5/27/2008

Jihad Pen Dan Kertas

22 Jamadil Awwal 1429/27th May 2008
9:26 am




Penat sungguh otak. Sudah tepu rasanya otak ini untuk menerima lagi sebarang info-info baru yang baru untuk diulangkaji. Tepu? Heh, macam lah ilmu itu berbentuk fizikal dan mempunyai jisim yang boleh menepukan otak. Padahal otak ini boleh saja untuk dipenuhkan dengan segala ilmu yang ada di dunia ini (tanpa melangkaui batas-batas ilmu Allah of course). Dengan izin Allah. Tetapi, kenapa otak ini berasa seakan-akan sudah tidak mahu lagi menerima sebarang ilmu baru? Mungkin ini silapku. Apa-apa pun, otak ini juga adalah makhluk Allah yang serba kekurangan. Masakan otak ini boleh menerima ilmu sekaligus pada waktu yang sama, tanpa diberi rehat. Dan mungkin juga kerana hati ini tidak cukup berzikir kepada Allah, yang menyebabkan Allah tidak mengizinkan otakku boleh bekerja dengan lebih kuat lagi. Salahku. Minta maaf, ya Tuhan.


Aku akan menduduki peperiksaan bermula pada hari lusa bersamaan 24 Jamadil Awwal 1429/29th May 2008 pada jam 9am. Lagi 2 hari sahaja. Namun persediaanku cukup sedikit sekali. Aku memang sungguh degil. Sudah acapkali aku menerima padah akibat last minute preparation. Namun, tidak mahu pula aku belajar dari kesilapan itu. Kawan-kawan, jangan jadi seperti aku ya!

Kadang-kadang aku cukup tidak sukakan waktu-waktu peperiksaan seperti ini. Kerana di waktu ini, aku bagaikan ditimpakan ujian yang amat besar. Aku berusaha menelaah bersungguh-sungguh. Kemudian di waktu peperiksaan aku memang tidak lupa untuk berdoa. Bertawakkal lah kononnya. Sehingga aku lupa apa erti tawakkal yang sebenarnya. Kerana apabila aku menerima keputusan peperiksaanku itu, jika keputusan itu tidak baik, aku mula berasa sedih dan hiba. Aku menyalahkan diri sendiri (alhamdulillah, aku tidak pernah menyalahkan Tuhan. Na’uzubillah min asy-syaitani ar-rajiim). Tapi apakah erti tawakkal itu sebenarnya? Tawakkal itu adalah kita berserah kepada Allah SETELAH BERUSAHA sehabis baik dan menerima dengan REDHA AKAN NATIJAH yang bakal diturunkan oleh Allah. Ada 2 points di situ. Berusaha dan redha. Aku selalu terlupa. Aku masih tidak cukup bertawakkal. Nipis sungguh imanku. Aku bagaikan menganggap Allah itu tidak adil, padahal Allah itu Maha Mengetahui akan segala urusanNya. Ampun lagi Ya Allah…

Sabtu lepas aku sempat pergi ke Majlis Solat Hajat anjuran Sheffield’s Malaysian Students Association (SMSA). Berminat dengan tips-tips yang diberikan oleh Ustaz Abd Rahim, penceramah jemputan untuk majlis tersebut. Di antaranya adalah:
1. Jaga masa
2. Meletakkan mindset bahawa apa yang kita pelajari itu senang
3. Minta doa dan restu ibu bapa

- kalau boleh sertakan jadual penuh peperiksaan
kepada mereka supaya mereka tidak lepa untuk berdoa terus
menerus kepada kita, insya Allah
4. Sebelum mula belajar, bacalah ayat-ayat al-Quran dahulu

walaupun satu ayat
- untuk memohon keberkatan daripada Allah dan supaya
perbuatan mengulangkaji kita itu dikira sebagai satu
ibadat, insya Allah
5. Doa untuk orang-orang lain
- Apabila kita berdoa untuk orang lain juga, malaikat akan

menyambut doa kita dengan berkata, “wa iyyaka” yang
bermaksud, “untuk kamu juga”.
- Bermakna doa kita akan di’amin’ kan juga oleh para

malaikat, dan malaikat juga berdoa untuk kita (doa para
malaikat sangat mustajab)
- Betapa Allah nak mengajar kita supaya tidak berhasad

dengki dengan berdoa untuk orang lain

Apa-apa pun, kuingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf dari sahabat-sahabat semua di atas segala salah dan silap yang pernah kulakukan, sedar atau tanpa sedar. Mohon keredhaan dari sahabat-sahabat semua. Doakan kejayaan kita semua dunia dan akhirat. Amiin….

Name : Siti Rusyida Rohim
Student ID : 050193651
Level 3 MEng Mechanical Engineering
Final Examination Timetable Spring Semester 2007-08




“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu jadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.” (3:103)



Wallahu a’lam...

5/20/2008

Living in assumptions

4 Jamadil Awwal 1429 / 9 May 2008
1:09PM


Alhamdulillah. Sejak kebelakangan ni cuaca bumi Sheffield ini sangat baik. Tiada lagi rasa sejuk yang melampau. Suhu pada saat ini menjangkau angka 21°C. Alhamdulillah. Moga dengan keadaan cuaca yang baik ini, aku juga dikurniakan ‘mood’ yang lebih baik untuk menyiapkan assignment dan prepare untuk exam yang bakal menjelang dalam masa 2 minggu sahaja lagi! Ya Allah… kurniakan aku keberkatan masa.

Oleh kerana cuaca yang amat baik ini, kami kaum hawa undergrad di Sheffield ini tidak melepaskan peluang untuk menghirup udara segar di waktu petang. Kami ber’picnic’ di Botanical Garden. Pada mulanya, aku agak keberatan untuk bersama-sama mereka kerana aku agak letih memandangkan baru sahaja selesai meeting dengan groupmates. Tetapi, apabila aku memikirkan ini adalah satu peluang aku untuk merapatkan lagi ukhuwwah antara kami, aku pun bersetuju. Aku pun sudah lama tidak meluangkan masa bersama mereka, bertukar-tukar cerita. Selain itu, dapat juga aku menikmati keindahan alam dan membuang segala ke’tension’an disebabkan kerja-kerja yang berlambak-lambak menanti untuk disiapkan.

Semasa bersembang-sembang di Botanical garden itu, kami mengambil kesempatan untuk berta’aruf semula. Bukannya kami tidak mengenali antara satu sama lain. Ramai juga di antara mereka yang aku sudah kenali hampir 3 tahun. Tetapi, apabila kami membuka cerita, banyak juga kisah tentang mereka yang aku baru sahaja ketahuinya. Ada juga yang berkata, “Ooo… patutlah akak wat ‘cani…cani…’ Ingatkan sebab akak ‘cani… cani….’ Rupenye ‘cani…cani…’” Dan ada pula yang membuka cerita tentang kisahnya semasa kanak-kanak. Boleh dikatakan ianya sebuah kisah yang agak sedih. “itulah kisah akak mase akak kecik. Disebabkan pengalaman akak tu la, sampai sekarang akak bersikap macam ni. Harap semua boleh menerima akak seadanya.”
Itulah kepentingan ta’aruf. Ta’aruf bukanlah sekadar mengetahui nama, umur, tempat tinggal dan sebagainya. Tetapi, dengan ta’aruf kita sepatutnya sudah lebih dapat memahami akan seseorang itu. Perwatakannya, gaya bercakap, sikapnya, ‘sensitivity’nya… semua itu amat penting supaya kita dapat lebih menghormati setiap individu. Terutama orang-orang terdekat dengan kita. Sahabat kita, adik-beradik kita, ibu-bapa kita… Kita jangan terlalu yakin yang kita sudah cukup mengenali mereka.

