan duduklah bersama-sama orang yang soleh, dan berbicaralah tentang Allah. Insya Allah, Allah akan sentiasa member guidance kepada orang yang ‘mahu’.

Wallahu a’lam…

7/05/2008

Kisah Seekor Robot

13 Jamadil Akhir 1429/18th June 2008
8:58 am


Ada satu kisah yang bagiku amat menarik. Ingin berkongsi dengan rakan-rakan. Please bear with me, ok?
……………………………………………………………………………………………

Ada seekor robot. Namanya Robot. Robot telah dicipta di kilang pembuat robot-robot. Robot diperbuat dari bahan-bahan bermutu tinggi. Badannya diperbuat dari stainless steel (untuk mengelakkan corrosion, dan sangat kuat tapi berat dan mahal). System otaknya pula telah diprogram dengan begitu teliti dengan feedback system yang mantap. Harapnya, Robot ini akan member manfaat kepada tuannya nanti.

Pada suatu hari, Robot telah dibeli oleh seorang lelaki. Lelaki ini berharap agar Robot akan dapat berkhidmat kepadanya, membantunya dalam kerja-kerja hariannya.

Sepulangnya lelaki itu dari Pasaraya Meru, tempat Robot dibeli, lelaki itu terus menekan butang ‘on’ pada Robot supaya Robot dapat berfungsi. Setelah butang itu ditekan, Robot membuka matanya dan tersenyum. Lalu, Robot membuka kepingan di bahagian perutnya dan menarik wayar berupa ‘plug’ dan berjalan-jalan di sekeliling rumah. Apabila Robot terjumpa satu ‘power point’, Robot akan berhenti dan akan men’cas’ (charging) dirinya sendiri.

Setelah penuh baterinya dicas, Robot akan terus berjalan-jalan di sekeliling rumah lelaki itu, mencari lagi mana-mana ‘power point’. Apabila terjumpa lagi, maka Robot akan men’cas’ lagi dirinya. Dan begitulah seterusnya. Berulang-ulang rutin hidup Robot.

Sehinggalah pada suatu hari, Robot telah ter’over-charged’. Maka, system otaknya gagal berfungsi dengan baik. Maka tamatlah riwayat hidup Robot.

……………………………………………………………………………………………………….

Apakah moral of the story?

Cuba kita fikirkan, adakah Robot telah berjaya berkhidmat untuk tuannya? Sudah tentu sekali tidak. Malah, Robot amat menyusahkan tuannya. Apa tidaknya. Sudahlah Robot mahal, ditambah lagi dengan kerja si Robot ini asyik suka menge’cas’ dirinya. Sudah tentu melambung bil elektik lelaki ini. Nasib baik Robot tidak berfungsi menggunakan hasil pembakaran petrol. Kalau tidak tentu lagi haru biru dibuatnya….

Apa kena mengena dengan kita?

Apa kena mengena dengan kita?

Apa kena mengena dengan KITA?

Cuba kita perhatikan kehidupan kita, apa yang kita buat sepanjang hidup kita. Kita bangun pagi, naik kereta, bayar tol, pergi kerja, dapat gaji, balik rumah, tidur. Esok pagi, bangun tidur lagi, naik kereta lagi, bayar tol, pergi kerja, dapat gaji, balik rumah, tidur. Bagi yang masih belajar pula, bangun pagi, naik bas, bayar tambang, pegi kuliah, balik rumah, buat assignment, tidur. Dan perkara yang sama jugalah yang berulang-ulang sepanjang hidup kita. Berulang-ulang.

Apa bezanya pula kita dan Robot?

Robot --> berjalan-jalan untuk mengecas dirinya untuk mendapat tenaga untuk berjalan-jalan lagi untuk mengecaskan dirinya untuk mendapat tenaga, bla…bla…bla…

Kita --> berjalan-jalan untuk bekerja untuk mencari duit supaya kita boleh berjalan-jalan lagi untuk bekerja untuk mencari duit, bla…bla… bla….

Ada beza tak?

mmm… macam tak je…

abis tu? Nak buat apa lagi? Memang itu rutin hidup kita. Apa yang boleh kita buat lagi? Jawab… jawab… JAWAB!!

Banyak sebenarnya yang boleh kita buat yang membezakan hidup kita dengan Robot. Hidup Robot untuk tuannya. Hidup manusia untuk Tuhannya. Jadi buatlah kerja hanya untuk Allah.

Eh, aku cari rezeki ni aku niatkan demi Allah tau!!

Memanglah. Tapi, itu bukan persoalannya. Persoalannya adalah apa yang kita buat yang boleh menguntungkan agama Allah ini?

Memang bekerja itu digalakkan, malah disuruh. Tapi, jika kita menjadikan kerja kita itu sebagai MATLAMAT, itu sudah salah. Kita perlu menjadikan kerja kita itu sebagai CARA.

Renungkan kembali, apa fungsi manusia dijadikan di dunia ini. Untuk bekerjakah? Untuk cari duit kah? Untuk cari duit untuk Allah kah? Tidak, kan?? Kita diciptakan di dunia ini supaya kita dapat beribadat kepada Allah dan juga untuk menyebarkan agamaNya.

Jadi, apa guna kita bekerja?

Untuk memudahkan cerita, sebagai seorang khalifah di muka bumi ciptaan Allah ini, apa-apa sahaja kerja yang kita lakukan, perlulah ia dapat memberi keuntungan kepada agama suci ini. Sebagai contohnya, jika kita bekerja, dapat duit bolehlah kita untuk membuat kebajikan. Ataupun, lebih mudah untuk kita bergerak di muka bumi Allah ini untuk menjalankan kerja dakwah dan sebagainya. Pendek kata, segala kerja kita biarlah member manfaat kepada Islam.
Ataupun, apa guna kita perlu untuk belajar ilmu-ilmu seperti sains, sastera dan matematik. Kalau tugas kita di bumi ini sebagai du’at (pendakwah), cukuplah kalau kita hanya belajar tentang ilmu agama seperti ilmu Fiqah, Tauhid atau Syariah. Tidak. Kita tidak boleh pula menyempitkan fikiran kita seperti itu. Islam itu syumul. Bermakna Islam itu meliputi segala segi. Dan kita juga memang sudah dituntut untuk mengejar ilmu sebanyak mana yang boleh. Kalau tidak kerana ilmu-ilmu seperti sains itu, tidak mungkin kita dapat mengecapi kesenangan seperti yang kita nikmati seperti sekarang ini. Kesenangan? Bukankah itu semua kesenangan dunia? Materialistic kah? Sekali lagi jangan pula kita menyempitkan fikiran kita. dan sekali lagi kita imbas kembali, segala apa yang kita lakukan biarlah menguntungkan agama. Jadi, segala kesenangan yang kita kecapi ini, biarlah kita jadikan sebagai advantage supaya mudah untuk kita menjalankan tugas kita yang sebenar-benarnya. Apabila kita menjadikan kesenangan ini sebagai alat yang menjadikan kita lalai, maka itu adalah salah. Itulah kufur nikmat.

Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah kembali. Apakah tujuan aku bekerja? Apakah tujuan aku belajar? Adakah aku ini robot? Sudah cukupkah apa yang aku lakukan ini member manfaat kepada agamaku? Sudah cukupkah apa yang aku lakukan ini boleh membawaku ke syurga? Fikir-fikirkan lah. Jadilah seorang hamba Allah yang terbaik. Fastabiqul khairat. Berkejar-kejarlah untuk melakukan kebaikan. Jangan jadikan diri sebagai robot. Jangan jadikan diri kita sebagai hamba kepada dunia dan nafsu...

Ingin aku berkongsi satu video yang amat memberikan kesan dalam hatiku.
http://www.youtube.com/watch?v=uF_iG5cFeWM


Wallahu a’lam…

6/15/2008

Objektif versus Akibat

4 Jamadil Akhir 1429/8th June 2008
11:53 am


Hari Ahad yang agak lengang. Exam sudah pun berakhir semalam. Hanya menunggu masa presentation untuk Group Design Project pada khamis ini. Cuak. Ramai dah kawan yang cuba untuk menenangkan diri, “Rilex, Han. Tak de mende pun. 10 minutes je interview. Kalo tak tau, jawab je tak tau. Panel datang bukan untuk menghentam, tapi memang untuk tahu pasal projek kita.” Ye, aku tahu hanya 10 minutes individual interview. Tapi, bagi yang mengenaliku, mereka sudah cukup arif akan sifatku yang memang kurang keyakinan diri. Sudah lama aku cuba membaiki kelemahanku itu. Tapi, entahlah. Ada improvement atau tidak, aku pun tak tahu.
Aku cuba mahu manfaatkan waktu lapang ini dengan sebaik-baiknya. Aku tidak mahu jadi manusia yang terpedaya.
Narrated Ibn Abbas :
The Prophet said, "There are two blessings which many people lose: (They are) Health and free time for doing good." (HR Bukhari)


Kesihatan dan masa lapang ini bukan sahaja dikurniakan Daripada Allah kepada kita sebagai nikmat, malahan sebagai ujian kepada kita. Adakah kita akan memanfaatkan nikmat ini dengan memperbanyakkan ibadat kita kepada Allah dan melakukan amal-amal soleh; atau pun nikmat ini kita gunakan untuk melakukan kerja-kerja maksiat dan sebagainya. Na’uzubillah... Janganlah kita menjadi hambaNya yang kufur. Kufur nikmat. Tunjukkanlah rasa syukur kita kepadaNya dengan menggunakan nikmat yang dikurniakan kepada kita itu dengan sebaik-baiknya.

Di waktu ini, aku mula menyusun kembali kehidupan seharianku. Aku akui sepanjang waktu peperiksaan, kehidupanku agak berserabut dan tidak terurus. Cuba untuk prioritize. Priority untuk mengulangkaji pelajaran untuk exam. Tetapi malangnya, kerja-kerja lain terbengkalai. Kelemahan diri.

Ku cuba untuk manfaatkan waktu lapangku ini dengan sebaik-baiknya. Ku mengatur jadualku kembali. Dari saat ini sehinggaku pulang ke Malaysia. Jadual ku semasa di Malaysia juga perlu diatur. Aku tidak mahu ketinggalan mana-mana program penting.

Sedang membuat kerja, ligat otakku berfikir. Berfikir tentang apa akan terjadi pada semester akan datang. Makin berat tugasku. Seorang pelajar tahun akhir, dan pada masa yang sama adalah seorang da’ei. Insya Allah, aku tidak mahu kerja-kerja duniaku menjadi fitnah kepada dakwahku. Aku tidak mahu kerana kerja duniaku, aku gagal untuk menyampaikan risalah Allah kepada manusia di sekelilingku. Bukankah manusia itu umat pertengahan? Kitalah penyambung tugas Rasul-Rasul untuk menyampaikan kalimah haq kepada umat manusia. Ya Allah, sungguh berat tugas ini. Permudahkanlah.

Alhamdulillah, aku tidak berdiri seorang diri. Ramai sahaja yang membantuku, malah lebih hebat lagi. Ramai sahaja yang sudah menyedari apakah tugas khalifah di muka bumi ini. Tidak kiralah mereka itu bersama berlayar di dalam kapal yang sama, atau pun tidak. Walaupun berlainan kapal, insya Allah, kami menuju ke destinasi yang sama. Menegakkan kalimah Allah ke seluruh pelusuk dunia, bi iznillah.

Namun, apa yang tidak enak, apabila kita sesama da’ei banyak berselisih pendapat. Tidak mengapa, kerana setiap orang mempunyai pandangannya masing-masing. Tetapi, janganlah perselisihan itu membawa kepada perhubungan yang retak. Apa yang lebih penting adalah persaudaraan. Apa gunanya kita berjaya menyampaikan dakwah ke seluruh dunia jika kita gagal untuk mempersatukan jiwa-jiwa kita? Tugas kita sebagai seorang da’ei bukan sekadar menyampaikan kalimah haq itu semata-mata, malah lebih dari itu. Lihatlah apa yang terjadi pada Negara-negara Islam sekarang ini, yang telah jatuh, yang telah menjadi hamba kepada kejahilan. Mengapa jadi begitu? Kerana tiadanya kesatuan hati di antara mereka, yang ingin bersatu untuk sama-sama bertahan. Perpecahan berlakunya sedikit demi sedikit tanpa disedari. Lalu, anasir-anasir jahiliah mengambil peluang untuk memasuki sempadan-sempadan kita, dan akhirnya berjaya menjajah kita. Tidak kiralah, dari aspek besar atau kecil. Dari aspek negara, atau pun hati kita sendiri.