Pernah tak satu ketika, ada seseorang datang kepada kita dan menceritakan masalahnya kepada kita. Dan pernah tak kita berasa, “Ekelleh… benda-benda kecik cani pun dia nak amek kesah. Padahal akunye problem ni lagi besar nk bandingkan dengan benda alah ni.” Pernah tak? Kalau ada, itu adalah satu kesilapan yang agak besar. Itu adalah salah satu tanda kita tidak menghormati sahabat kita tersebut.

Kita jangan lupa, Allah mencipatakan kita bermacam-macam jenis, bermacam-macam rupa, gaya, kerenah. Begitu juga dengan tahap ketahanannya. Mungkin tahap ketahanan kita lebih tinggi daripada sahabat kita. Namun itu tidak bermakna kita layak untuk meremehkan masalah-masalah ‘kecil’ sahabat kita itu. Seharusnya kita menghormati perasaan sahabat kita tersebut, mendengar kisahnya dan cuba untuk menyelami hati dan perasaannya. Nasihatilah mereka jika perlu.

Terlalu ramai sahabatku yang mengalami perkara ini. Seorang sahabat pernah bercerita kepadaku tentang seorang sahabatnya yang sering sahaja menceritakan masalah kepadanya. Sahabatku itu sering merungut. Dia merasakan sahabatnya itu kurang matang menghadapi ujian yang ditimpakan kepadanya. Ya, memang benar. Kita disuruh untuk bersabar dan redha dengan ujian yang diturunkan kepada kita. Namun, sahabat juga perlu memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Apa-apa pun, kita hanyalah manusia. Kita sentiasa memerlukan kepada sahabat yang boleh memberi sokongan kepada kita, ataupun yang sentiasa mengingatkan kita supaya bersabar dan sebagainya. Jika kita berfikir masalahnya remeh, jangan lupa, masalah yang besar pada kita mungkin pula nampak kecil di mata orang lain. Mesti sedih kan kalau sahabat rapat kita menggelakkan kita apabila kita meluahkan masalah kita kepada mereka?

Memang sukar juga untuk menjadi seorang sahabat. Sahabat. Bolehkah aku menjadi seorang sahabat yang baik? Adakah aku boleh menjadi pendengar yang baik apabila sahabatku menceritakan masalahnya? Di saat sahabatku ditimpa kesusahan, adakah aku akan sentiasa di sampingnya? Adakah aku boleh menjadi seorang sahabat ketika susah dan senang? Jika sahabatku melakukan sesuatu yang salah, adakah aku akan menegur kesalahannya? Jika aku mendengar berita-berita tidak elok tentang sahabatku, adakah aku terus mempercayainya?

Mmm… Soalan yang terakhir itu sungguh menarik. Kerana memang kebanyakan orang gagal menjadi seorang sahabat disebabkan gagalnya mereka menangani keadaan itu. Hal itu juga kerapkali berlaku pada diriku. Sesuatu yang amat aku kesalkan.

“Kau tau tak, Han, aku dengar daripada si A, yang si B tu penipu besar. Kat si A dia kata lain. Rerupenye dapat tau yang si B ni tipu dia rupenye. Kesian kat si A." (Kisah ini hanyalah rekaan semata-mata. Kisah yang sebenarnya dirahsiakan :D)

Apabila aku mendengar sahaja khabar itu, merah padam wajahku. Apa yang ada dalam fikiranku ketika itu, aku agak kesal dengan sikap si B rakanku itu. Ada juga aku mempertahankan sahabatku itu. Tetapi aku tidak dapat menipu diriku sendiri, sedikit sebanyak, sebenarnya aku sudah pun mempercayai akan khabar angin itu. Astaghfirullah…

Beberapa hari berikutnya, aku terserempak dengan sahabatku si B itu. Aku masih bermanis muka padanya. Aku berlagak seperti biasa. Namun, di dalam hatiku terdetik untuk bertanya kepadanya akan kisah sebenar. Aku pun dengan bijaknya cuba untuk membuka cerita supaya dia dapat bercerita kepadaku tanpa melibatkan nama sahabatku yang lain. Akhirnya, setelah mendengar kisahnya, aku mengetahui akan kisah sebenar. Semua ini hanyalah salah faham semata-mata. Lihatlah, inilah bahana khabar angin. Bagaimana seorang yang kononnya bergelar ‘sahabat’ telah bersangka buruk terhadap rakannya itu. Hanya kerana satu berita yang terbukti tidak benar. Sedih….
Benarlah apa Allah ajar kita…

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.” (6:116)

Memang, oleh kerana aku hanya mempercayai kata-kata orang lain, aku mula bersangka buruk terhadap rakanku sendiri. Dan Allah sudah pun mengungkapkan, jika kita hanya mempercayai sahaja apa yang kebanyakan orang ungkapkan, tanpa usul-periksa, kita boleh tersesat dari jalan yang lurus ini. Astaghfirullah al-‘Azim… Ampunkan dosaku ya Allah. Ya Allah, janganlah kau pesongkan hati-hati kami dari jalanMu, secara sengaja atau tidak sengaja, ya Muqallibal Qulub.

Peristiwa ini banyak mengajarku tentang erti persahabatan dan kepercayaan. Ia juga banyak menguji tahap keimananku. Bukankah sudah Allah ungkapkan, perasaan yang tidak baik itu datangnya dari bisikan syaitan. Dan alangkah lemahnya imanku, aku gagal menepis segala bisikan syaitan yang mencucuk-cucuk nafsuku untuk bersangka buruk terhadap sahabatku sendiri. Memang ini rencana syaitan laknatullah! Dari sinilah jalan masuknya untuk dia mengotori hati kita. Sedikit sahaja kotor hati kita, sudah cukup untuk memudahkan kerja syaitan direjam itu terus merosakkan hati kita. Na’uzubillah min zalik.


Hanya niat untuk berkongsi kisah ini dengan rakan-rakan yang lain. Perasaan sangka buruk (su’uz zon) itu mungkin nampak kecil. Tetapi, hakikatnya Allah telah berkali-kali menyebut dalam firmanNya tentang perasaan prasangka ini. Menunjukkan betapa pentingnya untuk kita sentiasa menjaga hati daripada lahirnya prasangka-prasangka yang buruk terhadap manusia, dan lebih teruk lagi, kepada Allah. Astaghfirullah…


Juz my 2p


Wallahu a’lam…

5/02/2008

Kisah Sang Musafir

22 Rabiul Akhir 1429 / 28th April 2008
1:27 pm

Bermula 26th March 2008, aku bersama 8 orang rakan yang lain memulakan perjalanan ke ‘watan’ (tanah air) ku, yang dahulunya pernah menyaksikan satu pembangunan pesat Islam, di waktu Islam menjadi ‘ustaziatul alam’ (world order). Namun kini watanku itu telah pun jatuh ke tangan manusia yang tidak mengenal kalimah shadatain itu. Namun itulah watanku. Spain.

Sebelum menjejakkan kaki ke tanah Andalusia, penerbangan kami dari Stansted Airport mendarat dahulu ke Barcelona. Kami menghabiskan seharian pergi melawati Bandar itu termasuklah stadium bola, dan bangunan-bangunan unik yang direka oleh seorang arkitek bernama Gaudi. Keesokannya pula, kami bertolak ke Madrid dengan menaiki speed train. Di sana kami juga melawati stadium bola Real Madrid yang terkenal itu, dan juga Plaza de Toros (Bull Ring) yang menjadi ‘trademark’ kepada Spain itu sendiri.


Keesokan harinya pula, kami menuju ke Cordoba. Aku berasa tidak sabar-sabar untuk tiba di sana kerana aku tahu bagaimana megahnya dahulu Islam di tanah itu satu waktu dahulu. Di tanah itu, berdirinya satu masjid (Mesquita/mosque) yang gah pada waktu itu. Namun selepas kejatuhan Islam, Masjid itu telah dirampas kembali oleh orang kristian dan dijadikan cathedral. Sedih. Mesquita itu tidak jauh dari hostel yang kami diami. Apabila kami tiba di situ, aku tidak dapat menahan air mataku daripada mengalir. Tidak tahu bagaimana perlu ku gambarkan perasaanku pada waktu itu. Aku berasa sangat hiba. Aku sayangkan masjid itu. Sangat sedih apabila kulihat sekeliling masjid itu yang sepatutnya damai, aman, permai; menjadi seperti sebuah pesta; akibat daripada kini ianya menjadi destinasi para pelancong. Masjid itu tidak lagi dihormati. Semakin kuat azamku untuk kembalikan kehormatan ‘deen’ku.

Setelah membeli tiket (woott???), kami semua berjalan ke arah pintu masuk masjid itu. Tiba di pintu masuk, sudah ada pak guard yang menunggu. Sempat dia berpesan kepada kami, “You are not allowed to pray inside this cathedral.” Bertambah hiba hati ini rasakan. Ini tempatku. Ini sepatutnya menjadi tempat ibadat kami. Dahulunya masjid ini menjadi serbuan ribuan orang muslim, sehinggakan di kejauhan terdengar seperti bunyi nyamuk (itulah asal wujudnya perkataan mosque/mesquita). Kini kami dihalang untuk beribadat di tempat kami sendiri. Tempat kita. Namun, kami tidak melawan. Kami bersetuju.

Aku melangkah masuk. Masha Allah. Air mata ini mengalir lagi. Kulihat patung-patung Jesus dan crucifix menjadi hiasan setiap penjuru tempat itu. Masjid yang dahulunya terang disirami cahaya mentari, kini diselubungi kegelapan akibat kebanyakan pintu-pintu masjid itu ditutupi dengan simen batu. Alangkah indahnya masjid itu jika pintu-pintu itu dibiarkan terbuka, membenarkan sinaran mentari menerangi setiap penjuru masjid itu, menzahirkan keindahannya. Sebahagian daripada masjid itu masih mengekalkan ukiran-ukiran indah yang asal yang diukir semasa zaman pemerintahan Islam dahulu. Mungkin mereka sendiri tidak sanggup untuk membuang ukiran-ukiran itu kerana cantiknya seni Islam itu.

Aku akhirnya menjumpai tempat yang dahulunya menjadi mimbar. Tempat itu kini telah berpagar. Namun ukiran di sebalik pagar itu masih dapat kubaca. “La ilaha ill Allah….” Dan banyak lagi kata-kata pujian ke atas Allah. Ukiran itu masih dikekalkan. I wonder why….

Setelah puas berjalan dan bergambar di dalam masjid itu, kami duduk sebentar. Kami mula bercerita dan berbincang tentang sejarah awal Islam di Spain. Kami mengimbau kembali bagaimana Islam mula berkembang di Spain, konflik yang berlaku, sehinggalah kejatuhannya. Memang penting untuk kita mengkaji kembali sejarah ini supaya kita dapat mengambil iktibar daripada kisahnya. Dan dari sejarah jugalah kita boleh memilih untuk mengikut jejak langkah tokoh-tokoh Islam terdahulu (Tariq b Ziyad, Abd Rahman al-Ghafiki, etc)bagaimana tingginya semangat mereka untuk menyebarkan seruan deen Allah ke setiap pelusuk bumi Allah ini. Hanya untuk mendapat keredhaan Allah. Mencapai syurga Allah. Itu sahaja impian dan cita-cita mereka. Sungguh, aku ingin jadi seperti mereka.

Pada petang itu, kami menaiki bas menuju ke Medina Az-Zahra. Mengikut sejarahnya, Medina Az-Zahra ini dibina semasa zaman pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III untuk dijadikan Bandar istana. Ada sejarah mengatakan nama Az-Zahra itu diambil bersempena nama isterinya. Namun, ramai rakyat tidak berpuas hati dengan pembinaan istana itu kerana ada sejarah mengatakan bahawa semasa pembinaannya, khalifah pernah meninggalkan Solat Jumaat sebanyak 3 kali akibat terlalu sibuk sehinggakan tindakannya itu ditegur oleh Ulama’ pada ketika itu. Akhirnya, istana itu telah dibakar semasa ‘civil war’. Istana yang dahulunya sangat masyhur dan megah berdiri, kini hanya terdiri dari runtuhan-runtuhan batu. Bolehlah kita ambil pengajarannya di sini, lihatlah pengakhiran kuasa khalifah itu pada waktu itu kerana cintanya dia pada dunia melebihi cintanya kepada agamanya sendiri.

Keesokannya pula, kami bertolak ke Sevilla. Tiada apa sangat yang kami lakukan di sana kecuali menaiki Tour Bus untuk mengelilingi satu Bandar Sevilla itu. Kelakar. Aku membayar tiket itu dengan harga €15. Namun, di atas bas itu aku hanya tertidur tanpa menikmati tempat-tempat yang kami lewati. Rugi….rugi….. Pada petang itu, kami semua menuju ke Granada pula dan bermalam di sana selama semalam.

Mungkin ramai yang pernah mendengar tentang hebatnya istana Alhambra atau Al-Hamra’ iaitu ‘Kota Merah’. Alhambra ini merupakan istana dimana Khalifah pada waktu itu memerintah dan bersemayam. Apa yang amat menakjubkan tentang istana ini adalah seni ukiran yang menghiasi sentiap pelusuk dinding istana itu. Dan apa yang sangat menarik adalah ukiran-ukiran itu menyebutkan kalimah “La Ghalib Illa Allah”. Tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah. Subhanallah. Mengikut sejarah, ukiran-ukiran ini bermaksud supaya ke mana sahaja penghuni-penghuni istana itu berjalan, mereka tidak akan terlepas daripada hanya mengingati Allah. Supaya pemerintah ketika itu sentiasa beringat bahawa walaupun pada waktu itu mereka mempunyai kuasa yang besar di tanah itu, namun terdapat lagi satu kuasa yang Maha Besar yang tidak tertanding lagi. Allah ‘Azza wa Jalla. Alangkah bagusnya jika pemimpin-pemimpin Negara pada zaman ini mempunyai kesedaran seperti itu. Akan muncullah sekali lagi, biiznillah, dunia idealism Islam.
Satu lagi aspek yang diterapkan di kawasan istana itu adalah konsep air di mana ianya adalah untuk menggambarkan suasana di syurga nanti. Memang kedamaian dan kedinginan istana itu lebih terasa dengan kolam-kolam air yang amat tenang. Ini baru di dunia yang hanya bersifat sementara. Bagaimanakah pula agaknya kedamaian semasa di syurga nanti.

Pada petang itu, kami semua bertolak ke destinasi terakhir kami di Spain, iaitu Malaga. Aku ditugaskan untuk menjaga hal ehwal perjalanan kami sepanjang di sana. Alhamdulillah, setelah sedikit kesukaran untuk memahami peta, walaupun pernah sekali tersesat jalan, akhirnya kami berjaya tiba di hostel. Keadaan hostel itu tidaklah begitu selesa seperti mana di Granada. Namun, itu cukup untuk membuatkan aku tidur dengan nyenyak sekali.

Keesokannya, kami semua menuju ke sebuah pantai kira-kira 10 minit dari hostel kami. Pantai Costa del Sol. Aku lega apabila aku melihat kegembiraan terpancar dari wajah rakan-rakanku. Kerana sebelum ini aku berasa sedikit risau jika perjalanan mereka di Malaga ini bukan satu perjalanan yg menarik. Namun, setelah melihat kegembiraan mereka, aku boleh tersenyum lebar.