You know what they say, unity brings power.

Begitu juga apa yang banyak berlaku di bumi Sheffield ini. Perbezaan kapal dalam pelayaran dakwah banyak juga mengakibatkan perselisihan yang membawa kepada perhubungan yang tidak baik dan berburuk sangka. Benar, kita semua disuruh untuk mengejar untuk berbuat kebaikan (fastabiqul khairat). Tetapi, jika amal yang kita lakukan itu, walaupun pada asalnya adalah ibadat, jika ia mengakibatkan sesuatu kemudaratan yang besar, seperti perpecahan, maka, seelok-eloknya dielakkanlah. Apa gunanya berdakwah, tapi pada masa yang sama memecahkan umat yang lain. Apa gunanya memancing ikan kembung, tetapi melepaskan ikan tilapia yang mahal? (kesian ikan kembung direndah-rendahkan martabatnya. Tapi ikan kembung memang murah, kan? Heheh....).

Renungkanlah kembali, mengapakah kita beramal? Adakah kerana sebagai rutin? Ya, kita beramal adalah kerana semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah. Tapi, dengan menyingkirkan aspek ukhuwah dan ikatan silaturrahim, adakah redha Allah itu dapat kita capai?

Apa yang ingin ditekankan di sini, bukanlah supaya kita boleh mencari alasan, “Ooo... Aku tak leh buat benda baik ni. Nanti si A tu dah taknak kawan ngn aku...” Apa-apa pun, alasan itu tidaklah boleh digunakan sewenang-wenangnya. Bukanlah ia bermakna kita tidak boleh melakukan amal baik tersebut, jika akibatnya seperti yang ditekankan tadi. Tapi, cubalah mengambil inisiatif lain, atau mengambil gerak kerja dan langkah lain supaya apa yang kita lakukan itu member manfaat kepada semua orang. Apa yang wajib itu, tetap wajib.

Mungkin ada yang kurang memahami konsep yang ingin kusampaikan di sini. Aku hanya agak sedih dengan apa yang berlaku, lalu medan blog ini menjadi tempat ku luahkan. Kerana adanya segelintir masyarakat yang terlalu bersemangat untuk melakukan sesuatu kebaikan, tetapi tidak mengambil kira akan konsekuensi yang bakal berlaku. Ingatlah, maqasid (objektif) itu lebih penting dari ‘illah (penyebab). Jika maqasid itu lebih besar, maka wajiblah kita untuk melakukan ‘illah tersebut. Contoh mudah di sini, si A melarikan diri dari si B yang berniat untuk membunuhnya dengan niat dendam. Lalu si A pergi menyorok di rumah si C. Lalu si B bertanya kepada si C, “ada ko nampak si A, wahai si C?” Jika kita melihat konteks ini, jika si C berkata benar, maka si A akan dibunuh. Namun jika si C berkata bohong, si A akan terselamat, insya Allah. Maka dari sudut ini, WAJIBlah untuk si C berkata bohong, walaupun pada hakikatnya bohong itu merupakan satu dosa.

Oleh itu, kita perlulah sentiasa berfikir sebelum kita membuat sesuatu judgement atau pun dalam amal kita seharian. Mungkin ia nampak sahaja seperti perkara kecil. Tetapi, impaknya amat besar jika kita tersalah mengambil langkah.

Wallahu ‘alam...

5/27/2008

Jihad Pen Dan Kertas

22 Jamadil Awwal 1429/27th May 2008
9:26 am




Penat sungguh otak. Sudah tepu rasanya otak ini untuk menerima lagi sebarang info-info baru yang baru untuk diulangkaji. Tepu? Heh, macam lah ilmu itu berbentuk fizikal dan mempunyai jisim yang boleh menepukan otak. Padahal otak ini boleh saja untuk dipenuhkan dengan segala ilmu yang ada di dunia ini (tanpa melangkaui batas-batas ilmu Allah of course). Dengan izin Allah. Tetapi, kenapa otak ini berasa seakan-akan sudah tidak mahu lagi menerima sebarang ilmu baru? Mungkin ini silapku. Apa-apa pun, otak ini juga adalah makhluk Allah yang serba kekurangan. Masakan otak ini boleh menerima ilmu sekaligus pada waktu yang sama, tanpa diberi rehat. Dan mungkin juga kerana hati ini tidak cukup berzikir kepada Allah, yang menyebabkan Allah tidak mengizinkan otakku boleh bekerja dengan lebih kuat lagi. Salahku. Minta maaf, ya Tuhan.


Aku akan menduduki peperiksaan bermula pada hari lusa bersamaan 24 Jamadil Awwal 1429/29th May 2008 pada jam 9am. Lagi 2 hari sahaja. Namun persediaanku cukup sedikit sekali. Aku memang sungguh degil. Sudah acapkali aku menerima padah akibat last minute preparation. Namun, tidak mahu pula aku belajar dari kesilapan itu. Kawan-kawan, jangan jadi seperti aku ya!