Selepas hampir 2 jam, kami berjalan pulang ke hostel untuk berkemas. Selepas ini, aku bercadang untuk membawa mereka bersiar-siar di sekitar Bandar Malaga sebelum menuju ke Lapangan Terbang Malaga untuk pulang ke London. Setibanya kami di Stesen Renfe untuk menuju ke Bandar, seorang dari kawanku mendekatiku. “Han, aku nye handphone xde. Aku rase tertinggal kat hostel la.” Aku dengan rasa senang hati menemaninya kembali ke hostel. Aku berdoa supaya handphone nya itu dapat dijumpai. Aku agak gusar jika bilik yang dia diami malam tadi sudah pun dikemas dan handphone itu telahpun diambil oleh pihak hostel. Namun aku tetap berdoa.

Tiba sahaja kami di sana, kawanku itu terus bergegas menuju ke biliknya itu setelah meminta izin dari receptionist. Malangnya, handphone itu tak diketemui. Aku risau. Aku kembali bertemu dengan receptionist bertanyakan tentang handphone rakanku yang hilang itu. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur kerana pekerja-pekerja di hostel itu sungguh jujur. Housekeeper yang telah mengemas bilik itu telah menemui handphonenya. Housekeeper itu sambil tersenyum, memulangkan kembali handphone itu kepada rakanku.

Setelah itu, kami menuju kembali ke Stesen Renfe dan bersama-sama bergerak ke Bandar Malaga. Tiba sahaja kami di Bandar Malaga, aku mulai berasa ‘tension’ kerana sekali lagi aku menghadapi masalah untuk membaca peta. Lalu aku pun mengambil langkah untuk bertanya dengan orang tempatan untuk mengetahui arah ke tempat destinasi kami.

Setelah lama berjalan, aku yang mengetuai rombongan itu terperanjat apabila aku terdengar suara-suara cemas rakan-rakanku di belakang. Aku semakin terperanjat apabila aku melihat tompok-tompok hijau yang mengotori baju-baju mereka. Seorang wanita Spanish yang sedar dengan kejadian itu memberitahu kami bahawa itu burung-burung ‘flamingo’ yang terbang dikawasan itu telah ber’nyahtinja’ di atas baju mereka. Lalu aku meminta 2 orang dari rakan yang berjalan disampingku tadi untuk memeriksa bajuku. Alhamdulillah, tiada tompok hijau tersebut. Begitu juga di baju mereka. Lalu kami bertiga membuat keputusan untuk masuk sebentar di kedai-kedai berdekatan untuk mengelakkan daripada najis-najis tersebut. Namun, wanita Spanish itu beria-ia untuk membawa kami semua untuk ke sebuah lorong di mana mengikut katanya terdapat satu tandas awam di mana kami boleh membersihkan pakaian-pakaian kami. Kami pun menurutinya.

Setelah itu, 3 orang lelaki lagi termasuk seorang yang dari tadi sedang bercakap di dalam pondok telefon datang ke arah kami. Mereka berkeras untuk membantu kami untuk membersihkan baju-baju kami. Tandas yang dikatakan tadi tidak pula kelihatan. Orang-orang Spanish itu pun memberikan tissue kepada kami supaya kami dapat mebersihkan pakaian-pakaian antara satu sama lain. Pakaian aku yang tadinya bersih sudah pun dicemari dengan tompokan hijau tersebut. Mungkin sepanjang kami berjalan di lorong itu, burung itu sempat untuk melakukan proses perkumuhannya sekali lagi. Huhuhu….

Aku di paksa oleh salah seorang dari mereka untuk membersihkan baju seorang rakanku walaupun setelah berkali-kali aku mengatakan yang bajunya itu sudah pun bersih. Dia pula sibuk untuk membersihkan bajuku dari belakang. Aku sedar akan caranya semasa membersihkan bajuku itu agak kasar. Aku terasa seperti dia ingin merabaku, lalu aku memarahinya. Namun, dia tetap juga berkeras untuk menolongku. Rakan-rakanku yang lain juga begitu. Mereka berbaris supaya mereka dapat membersihkan pakaian antara satu sama lain, dan orang yang paling belakang pula, bajunya akan dibersihkan oleh salah seorang daripada orang Spanish itu. “Asal baik sangat lak derang ni…. Mmmm…..”

Setelah 5 minit, mereka semua beredar meninggalkan kami sambil mengucapkan selamat tinggal. Kami semua pula bergelak tawa, lucu dengan kejadian tahi burung ini. Aku pula berasa sangat kagum dengan kebaikan dan keperamahan orang-orang Spain ini. Sanggup menolong walaupun kami tidak mereka kenali. Namun, tak lama kemudian….
“Eh, korang. Aku punya purse dah takde,” seorang rakanku bersuara. Kami mula terdiam dan memintanya untuk memeriksa sling-bag nya sekali lagi. Namun jawapannya tetap sama. Tiada. Kami tersedar. Kami mula memeriksa pula beg-beg tangan kami. Alhamdulillah, tiada apa yang hilang.

Namun, kami amat bersimpati di atas seorang rakanku ini kerana barang-barang penting seperti student card, debit card dan credit card semuanya lesap. Kami terus memintanya untuk menghubungi pihak bank di UK untuk melaporkan hal itu sebelum apa-apa yang lebih buruk terjadi. Aku melihat wajah rakanku itu cemas, namun aku tahu, dia sedang cuba untuk bertenang. Keadaan semakin rumit apabila pihak bank meminta bermacam-macam jenis maklumat sebagai verification. Takut-takut jika panggilan itu adalah panggilan palsu (fraud). Semakin cemas rakanku itu, bagaimana pada waktu seperti itu dia boleh mendapatkan semua maklumat seperti nombor akaun bank dan bermacam-macam lagi. Proses pembatalan kad itu tidak dapat dijalankan selagi pihak bank tidak mendapatkan maklumat-maklumat tersebut. Masa terus berjalan. Kami semakin risau kalu-kalau pencuri-pencuri tersebut sempat untuk meng’songlap’ duitnya sebelum pembatalan sempat dijalankan.

Sedang rakanku itu sibuk menyelesaikan masalahnya, tiba-tiba aku teringat sesuatu yang berharga di dalam beg aku. Aku memeriksa begku sekali lagi. Dugaan demi dugaan. Kameraku yang telah kugunakan sejak 2 tahun lalu itu hilang. Ya Allah. Lemah terus tubuh badan ku rasakan. Aku menggigil. Aku memberitahu berita itu kepada rakanku yang lain. Mereka terperanjat. Dan mereka terus menenangkan perasaanku. Namun, aku tidak dapat menahan air mataku. Aku menangis. Aku tidak kisah akan kameraku yang hilang. Tetapi aku merindukan kenangan-kenangan yang kami rakamkan. Mujurlah bukan kameraku sahaja yang digunakan sepanjang perjalanan kami. Sekurang-kurangnya aku boleh mendapatkan gambar-gambar dari rakanku yang lain. Namun godaan syaitan itu sangat dasyat dan aku pula pada ketika itu sangat lemah imanku. Mudah sungguh aku terpedaya dengan bisikan-bisikan jahat syaitan itu. Aku marah, aku geram, dan seakan-akan tidak redha dengan dugaan yang Allah turunkan itu. Padahal setiap musibah yang Allah turunkan itu adalah semata-mata untuk menguji tahap keimananku. Astaghfirullah al-Azim…. Sabar Han…

Tidak lama selepas itu, aku mula berasa tenang. Namun, aku dan rakanku masih berasa trauma dengan kejadian tersebut. Tetapi aku amat bersyukur rakan-rakanku yang lain yang banyak menyokong kami. Thanks, all…..

Satu perkara yang amat menyentuh hatiku, seorang rakanku memberitahuku….




“Kita kena belajar untuk redha dengan ujian yang Allah turunkan untuk kita. Apa-apa yang telah Allah takdirkan untuk kita, baik atau buruk, semua ada hikmah di sebaliknya. Macam kisah rompakan ni, walaupun sepanjang perjalanan kita, kita selalu mengingatkan antara satu sama lain supaya menjaga beg kita. Namun kita selalu berjaga-jaga hanya di kawasan yang sesak dengan orang saja. Tapi kita terlupa, malang itu boleh berlaku pada bila-bila masa je. Tak kiralah kawasan itu adalah kawasan sesak ataupun lapang. Kerana perompak-perompak ini sentiasa sahaja mempunyai helah yang boleh membutakan mata kita. Tengok saja apa yang berlaku pada kita. Hanya dengan tahi burung kita sudah terlupa untuk sentiasa berhati-hati dengan barang-barang kita. Akhirnya, tragedy menimpa kita…”


“…Begitu juga dengan iman kita. Kita hanya sentiasa berjaga-jaga dengan perkara-perkara maksiat yang besar, seperti tidak meninggalkan solat, tidak melakukan zina, dan lain-lain. Namun, kita sering terlupa, syaitan itu sangat licik dan bijak untuk memperdaya dan menyesatkan kita (17:61-65). Lihatlah sahaja benda-benda lagha yang banyak kita lakukan, seperti berbual-bual kosong, membuang masa, menonton rancangan yang tidak berfaedah. Kita mungkin tidak sedar, pada waktu itu iman kita adalah di tahap yang paling rendah sekali. Oleh itu, sangat penting untuk kita sentiasa ditarbiyyah supaya tiada satu saat pun dalam hidup kita lalai daripada mengingati Allah.”


“… Dan anggaplah kejadian malang ini sebagai tarbiyyah juga kepada kita…”


Sesungguhnya apa yang dijadikan Allah di dunia ini adalah tidak lain dan tidak bukan sebagai nikmat dan juga peringatan kepada kita.





Wallahu’alam….

3/18/2008

Harga Sebuah Kezaliman

6 Rabi’ul Awwal 1429 / 14 March 2008

Baru-baru ini, tanah UK baru sahaja dilanda gempa bumi yang terkuat di sini semenjak tahun 1987 (kalau tak silap) dengan menjangkau 5.3 skala ritcher. Dan ianya tidak hanya berlaku di tanah Uk sahaja, malah banyak lagi Negara-negara lain yang sentiasa dihantui, malah ada yang sudah lali dengan bencana ini dan mereka telah pun bersedia dengan segala kemungkinan yang bakap berlaku.

Gegaran ini menyebabkan banyak bangunan yang runtuh menjadi serpihan-serpihan batu. Ratusan nyawa terkorban, jutaan manusia terpaksa mengalami keperitan hidup, menanggung kerugian yang amat banyak dan banyak lagi. Kita mungkin tidak pernah merasa atau melihat pun bagaimana keperitan hidup mangsa-mangsa gempa bumi ini. Namun apa yang dapat digambarkan, tidak cukup untuk menafsirkan apa yang ditanggung oleh mereka.

Sedang ramai pihak yang sedang berbincang cara yang terbaik untuk memperbaiki segala persediaan untuk menghadapi bencana ini, samada struktur-struktur bangunan ini cukup kukuh untuk menahan gegaran hasil gempa bumi itu, pernah tak kita terfikir bahawa bencana alam ini adalah satu petanda dan petunjuk yang diturunkan oleh Allah untuk kita, supaya kita berfikir?

Allah telah menurunkan banyak malapetaka apabila maksiat dan dosa bermaharajalela di muka bumi ini, dan manusia pula semakin terhibur dengan amal-amal kejahatan yang dilakukan. Lihat sahajalah sejarah nabawiyah. Bagaimana ummat Nabi Nuh yang ditenggelamkan dan lemas oleh kerana kekufuran mereka. Ingatkah kita dengan kisah Kaum ‘Aad yang dilanda rebut taufan yang sangat hebat, sehinggakan mereka itu musnah? Dan ingatkah pula dengan Kaum Thamud yang dilanda pekikan yang sangat kuat sehingga jantung-jantung mereka pecah dan mereka semua mati bergelimpangan? Dan Kaum Lut, di mana tanah mereka diterbalikkan dan mereka ditimpa hujan batu?
“Bukankah telah Kami binasakan orang-orang yang dahulu? Lalu Kami susulkan (azab Kami terhadap) orang-orang yang datang kemudian. Demikianlah Kami perlakukan orang-orang yang berdosa. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).” (77:16-19)

Oleh itu, segala bencana dan malapetaka ini adalah akibat kepada meningkatnya maksiat dan kederhakaan manusia kepada Allah (42:30).
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra : “Rasululullah SAW bersabda : “Apabila… harta kepercayaan dirosakkan, Zakat dianggap sebagai cukai, belajar perkara selain daripada tujuan agama lebih diperlukan, seorang lelaki patuh kepada isterinya dan berlaku buruk terhadap ibunya, dia dekat kepada rakannya dan menjauhi bapanya, suara ditinggikan di masjid, orang yang paling keji dalam satu suku menjadi ketua, orang yang paling tidak berguna antara kalangannya menjadi pemimpin, seseorang yang dipandang mulia kerana takutkan perkara jahat yang akan dia lakukan, wanita-wanita yang menyanyi-nyanyi dan alat muzik bertali memunculkan diri, arak yang memabukkan, dan orang yang berkata buruk tentang orang di kalangannnya sendiri, lihatlah waktu di mana angin ribut, gempa bumi, ditelan bumi yang berubah bentuk, hujan, dan alamat-alamat yang menyusuri selepas satu-persatu seperti manik-manik rantai yang jatuh satu persatu apabila talinya itu terputus.” [at-Tarmidhi]


Faktor-faktor yang disebutkan dalam hadis tersebut sudah cukup untuk memberi gambaran kepada masyarakat kini dan bencana-bencana alam yang berlaku adalah sebagai peringatan kepada kita supaya kita terjaga dari tidur dan kembali kepada Allah dengan penuh penyesalan.
“Dan tidakkah mereka memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, namun mereka tidak bertaubat dan tidak mengambil pelajaran?” (9:126)


Allah mengirimkan bencana-bencana alam itu adalah sebagai amaran dan untuk menakut-nakutkan hamba-hambaNya dan untuk mengingatkan mereka akan tugas dan kewajipan mereka terhadap Allah.
“… Dan Kami tidak mengirimkan tanda-tanda itu melainkan untuk menakut-nakuti.” (17:59)


Oleh itu, seseorang itu perlulah sentiasa takutkan Allah dan sentiasa mencari keampunanNya atas segala dosa-dosa yang dilakukan. Rasulullah SAW yang ma’sum itu pun sentiasa beristighfar beberapa kali dalam sehari. Baginda bersabda : “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungghnya aku bertaubat kepada Allah sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari.” (HR Muslim) dan Baginda juga sangat takutkan Allah sehingga apabila angin kuat bertiup, kecemasan tergambar di wajahnya (takut jika ia adalah tanda kepada kemurkaan Allah.)