Kadang-kadang aku cukup tidak sukakan waktu-waktu peperiksaan seperti ini. Kerana di waktu ini, aku bagaikan ditimpakan ujian yang amat besar. Aku berusaha menelaah bersungguh-sungguh. Kemudian di waktu peperiksaan aku memang tidak lupa untuk berdoa. Bertawakkal lah kononnya. Sehingga aku lupa apa erti tawakkal yang sebenarnya. Kerana apabila aku menerima keputusan peperiksaanku itu, jika keputusan itu tidak baik, aku mula berasa sedih dan hiba. Aku menyalahkan diri sendiri (alhamdulillah, aku tidak pernah menyalahkan Tuhan. Na’uzubillah min asy-syaitani ar-rajiim). Tapi apakah erti tawakkal itu sebenarnya? Tawakkal itu adalah kita berserah kepada Allah SETELAH BERUSAHA sehabis baik dan menerima dengan REDHA AKAN NATIJAH yang bakal diturunkan oleh Allah. Ada 2 points di situ. Berusaha dan redha. Aku selalu terlupa. Aku masih tidak cukup bertawakkal. Nipis sungguh imanku. Aku bagaikan menganggap Allah itu tidak adil, padahal Allah itu Maha Mengetahui akan segala urusanNya. Ampun lagi Ya Allah…

Sabtu lepas aku sempat pergi ke Majlis Solat Hajat anjuran Sheffield’s Malaysian Students Association (SMSA). Berminat dengan tips-tips yang diberikan oleh Ustaz Abd Rahim, penceramah jemputan untuk majlis tersebut. Di antaranya adalah:
1. Jaga masa
2. Meletakkan mindset bahawa apa yang kita pelajari itu senang
3. Minta doa dan restu ibu bapa

- kalau boleh sertakan jadual penuh peperiksaan
kepada mereka supaya mereka tidak lepa untuk berdoa terus
menerus kepada kita, insya Allah
4. Sebelum mula belajar, bacalah ayat-ayat al-Quran dahulu

walaupun satu ayat
- untuk memohon keberkatan daripada Allah dan supaya
perbuatan mengulangkaji kita itu dikira sebagai satu
ibadat, insya Allah
5. Doa untuk orang-orang lain
- Apabila kita berdoa untuk orang lain juga, malaikat akan

menyambut doa kita dengan berkata, “wa iyyaka” yang
bermaksud, “untuk kamu juga”.
- Bermakna doa kita akan di’amin’ kan juga oleh para

malaikat, dan malaikat juga berdoa untuk kita (doa para
malaikat sangat mustajab)
- Betapa Allah nak mengajar kita supaya tidak berhasad

dengki dengan berdoa untuk orang lain

Apa-apa pun, kuingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf dari sahabat-sahabat semua di atas segala salah dan silap yang pernah kulakukan, sedar atau tanpa sedar. Mohon keredhaan dari sahabat-sahabat semua. Doakan kejayaan kita semua dunia dan akhirat. Amiin….

Name : Siti Rusyida Rohim
Student ID : 050193651
Level 3 MEng Mechanical Engineering
Final Examination Timetable Spring Semester 2007-08




“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu jadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.” (3:103)



Wallahu a’lam...

5/20/2008

Living in assumptions

4 Jamadil Awwal 1429 / 9 May 2008
1:09PM


Alhamdulillah. Sejak kebelakangan ni cuaca bumi Sheffield ini sangat baik. Tiada lagi rasa sejuk yang melampau. Suhu pada saat ini menjangkau angka 21°C. Alhamdulillah. Moga dengan keadaan cuaca yang baik ini, aku juga dikurniakan ‘mood’ yang lebih baik untuk menyiapkan assignment dan prepare untuk exam yang bakal menjelang dalam masa 2 minggu sahaja lagi! Ya Allah… kurniakan aku keberkatan masa.

Oleh kerana cuaca yang amat baik ini, kami kaum hawa undergrad di Sheffield ini tidak melepaskan peluang untuk menghirup udara segar di waktu petang. Kami ber’picnic’ di Botanical Garden. Pada mulanya, aku agak keberatan untuk bersama-sama mereka kerana aku agak letih memandangkan baru sahaja selesai meeting dengan groupmates. Tetapi, apabila aku memikirkan ini adalah satu peluang aku untuk merapatkan lagi ukhuwwah antara kami, aku pun bersetuju. Aku pun sudah lama tidak meluangkan masa bersama mereka, bertukar-tukar cerita. Selain itu, dapat juga aku menikmati keindahan alam dan membuang segala ke’tension’an disebabkan kerja-kerja yang berlambak-lambak menanti untuk disiapkan.

Semasa bersembang-sembang di Botanical garden itu, kami mengambil kesempatan untuk berta’aruf semula. Bukannya kami tidak mengenali antara satu sama lain. Ramai juga di antara mereka yang aku sudah kenali hampir 3 tahun. Tetapi, apabila kami membuka cerita, banyak juga kisah tentang mereka yang aku baru sahaja ketahuinya. Ada juga yang berkata, “Ooo… patutlah akak wat ‘cani…cani…’ Ingatkan sebab akak ‘cani… cani….’ Rupenye ‘cani…cani…’” Dan ada pula yang membuka cerita tentang kisahnya semasa kanak-kanak. Boleh dikatakan ianya sebuah kisah yang agak sedih. “itulah kisah akak mase akak kecik. Disebabkan pengalaman akak tu la, sampai sekarang akak bersikap macam ni. Harap semua boleh menerima akak seadanya.”
Itulah kepentingan ta’aruf. Ta’aruf bukanlah sekadar mengetahui nama, umur, tempat tinggal dan sebagainya. Tetapi, dengan ta’aruf kita sepatutnya sudah lebih dapat memahami akan seseorang itu. Perwatakannya, gaya bercakap, sikapnya, ‘sensitivity’nya… semua itu amat penting supaya kita dapat lebih menghormati setiap individu. Terutama orang-orang terdekat dengan kita. Sahabat kita, adik-beradik kita, ibu-bapa kita… Kita jangan terlalu yakin yang kita sudah cukup mengenali mereka.

Pernah tak satu ketika, ada seseorang datang kepada kita dan menceritakan masalahnya kepada kita. Dan pernah tak kita berasa, “Ekelleh… benda-benda kecik cani pun dia nak amek kesah. Padahal akunye problem ni lagi besar nk bandingkan dengan benda alah ni.” Pernah tak? Kalau ada, itu adalah satu kesilapan yang agak besar. Itu adalah salah satu tanda kita tidak menghormati sahabat kita tersebut.

Kita jangan lupa, Allah mencipatakan kita bermacam-macam jenis, bermacam-macam rupa, gaya, kerenah. Begitu juga dengan tahap ketahanannya. Mungkin tahap ketahanan kita lebih tinggi daripada sahabat kita. Namun itu tidak bermakna kita layak untuk meremehkan masalah-masalah ‘kecil’ sahabat kita itu. Seharusnya kita menghormati perasaan sahabat kita tersebut, mendengar kisahnya dan cuba untuk menyelami hati dan perasaannya. Nasihatilah mereka jika perlu.

Terlalu ramai sahabatku yang mengalami perkara ini. Seorang sahabat pernah bercerita kepadaku tentang seorang sahabatnya yang sering sahaja menceritakan masalah kepadanya. Sahabatku itu sering merungut. Dia merasakan sahabatnya itu kurang matang menghadapi ujian yang ditimpakan kepadanya. Ya, memang benar. Kita disuruh untuk bersabar dan redha dengan ujian yang diturunkan kepada kita. Namun, sahabat juga perlu memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Apa-apa pun, kita hanyalah manusia. Kita sentiasa memerlukan kepada sahabat yang boleh memberi sokongan kepada kita, ataupun yang sentiasa mengingatkan kita supaya bersabar dan sebagainya. Jika kita berfikir masalahnya remeh, jangan lupa, masalah yang besar pada kita mungkin pula nampak kecil di mata orang lain. Mesti sedih kan kalau sahabat rapat kita menggelakkan kita apabila kita meluahkan masalah kita kepada mereka?

Memang sukar juga untuk menjadi seorang sahabat. Sahabat. Bolehkah aku menjadi seorang sahabat yang baik? Adakah aku boleh menjadi pendengar yang baik apabila sahabatku menceritakan masalahnya? Di saat sahabatku ditimpa kesusahan, adakah aku akan sentiasa di sampingnya? Adakah aku boleh menjadi seorang sahabat ketika susah dan senang? Jika sahabatku melakukan sesuatu yang salah, adakah aku akan menegur kesalahannya? Jika aku mendengar berita-berita tidak elok tentang sahabatku, adakah aku terus mempercayainya?

Mmm… Soalan yang terakhir itu sungguh menarik. Kerana memang kebanyakan orang gagal menjadi seorang sahabat disebabkan gagalnya mereka menangani keadaan itu. Hal itu juga kerapkali berlaku pada diriku. Sesuatu yang amat aku kesalkan.

“Kau tau tak, Han, aku dengar daripada si A, yang si B tu penipu besar. Kat si A dia kata lain. Rerupenye dapat tau yang si B ni tipu dia rupenye. Kesian kat si A." (Kisah ini hanyalah rekaan semata-mata. Kisah yang sebenarnya dirahsiakan :D)

Apabila aku mendengar sahaja khabar itu, merah padam wajahku. Apa yang ada dalam fikiranku ketika itu, aku agak kesal dengan sikap si B rakanku itu. Ada juga aku mempertahankan sahabatku itu. Tetapi aku tidak dapat menipu diriku sendiri, sedikit sebanyak, sebenarnya aku sudah pun mempercayai akan khabar angin itu. Astaghfirullah…

Beberapa hari berikutnya, aku terserempak dengan sahabatku si B itu. Aku masih bermanis muka padanya. Aku berlagak seperti biasa. Namun, di dalam hatiku terdetik untuk bertanya kepadanya akan kisah sebenar. Aku pun dengan bijaknya cuba untuk membuka cerita supaya dia dapat bercerita kepadaku tanpa melibatkan nama sahabatku yang lain. Akhirnya, setelah mendengar kisahnya, aku mengetahui akan kisah sebenar. Semua ini hanyalah salah faham semata-mata. Lihatlah, inilah bahana khabar angin. Bagaimana seorang yang kononnya bergelar ‘sahabat’ telah bersangka buruk terhadap rakannya itu. Hanya kerana satu berita yang terbukti tidak benar. Sedih….
Benarlah apa Allah ajar kita…

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.” (6:116)

Memang, oleh kerana aku hanya mempercayai kata-kata orang lain, aku mula bersangka buruk terhadap rakanku sendiri. Dan Allah sudah pun mengungkapkan, jika kita hanya mempercayai sahaja apa yang kebanyakan orang ungkapkan, tanpa usul-periksa, kita boleh tersesat dari jalan yang lurus ini. Astaghfirullah al-‘Azim… Ampunkan dosaku ya Allah. Ya Allah, janganlah kau pesongkan hati-hati kami dari jalanMu, secara sengaja atau tidak sengaja, ya Muqallibal Qulub.

Peristiwa ini banyak mengajarku tentang erti persahabatan dan kepercayaan. Ia juga banyak menguji tahap keimananku. Bukankah sudah Allah ungkapkan, perasaan yang tidak baik itu datangnya dari bisikan syaitan. Dan alangkah lemahnya imanku, aku gagal menepis segala bisikan syaitan yang mencucuk-cucuk nafsuku untuk bersangka buruk terhadap sahabatku sendiri. Memang ini rencana syaitan laknatullah! Dari sinilah jalan masuknya untuk dia mengotori hati kita. Sedikit sahaja kotor hati kita, sudah cukup untuk memudahkan kerja syaitan direjam itu terus merosakkan hati kita. Na’uzubillah min zalik.


Hanya niat untuk berkongsi kisah ini dengan rakan-rakan yang lain. Perasaan sangka buruk (su’uz zon) itu mungkin nampak kecil. Tetapi, hakikatnya Allah telah berkali-kali menyebut dalam firmanNya tentang perasaan prasangka ini. Menunjukkan betapa pentingnya untuk kita sentiasa menjaga hati daripada lahirnya prasangka-prasangka yang buruk terhadap manusia, dan lebih teruk lagi, kepada Allah. Astaghfirullah…


Juz my 2p


Wallahu a’lam…

5/02/2008

Kisah Sang Musafir

22 Rabiul Akhir 1429 / 28th April 2008
1:27 pm

Bermula 26th March 2008, aku bersama 8 orang rakan yang lain memulakan perjalanan ke ‘watan’ (tanah air) ku, yang dahulunya pernah menyaksikan satu pembangunan pesat Islam, di waktu Islam menjadi ‘ustaziatul alam’ (world order). Namun kini watanku itu telah pun jatuh ke tangan manusia yang tidak mengenal kalimah shadatain itu. Namun itulah watanku. Spain.