Tetapi, manusia sangat tidak mengendahkan amaran-amaran ini dan tetap dibuai dengan amal-amal buruk kita. Kita bagaikan mengundang kemurkaan Allah apabila kita tanpa segan silu melakukan dosa di atas bumi ciptaanNya. Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya, Allah mempunyai Ghayrah (kemuliaan, martabat dan kemurkaan) dan Ghayrah Allah ini datang apabila seseorang melakukan sesuatu yang telah Allah larang.” (HR Bukhari dan Muslim)

Manusia tidak sedar bahawa Allah adalah Maha Melihat dan Dia sentiasa memerhatikan kita.
Dengan bencana-bencana ala mini, Allah ingin menjelaskan kepada hamba-hambaNya bahawa seluruh alam semesta ini, syurga, neraka, bumi dan seluruh isinya, dan apa-apa di antara langit bumi ini adalah semuanya berada di bawah kekuasaanNya. Bencana-bencana ala mini adalah sebagai bukti kepada KuasaNya yang sangat menakjubkan. Jika ummat manusia meninggalkan syariat Allah, mengabaikan Deen-Nya dan menuruti musuh-musuhnya, Allah mempunyai kuasa mutlak untuk menurunkan bala dan malapetaka.
“Dan begitulah siksa Tuhanmu apabila Dia menyiksa megeri-negeri yang berbuat zalim. Sungguh siksaNya sangat pedih, sangat berat.” (11:102)


Kekerapan terjadinya bencana alamadalah juga sebagai tanda semakin hampirnya kita dengan Hari Pengadilan. Gempa bumi-gempa bumi yang berlaku ini mengingatkan kita kepada gempa yang terakhir nanti, gegaran lebih dahsyat dan di luar jangkauan imaginasi kita. Di saat ini, apabila gempa bumi melanda, semua orang lari bertempiaran meninggal kediaman dan keluarga mereka. Allah memberikan amaran kepada kita supaya bersiap-sedia untuk menghadapi hari di mana gempa bumi terbesar yang sudah tentunya bakal berlaku, yang akan menggoncangkan keseluruh bumi dan isinya.
“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu; sungguh, goncangan Qiamat itu adalah suatu yang sangat besar.” (22:1)


Oleh itu, setiap orang islam perlulah mengambil iktibar daripada bencana-bencana alam yang berlaku ini sebagai tanda amaran daripada Allah dan perlulah kita segera bertaubat, dan mengingati Allah dan meminta ampun dariNya. Kita juga digalakkan untuk menunjukkan rasa belas kasihan kita kepada orang-orang miskin, dan berilah sumbangan kepada mereka.
Salah satu perkara yang boleh menyelamatkan manusia daripada malapetaka seperti itu adalah dengan megurangkan (menghapuskan seboleh-bolehnya) segala amal buruk, mengamalkan syariat Islam, amal ma’aruf nahi mungkar. Balasan setimpal pasti akan jatuh juga ke atas orang yang melakukan kezaliman, yang berbangga-bangga melakukan kejahatan tanpa segan silu. Mereka akan menerima balasannya di dunia, ataupun yang lebih pedih lagi, di akhirat kelak.
“Tidak ada yang merasa aman dari siksaan Allah melainkan orang-orang yang rugi.” (7:99)

Segeralah kita bertindak……

Wallahu’alam….

2/22/2008

Hidayah itu Hadiah



15 Safar 1429 / 22nd February 2008
5:55 pm


Rasanya sudah lama benar blog ini tidak diupdate. Almaklumlah, exam pun baru saja habis. Serabut pula otak ni dengan subjek-subjek yang perlu habis dilulangkaji. Rasa marah dengan diri sendiri. Masalah procrastination memang menjadi habit kebanyakan orang melayu.selalu menngingatkan diri sendiri, “aku bukan sebarangan orang. Aku ini orang islam. Dan aku bukan sebarangan muslim. Aku impikan untuk menjadi kekasih Allah. Dan aku beramal dengan amalan kekasih Allah...” inilah yang menjadi motivation supaya dapat menjadi hamba Allah yang lebih berkualiti.

Pernah tak sesekali terdetik di hati kita pabila kita melakukan sesuatu yang ‘lagha’, kita akan berkata, “aish… nape la aku buat benda ni. Dah la tak datangkan manfaat pun pada aku. Buat aku lagi lalai ade la. Ish..ish… ish…” Kemudian, kita end up dengan masih meneruskan aktiviti yang tak berfaedah tu. Pernah tak? Ring a bell?

Yep. Memang banyak kali ayat itu terpacul dari mulut kebanyakan dari kita. Alhamdulillah, itu adalah satu petanda yang baik jika kita sedar akan aktiviti yang kita lakukan itu adalah satu perkara yang x mendatangkan manfaat atau pun melalaikan. Tetapi alangkah malangnya kita jika kita tidak mengambil sebarang inisiatif untuk memperbaikinya. Mengapa perkara sebegini boleh berlaku?

Fenomena ini mungkin Nampak kecil dan remeh. Tapi jika kita memandang dari sudut lain, ia mungkin adalah satu perkara yang tidak sepatutnya dipandang sambil lewa. Dalam contoh lain, cuba bayangkan kita sedang melakukan sesuatu dosa seperti menipu, melihat atau mendengar perkara yang tidak senonoh, mendedahkan aurat, dan macam-macam lagi. Kemudian ayat itu terlahir di hati kita. Apa sepatutnya tindakan kita selepas itu? Teruskan? Berubah?

Mungkin kini kita baru sahaja terkejut dari lamunan bahawa betapa seringkali sebenarnya kita sudah sedar akan kesilapan yang kita lakukan. Tapi sedarkah kita bahawa itu sebenarnya adalah satu HIDAYAH yang telah Allah campakkan dalam hati kita? Yep. Hidayah. Petunjuk. Bukankah ini yang selalu kita minta dalam doa kita setiap kali selepas kita menunaikan solat?

Sebenarnya fenomena seperti ini telah Allah sebutkan dalam al-Quran di mana petunjuk telah datang kepada mereka. Tetapi atas dasar cinta mereka kepada dunia (penyakit wahan) dan kerana kesombongan mereka, mereka menolak bulat-bulat petunjuk yang haq tersebut. Malah ada juga yang menentang sekeras-kerasnya. Hayati sahaja kisah Kaum Quraisy bila mana Rasulullah SAW datang kepada mereka dengan membawa kebenaran (petunjuk). Itu adalah satu petunjuk yang sangat nyata. Tetapi, kerana takut akan hilangnya pengaruh besar mereka dalam kabilah, mereka menolak kebenaran tersebut. Jika kita juga menolak kesedaran yang telah tercampak dalam hati kita itu, apa bezanya kita dengan Abu Jahal dan Abu Lahab? Dan bagaimana pula dengan sebahagian besar Bani Israel yang menentang ajaran yang diturunkan kepada Nabi Musa? Terlalu banyak lagi contoh-contoh penentangan yang kita boleh ambil kisahnya dari al-Quran jika kita ingin pelajarinya.
“Setelah mereka (kaum Nabi Syu’aib), kemudian Kami utus Musa dengan membawa bukti-bukti Kami kepada Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya, lalu mereka mengingkari bukti-bukti itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.” (7:103)

Na’uzubillah min zaalik. Kita tentu sekali tidak mahu kesudahan yang terjadi kepada Fir’aun dan pengikut-pengikutnya terjadi kepada kita. Kita tidak mahu menjadi golongan yang membuta kerosakan. Sekurang-kurangnya, kita tidak mahu melakukan kerosakan kepada diri kita sendiri.

Ingatkah pula dengan kisah Abu Lahab? Abu Lahab adalah seorang kafir, penentang keras Rasulullah yang telah dicelakakan oleh Allah di dalam surah al-Lahab. Satu surah khas untuk Allah mencelakakan Abu Lahab semata-mata. Dan juga sesiapa sahaja yang mempunya charachteristics sepertinya. Dimana Allah telah memberitahu kita apakah balasannya untuk orang seperti itu. Ya Allah, jauhkanlah kami dari azabMu. Jauhkanlah kami daripada menjadi penentang agamaMu. Janganlah Kau masukkan kami dalam golongan orang-orang yang Kau celakakan.
“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan benar-benar binasa dia! Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali sabut yang dipintal.” (111:1-5)

Jika kita baru sahaja membeli satu barangan elektronik, langkah pertama sebelum kita menggunakan barang tersebut adalah untuk membelek ‘manual’ yang disertakan dan kita belajar untuk menggunakan barangan tersebut dari ‘manual’ itu. Begitu juga dengan kehidupan kita. Ia ada ‘manual’nya. Apa ‘manual’ kehidupan kita? Betul, tepat sekali. Al-Quran. Itulah yang sepatutnya menjadi rujukan kita dalam kehidupan kita seharian. Selain dari itu, beramallah dengan sunnah Rasulullah SAW. Seperti di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, akhlak Nabi Muhammad itu adalah al-Quran. Oleh itu, wajarlah kita sentiasa menjadikan Rasulullah sebagai idola ikutan kita.

Walau apapun, bukan mudah untuk kita meninggalkan segala tabiat buruk yang sudah menjadi kebiasaan kita. Tambahan lagi tabiat itu telah pun menjadi kebiasaan kita sejak dari kecil lagi. Tetapi, di situlah kepentingan untuk kita sentiasa duduk di dalam bi’ah solehah (persekitaran yang baik) di mana budaya nasihat-menasihati menjadi satu kebiasaan. Insya Allah secara tidak langsung kita akan terdorong untuk menjadi seperti kalangan orang-orang yang soleh itu. Oleh kerana itu sangat penting untuk kita mendampingi dan bersahabat baik dengan orang-orang yang soleh.

Hidup kita memang penuh dengan ujian. Samada ujian itu berupa kepayahan atau kemewahan. Ingatlah, Allah tidak menurunkan ujian itu untuk kita tanpa sebarang sebab. Telitilah di sebalik segala kesenangan dan kepayahan kita itu. Di sana sentiasa terselit petunjuk-petunjuk yang Allah ingin sampaikan kepada kita. Lihatlah. Betapa sayangnya Allah kepada kita. Jadi tunjukkanlah rasa kasih dan syukur kita kepada Allah. Sesungguhnya Allah tidak memerlukan kita, tetapi kitalah yang sentiasa memerlukan Allah dan bergantung kepadaNya. Oleh itu, janganlah persia-siakan hidayah hadiah Allah itu dan ambillah langkah yang sewajarnya untuk memperbaiki gaya hidup kita.

Saya akhiri post ini dengan kata-kata seorang sister yang bagi saya penuh dengan makna tersirat. Diharapkan ianya dapat memberikan ilham kepada semua pembaca…

“Hidayah Allah itu umpama hujan… kena pada setiap tempat, penjuru dan ceruk. Allahlah yang mencampakkan hidayah itu.. setiap tempat akan kena pancaran hidayah itu. Dan tadahan bagi hujan hidayah itu adalah hati-hati manusia… terpulang pada kita, samada untuk membuka tadahan hati kita atau menutupnya… dan bilamana saat kita bertanya tentang hidayah Allah, itulah permulaan hidayahNya.”



Wallahu a’lam....

1/20/2008

Sirah Hijrah... Tahukah anda? Are you sure...?

10 Muharram 1429 / 18th January 2008
10:48 am


Saya mendapat email dari seorang sister di Sheffield berkenaan sirah peristiwa hijrah Rasulullah. Memang sudah banyak kali kita mendengar kisah sirah ini berulang-ulang kali. Malahan kanak-kanak sekolah rendah pun sudah boleh menghafal tentang kisah ini. Namun, apa yang menarik minat saya tentang email ini adalah tajuk email tersebut….



‘Kisah Hijrah Nabi Yang Sahih
Hijrah – Antara Kesahihan dan Kemasyhuran’


Berikut adalah isi email tersebut….



………………………………………………………………………………………………………………………………………………



Di dalam kegembiraan menyambut tahun baru hijrah, umat Islam masih lagi disajikan dengan paparan peristiwa hijrah yang masih tidak dapat lari dari keraguan kesahihan cerita dan unsur-unsur tokok tambahnya. Amat malang sekali, cerita-cerita yang sebegini tidak pernah dinilai semula secara meluas atau mendapat perhatian pihak yang berwajib. Kisah yang telah disahihkan cuma disebarkan di peringkat ceramah-ceramah, seminar-seminar atau di perbincangan akademik semata-mata. Malah, teks-teks buku agama sekolah-sekolah masih menyaji cerita-cerita lama ini.

Mari kita imbas kembali cerita hijrah yang dipaparkan. Bermula dengan kisah pihak Quraish telah bermesyuarat di Daar al-Nadwah, yang diketuai oleh sepuluh orang pembesar Quraish termasuklah Abu Jahal, al-Hakam bin Abi 'Aas, 'Uuqbah, Abu Lahab, Ubai bin Khalaf dan lain-lain. Didalam mesyuarat tersebut, Abu Jahal mengesyorkan agar Nabi di bunuh dan cadangan ini disokong oleh seorang tua Najdi yang dikata penyamaran Syaitan.

Nabi :saw memulakan penghijrahan dari rumah baginda pada waktu malam. Saidina Ali ra. telah ditugaskan untuk tidur dikatil Nabi :saw agar dia kelihatan sebagai Muhammad. Orang-orang Quraish pada waktu itu sudah mengepung rumah Nabi :saw. Nabi :saw pun keluar dari rumahnya lalu menabur pasir kearah muka orang-orang Quraish seraya membaca ayat :-

وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ "Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar). " [Yasin : 9]

Akibat dari itu, orang-orang Quraish tidak mampu melihat Nabi :saw keluar dari rumah. Hanya pada keesokkan harinya mereka sedar bahawa orang yang sedang tidur di katil Nabi :saw adalah Ali ra. Baginda bersama Abu Bakar ra telah pergi ke Bukit Thawr dan bersembunyi didalam guanya. Pada hari yang seterusnya, pihak Quraish didalam operasi pencariannya telah pergi ke gua Thawr dan mendapati tempat tersebut dipenuhi dengan sarang labah-labah dan terdapatnya dua ekor merpati. Lalu seorang dari mereka berkata : Tidak mungkin seorang pun telah memasuki kawasan ini.

Kisah diatas ini popular dikalangan kita, akan tetapi kesahihan ceritanya masih di ragukan, Di antaranya adalah :-

a. Kisah syaitan yang menyamar sebagai seorang tua (menghadiri mesyuarat pembesar Quraish) tidak terdapat pada hadith Bukhari.

b. Didalam hadith Bukhari, Nabi :saw telah memulakan hijrah bersama Abu Bakar ra. pada waktu siang, dan bukan malam. Kisah ini terdapat didalam hadith Bukari (#3905) dibawah bab Hijrah Nabi :saw dan sahabat-sahabatnya ke Madinah.

c. Kisah Ali ra. di perintahkan oleh Nabi :saw menggantikan Nabi :saw dibilik tidurnya didapati sanadnya dhaif. Malah didalam hadith Bukhari menceritakan peranan keluarga Abu Bakr ra didalam penghijrahan Nabi :saw, dan bukan Ali ra.

d. Tidak wujud langsung pengepungan Quraish di rumah Nabi pada waktu malam dan juga kaifiat melontar pasir berserta membaca surah Yasin ayat 9 bagi mengkaburkan mata tentera Quraish.

e. Hadith yang menceritakan mengenai peranan labah-labah dan dua ekor merpati adalah dhaef, sebagaimana kata al-Albani didalam al-Silsilah al-Dhaefah (3/339) dan Ahmad Shakir didalam Tahqiq al-Musnad, merujuk kepada sanad hadith tersebut dhaef (lemah).