Sebelum menjejakkan kaki ke tanah Andalusia, penerbangan kami dari Stansted Airport mendarat dahulu ke Barcelona. Kami menghabiskan seharian pergi melawati Bandar itu termasuklah stadium bola, dan bangunan-bangunan unik yang direka oleh seorang arkitek bernama Gaudi. Keesokannya pula, kami bertolak ke Madrid dengan menaiki speed train. Di sana kami juga melawati stadium bola Real Madrid yang terkenal itu, dan juga Plaza de Toros (Bull Ring) yang menjadi ‘trademark’ kepada Spain itu sendiri.


Keesokan harinya pula, kami menuju ke Cordoba. Aku berasa tidak sabar-sabar untuk tiba di sana kerana aku tahu bagaimana megahnya dahulu Islam di tanah itu satu waktu dahulu. Di tanah itu, berdirinya satu masjid (Mesquita/mosque) yang gah pada waktu itu. Namun selepas kejatuhan Islam, Masjid itu telah dirampas kembali oleh orang kristian dan dijadikan cathedral. Sedih. Mesquita itu tidak jauh dari hostel yang kami diami. Apabila kami tiba di situ, aku tidak dapat menahan air mataku daripada mengalir. Tidak tahu bagaimana perlu ku gambarkan perasaanku pada waktu itu. Aku berasa sangat hiba. Aku sayangkan masjid itu. Sangat sedih apabila kulihat sekeliling masjid itu yang sepatutnya damai, aman, permai; menjadi seperti sebuah pesta; akibat daripada kini ianya menjadi destinasi para pelancong. Masjid itu tidak lagi dihormati. Semakin kuat azamku untuk kembalikan kehormatan ‘deen’ku.

Setelah membeli tiket (woott???), kami semua berjalan ke arah pintu masuk masjid itu. Tiba di pintu masuk, sudah ada pak guard yang menunggu. Sempat dia berpesan kepada kami, “You are not allowed to pray inside this cathedral.” Bertambah hiba hati ini rasakan. Ini tempatku. Ini sepatutnya menjadi tempat ibadat kami. Dahulunya masjid ini menjadi serbuan ribuan orang muslim, sehinggakan di kejauhan terdengar seperti bunyi nyamuk (itulah asal wujudnya perkataan mosque/mesquita). Kini kami dihalang untuk beribadat di tempat kami sendiri. Tempat kita. Namun, kami tidak melawan. Kami bersetuju.

Aku melangkah masuk. Masha Allah. Air mata ini mengalir lagi. Kulihat patung-patung Jesus dan crucifix menjadi hiasan setiap penjuru tempat itu. Masjid yang dahulunya terang disirami cahaya mentari, kini diselubungi kegelapan akibat kebanyakan pintu-pintu masjid itu ditutupi dengan simen batu. Alangkah indahnya masjid itu jika pintu-pintu itu dibiarkan terbuka, membenarkan sinaran mentari menerangi setiap penjuru masjid itu, menzahirkan keindahannya. Sebahagian daripada masjid itu masih mengekalkan ukiran-ukiran indah yang asal yang diukir semasa zaman pemerintahan Islam dahulu. Mungkin mereka sendiri tidak sanggup untuk membuang ukiran-ukiran itu kerana cantiknya seni Islam itu.

Aku akhirnya menjumpai tempat yang dahulunya menjadi mimbar. Tempat itu kini telah berpagar. Namun ukiran di sebalik pagar itu masih dapat kubaca. “La ilaha ill Allah….” Dan banyak lagi kata-kata pujian ke atas Allah. Ukiran itu masih dikekalkan. I wonder why….

Setelah puas berjalan dan bergambar di dalam masjid itu, kami duduk sebentar. Kami mula bercerita dan berbincang tentang sejarah awal Islam di Spain. Kami mengimbau kembali bagaimana Islam mula berkembang di Spain, konflik yang berlaku, sehinggalah kejatuhannya. Memang penting untuk kita mengkaji kembali sejarah ini supaya kita dapat mengambil iktibar daripada kisahnya. Dan dari sejarah jugalah kita boleh memilih untuk mengikut jejak langkah tokoh-tokoh Islam terdahulu (Tariq b Ziyad, Abd Rahman al-Ghafiki, etc)bagaimana tingginya semangat mereka untuk menyebarkan seruan deen Allah ke setiap pelusuk bumi Allah ini. Hanya untuk mendapat keredhaan Allah. Mencapai syurga Allah. Itu sahaja impian dan cita-cita mereka. Sungguh, aku ingin jadi seperti mereka.

Pada petang itu, kami menaiki bas menuju ke Medina Az-Zahra. Mengikut sejarahnya, Medina Az-Zahra ini dibina semasa zaman pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III untuk dijadikan Bandar istana. Ada sejarah mengatakan nama Az-Zahra itu diambil bersempena nama isterinya. Namun, ramai rakyat tidak berpuas hati dengan pembinaan istana itu kerana ada sejarah mengatakan bahawa semasa pembinaannya, khalifah pernah meninggalkan Solat Jumaat sebanyak 3 kali akibat terlalu sibuk sehinggakan tindakannya itu ditegur oleh Ulama’ pada ketika itu. Akhirnya, istana itu telah dibakar semasa ‘civil war’. Istana yang dahulunya sangat masyhur dan megah berdiri, kini hanya terdiri dari runtuhan-runtuhan batu. Bolehlah kita ambil pengajarannya di sini, lihatlah pengakhiran kuasa khalifah itu pada waktu itu kerana cintanya dia pada dunia melebihi cintanya kepada agamanya sendiri.

Keesokannya pula, kami bertolak ke Sevilla. Tiada apa sangat yang kami lakukan di sana kecuali menaiki Tour Bus untuk mengelilingi satu Bandar Sevilla itu. Kelakar. Aku membayar tiket itu dengan harga €15. Namun, di atas bas itu aku hanya tertidur tanpa menikmati tempat-tempat yang kami lewati. Rugi….rugi….. Pada petang itu, kami semua menuju ke Granada pula dan bermalam di sana selama semalam.

Mungkin ramai yang pernah mendengar tentang hebatnya istana Alhambra atau Al-Hamra’ iaitu ‘Kota Merah’. Alhambra ini merupakan istana dimana Khalifah pada waktu itu memerintah dan bersemayam. Apa yang amat menakjubkan tentang istana ini adalah seni ukiran yang menghiasi sentiap pelusuk dinding istana itu. Dan apa yang sangat menarik adalah ukiran-ukiran itu menyebutkan kalimah “La Ghalib Illa Allah”. Tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah. Subhanallah. Mengikut sejarah, ukiran-ukiran ini bermaksud supaya ke mana sahaja penghuni-penghuni istana itu berjalan, mereka tidak akan terlepas daripada hanya mengingati Allah. Supaya pemerintah ketika itu sentiasa beringat bahawa walaupun pada waktu itu mereka mempunyai kuasa yang besar di tanah itu, namun terdapat lagi satu kuasa yang Maha Besar yang tidak tertanding lagi. Allah ‘Azza wa Jalla. Alangkah bagusnya jika pemimpin-pemimpin Negara pada zaman ini mempunyai kesedaran seperti itu. Akan muncullah sekali lagi, biiznillah, dunia idealism Islam.
Satu lagi aspek yang diterapkan di kawasan istana itu adalah konsep air di mana ianya adalah untuk menggambarkan suasana di syurga nanti. Memang kedamaian dan kedinginan istana itu lebih terasa dengan kolam-kolam air yang amat tenang. Ini baru di dunia yang hanya bersifat sementara. Bagaimanakah pula agaknya kedamaian semasa di syurga nanti.

Pada petang itu, kami semua bertolak ke destinasi terakhir kami di Spain, iaitu Malaga. Aku ditugaskan untuk menjaga hal ehwal perjalanan kami sepanjang di sana. Alhamdulillah, setelah sedikit kesukaran untuk memahami peta, walaupun pernah sekali tersesat jalan, akhirnya kami berjaya tiba di hostel. Keadaan hostel itu tidaklah begitu selesa seperti mana di Granada. Namun, itu cukup untuk membuatkan aku tidur dengan nyenyak sekali.

Keesokannya, kami semua menuju ke sebuah pantai kira-kira 10 minit dari hostel kami. Pantai Costa del Sol. Aku lega apabila aku melihat kegembiraan terpancar dari wajah rakan-rakanku. Kerana sebelum ini aku berasa sedikit risau jika perjalanan mereka di Malaga ini bukan satu perjalanan yg menarik. Namun, setelah melihat kegembiraan mereka, aku boleh tersenyum lebar.

Selepas hampir 2 jam, kami berjalan pulang ke hostel untuk berkemas. Selepas ini, aku bercadang untuk membawa mereka bersiar-siar di sekitar Bandar Malaga sebelum menuju ke Lapangan Terbang Malaga untuk pulang ke London. Setibanya kami di Stesen Renfe untuk menuju ke Bandar, seorang dari kawanku mendekatiku. “Han, aku nye handphone xde. Aku rase tertinggal kat hostel la.” Aku dengan rasa senang hati menemaninya kembali ke hostel. Aku berdoa supaya handphone nya itu dapat dijumpai. Aku agak gusar jika bilik yang dia diami malam tadi sudah pun dikemas dan handphone itu telahpun diambil oleh pihak hostel. Namun aku tetap berdoa.

Tiba sahaja kami di sana, kawanku itu terus bergegas menuju ke biliknya itu setelah meminta izin dari receptionist. Malangnya, handphone itu tak diketemui. Aku risau. Aku kembali bertemu dengan receptionist bertanyakan tentang handphone rakanku yang hilang itu. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur kerana pekerja-pekerja di hostel itu sungguh jujur. Housekeeper yang telah mengemas bilik itu telah menemui handphonenya. Housekeeper itu sambil tersenyum, memulangkan kembali handphone itu kepada rakanku.

Setelah itu, kami menuju kembali ke Stesen Renfe dan bersama-sama bergerak ke Bandar Malaga. Tiba sahaja kami di Bandar Malaga, aku mulai berasa ‘tension’ kerana sekali lagi aku menghadapi masalah untuk membaca peta. Lalu aku pun mengambil langkah untuk bertanya dengan orang tempatan untuk mengetahui arah ke tempat destinasi kami.

Setelah lama berjalan, aku yang mengetuai rombongan itu terperanjat apabila aku terdengar suara-suara cemas rakan-rakanku di belakang. Aku semakin terperanjat apabila aku melihat tompok-tompok hijau yang mengotori baju-baju mereka. Seorang wanita Spanish yang sedar dengan kejadian itu memberitahu kami bahawa itu burung-burung ‘flamingo’ yang terbang dikawasan itu telah ber’nyahtinja’ di atas baju mereka. Lalu aku meminta 2 orang dari rakan yang berjalan disampingku tadi untuk memeriksa bajuku. Alhamdulillah, tiada tompok hijau tersebut. Begitu juga di baju mereka. Lalu kami bertiga membuat keputusan untuk masuk sebentar di kedai-kedai berdekatan untuk mengelakkan daripada najis-najis tersebut. Namun, wanita Spanish itu beria-ia untuk membawa kami semua untuk ke sebuah lorong di mana mengikut katanya terdapat satu tandas awam di mana kami boleh membersihkan pakaian-pakaian kami. Kami pun menurutinya.

Setelah itu, 3 orang lelaki lagi termasuk seorang yang dari tadi sedang bercakap di dalam pondok telefon datang ke arah kami. Mereka berkeras untuk membantu kami untuk membersihkan baju-baju kami. Tandas yang dikatakan tadi tidak pula kelihatan. Orang-orang Spanish itu pun memberikan tissue kepada kami supaya kami dapat mebersihkan pakaian-pakaian antara satu sama lain. Pakaian aku yang tadinya bersih sudah pun dicemari dengan tompokan hijau tersebut. Mungkin sepanjang kami berjalan di lorong itu, burung itu sempat untuk melakukan proses perkumuhannya sekali lagi. Huhuhu….

Aku di paksa oleh salah seorang dari mereka untuk membersihkan baju seorang rakanku walaupun setelah berkali-kali aku mengatakan yang bajunya itu sudah pun bersih. Dia pula sibuk untuk membersihkan bajuku dari belakang. Aku sedar akan caranya semasa membersihkan bajuku itu agak kasar. Aku terasa seperti dia ingin merabaku, lalu aku memarahinya. Namun, dia tetap juga berkeras untuk menolongku. Rakan-rakanku yang lain juga begitu. Mereka berbaris supaya mereka dapat membersihkan pakaian antara satu sama lain, dan orang yang paling belakang pula, bajunya akan dibersihkan oleh salah seorang daripada orang Spanish itu. “Asal baik sangat lak derang ni…. Mmmm…..”

Setelah 5 minit, mereka semua beredar meninggalkan kami sambil mengucapkan selamat tinggal. Kami semua pula bergelak tawa, lucu dengan kejadian tahi burung ini. Aku pula berasa sangat kagum dengan kebaikan dan keperamahan orang-orang Spain ini. Sanggup menolong walaupun kami tidak mereka kenali. Namun, tak lama kemudian….
“Eh, korang. Aku punya purse dah takde,” seorang rakanku bersuara. Kami mula terdiam dan memintanya untuk memeriksa sling-bag nya sekali lagi. Namun jawapannya tetap sama. Tiada. Kami tersedar. Kami mula memeriksa pula beg-beg tangan kami. Alhamdulillah, tiada apa yang hilang.

Namun, kami amat bersimpati di atas seorang rakanku ini kerana barang-barang penting seperti student card, debit card dan credit card semuanya lesap. Kami terus memintanya untuk menghubungi pihak bank di UK untuk melaporkan hal itu sebelum apa-apa yang lebih buruk terjadi. Aku melihat wajah rakanku itu cemas, namun aku tahu, dia sedang cuba untuk bertenang. Keadaan semakin rumit apabila pihak bank meminta bermacam-macam jenis maklumat sebagai verification. Takut-takut jika panggilan itu adalah panggilan palsu (fraud). Semakin cemas rakanku itu, bagaimana pada waktu seperti itu dia boleh mendapatkan semua maklumat seperti nombor akaun bank dan bermacam-macam lagi. Proses pembatalan kad itu tidak dapat dijalankan selagi pihak bank tidak mendapatkan maklumat-maklumat tersebut. Masa terus berjalan. Kami semakin risau kalu-kalau pencuri-pencuri tersebut sempat untuk meng’songlap’ duitnya sebelum pembatalan sempat dijalankan.

Sedang rakanku itu sibuk menyelesaikan masalahnya, tiba-tiba aku teringat sesuatu yang berharga di dalam beg aku. Aku memeriksa begku sekali lagi. Dugaan demi dugaan. Kameraku yang telah kugunakan sejak 2 tahun lalu itu hilang. Ya Allah. Lemah terus tubuh badan ku rasakan. Aku menggigil. Aku memberitahu berita itu kepada rakanku yang lain. Mereka terperanjat. Dan mereka terus menenangkan perasaanku. Namun, aku tidak dapat menahan air mataku. Aku menangis. Aku tidak kisah akan kameraku yang hilang. Tetapi aku merindukan kenangan-kenangan yang kami rakamkan. Mujurlah bukan kameraku sahaja yang digunakan sepanjang perjalanan kami. Sekurang-kurangnya aku boleh mendapatkan gambar-gambar dari rakanku yang lain. Namun godaan syaitan itu sangat dasyat dan aku pula pada ketika itu sangat lemah imanku. Mudah sungguh aku terpedaya dengan bisikan-bisikan jahat syaitan itu. Aku marah, aku geram, dan seakan-akan tidak redha dengan dugaan yang Allah turunkan itu. Padahal setiap musibah yang Allah turunkan itu adalah semata-mata untuk menguji tahap keimananku. Astaghfirullah al-Azim…. Sabar Han…

Tidak lama selepas itu, aku mula berasa tenang. Namun, aku dan rakanku masih berasa trauma dengan kejadian tersebut. Tetapi aku amat bersyukur rakan-rakanku yang lain yang banyak menyokong kami. Thanks, all…..

Satu perkara yang amat menyentuh hatiku, seorang rakanku memberitahuku….




“Kita kena belajar untuk redha dengan ujian yang Allah turunkan untuk kita. Apa-apa yang telah Allah takdirkan untuk kita, baik atau buruk, semua ada hikmah di sebaliknya. Macam kisah rompakan ni, walaupun sepanjang perjalanan kita, kita selalu mengingatkan antara satu sama lain supaya menjaga beg kita. Namun kita selalu berjaga-jaga hanya di kawasan yang sesak dengan orang saja. Tapi kita terlupa, malang itu boleh berlaku pada bila-bila masa je. Tak kiralah kawasan itu adalah kawasan sesak ataupun lapang. Kerana perompak-perompak ini sentiasa sahaja mempunyai helah yang boleh membutakan mata kita. Tengok saja apa yang berlaku pada kita. Hanya dengan tahi burung kita sudah terlupa untuk sentiasa berhati-hati dengan barang-barang kita. Akhirnya, tragedy menimpa kita…”


“…Begitu juga dengan iman kita. Kita hanya sentiasa berjaga-jaga dengan perkara-perkara maksiat yang besar, seperti tidak meninggalkan solat, tidak melakukan zina, dan lain-lain. Namun, kita sering terlupa, syaitan itu sangat licik dan bijak untuk memperdaya dan menyesatkan kita (17:61-65). Lihatlah sahaja benda-benda lagha yang banyak kita lakukan, seperti berbual-bual kosong, membuang masa, menonton rancangan yang tidak berfaedah. Kita mungkin tidak sedar, pada waktu itu iman kita adalah di tahap yang paling rendah sekali. Oleh itu, sangat penting untuk kita sentiasa ditarbiyyah supaya tiada satu saat pun dalam hidup kita lalai daripada mengingati Allah.”


“… Dan anggaplah kejadian malang ini sebagai tarbiyyah juga kepada kita…”


Sesungguhnya apa yang dijadikan Allah di dunia ini adalah tidak lain dan tidak bukan sebagai nikmat dan juga peringatan kepada kita.





Wallahu’alam….