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa pengarang-pengarang sirah tidak berapa teliti didalam menilai kesahihan sesuatu riwayat, malah hadith-hadith ini banyak menerima kritikan dari ahli-ahli hadith. Kebanyakkan sumbernya di ambil dari Tarikh Tabari dan Ibn Sa'ad.

al-Qaradhawi menjelaskan bahawa hijrah Nabi :saw mendapat pertolongan dari tentera-tentera ghaib sebagaimana firman Allah swt :-

فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا
"Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya." [Surah al-Taubah : 40]

Labah-labah dan merpati adalah makluk Tuhan yang nampak, jelas menunjukkan ia bertentangan dengan ayat diatas yang merujuk kepada pertolongan tentera-tentera ghaib kata al-Qaradhawi.

Sudah sampai masanya untuk masyarakat kita dipaparkan dengan kisah hijrah yang diambil dari hadith-hadith sahih, yang dapat membebaskan manusia dari kisah-kisah yang palsu dan keterlaluan. Tidaklah menghairankan ada juga teori-teori yang menjelaskan akan terdapatnya jarum-jarum Syiah didalam penyebaran kisah sirah yang seumpamanya, contohnya pergorbanan pemuda yang bernama Ali ra. mempertarungkan diri menggantikan Nabi :saw.

Semua pihak harus mengembeling tenaga kearah memperbetulkan kesahihan hijrah Nabi :saw. Buku teks sekolah, buku kanak-kanak, penceramah-penceramah harus memainkan peranan membersihkan kisah hijrah Nabi :saw agar ia kembali didalam bentuk asalnya. Barangkali pada permulaannya mungkin tidak menyeronokkan tanpa cerita labah-labah dan merpati, akan tetapi lama kelamaan mereka akan menerimanya. Ayoh, kita hijrahkan kisah-kisah ini.

Sumber:
http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=15352

.......................................................................................................................................

Saya mengakhiri bacaan artikel tersebut dengan penuh rasa kesedaran. Tentang pentingnya untuk kita merujuk kepada hadith-hadith sahih sebelum kita mentaklidkan kebenaran sesebuah sirah. Sesebuah sirah itu mungkin diubahsuai supaya menjadi lebih menarik atau menakjubkan (magical?). Namun, itu bukan lagi dinamakan sirah, tetapi mitos. Banyak lagi sirah-sirah lain yang boleh dikaji akan kesahihannya, berdasarkan hadith-hadith yang sahih.

Antara lain-lain perkara tentang peristiwa hijrah yang mungkin telah disalah anggap oleh sebahagian dari masyarakat kita…
· Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar telah berhijrah pada bulan safar, bukan muharam.
· Nama-nama bulan hijriah ini sudah pun sedia wujud sebelum peristiwa ini. Nama-nama bulan ini diberikan berdasarkan peristiwa-peristiwa lain. Cth: bulan Muharam dinamakan atas bulan ‘haram’ untuk berperang
(afwan, tak dapat provide lagi hadith yang menyatakan hal ini. Masih dalam pencarian. Tapi ia dari hadith yang sahih. Insya Allah saya akan post pada entri yang lain…)

Walau apapun, terlalu banyak iktibar yang kita boleh ambil daripada peristiwa hijrah ini secara umum. Kita boleh melihat betapa kuatnya tahap keimanan golongan muhajirin pada waktu itu. Mereka sanggup meninggalkan keluarga mereka, harta kekayaan mereka, demi menyahut seruan hijrah yang diarahkan Tuhan kepada mereka. Kerana dalam hati mereka, tersemat keyakinan yang sangat kuat terhadap Allah. Mereka amat yakin dengan pertolongan Allah dan mereka tahu bahawa Allah lebih mengetahui atas segala sesuatu. Dan ternyatalah, Islam berjaya bertapak di bumi Madinah.
Dan kita juga boleh melihat betapa kukuhnya pertalian persaudaraan yang terbina daripada kaum muhajirin dan ansar. Bagaimana mereka sering mendahulukan saudara mereka daripada diri mereka sendiri. Inilah seindah-indah ikatan.

Peristiwa hijrah ini boleh di’adapt’kan dalam kehidupan kita seharian. Mungkin bukan dari segi lughah hijrah itu sendiri. Tapi kita boleh menghijrahkah apa-apa sahaja dalam diri kita dari yang kurang baik kepada yang lebih baik. Binalah azam baru untuk menjadi insan yang lebih baik di ‘mata’ Allah SWT. Ambillah pengajaran pengorbanan kaum muhajirin itu pada diri kita. Kita juga boleh turut berkorban, meninggalkan segala kemanisan-kemanisan dunia demi mencapai kemanisan hidup di syurga tertinggi nanti, insya Allah.

Salam Ma’al Hijrah............

Wallahu a’lam….

1/02/2008

Ke manakah kita?

24 Zulhijjah 1428 / 2nd January 2008
10:02 am


Sebelum tertidur malam semalam, seperti biasa aku membaca doa sebelum tidur. “Allahumma bismika amuutu wa ahya – Ya Allah, dengan namaMu aku mati dan aku hidup” Kebiasaannya, orang selalu membaca ‘ahya wa amuut’ – aku hidup dan aku mati. Tetapi aku sengaja menterbalikkan bacaan tersebut. Dengan harapan selepas Allah mematikan aku seketika ketika tidur itu, Allah akan menghidupkan aku kembali.

Tetapi bagaimana jika sudah takdirku untuk tidak akan terjaga dari tidurku buat selama-lamanya? Aku mula berasa gerun. Bayangan-bayangan yang menakutkan menerjah. Apakah nasibku di dalam kubur nanti? Di akhirat? Akankah aku diundang masuk ke dalam syurga? Atau adakah aku akan diheret ke dalam neraka? Na’uzubillah… Cukupkah amalanku untuk aku menempah tempatku di syurga Allah itu?



Setiap yang hidup, pasti akan menemui matinya. Tidak satu pun makhluk Allah yang akan terlepas dari cengkaman maut. Dan kita semua memang sudah sedia maklum dengan hakikat ini. Dan kebanyakan kita mengetahui bahawa takdir kita tidak terhenti sehingga itu sahaja. Apakah tindakan kita untuk menghadapi kehidupan selepas itu?

Menyedari hakikat itu, aku terfikir apa amalan-amalanku sepanjang hidupku selama 21 tahun di dunia ini. 21 tahun. 252 bulan. 7560 hari. Mmm… Angka yang sangat besar. Bagaimana pula dengan amalanku? Adakah ia dapat menandingi umurku? Jika tidak, apa harus aku tindakanku seterusnya? Bagaimana jika umurku terputus sehingga itu sahaja? Sempatkah aku untuk mempersiapkan bekalan untuk kehidupan yang seterusnya? Pelbagai persoalan bermain-main di fikiranku di saat ini.

Allah telah mengurniakan kita dunia ini sebagai medan persinggahan. Dan Allah juga telah mengurniakan kita akal. Dengan nikmat akal ini, Allah menguji kita bagaimana kita menggunakannya untuk mewarnai dunia ini. Jika kita menggunakannya dengan baik, dunia ini akan menjadi baik. Jika akal ini disalahgunakan, maka dunia ini akan menjadi sebaliknya. Namun sudah menjadi tugas kita untuk menjadi khalifah di muka bumi ini, untuk mentadbir, mendamai, memurnikan dan apa sahaja yang boleh menjadikan bumi ini sebagai tempat terbaik untuk kita mengabdikan diri dan mengingati yang Maha Pencipta. Itu tujuan kita dihidupkan di dunia ini. Wajib untuk kita laksanakannya kerana ini adalah perintah Allah. Sudahkah tanggungjawab ini dilaksanakan? Mmm… mungkin ada yang terfikir… “Aku masih muda. Umurku masih panjang. Esok lusa atau tulat aku buatla….” Yakinkah kita akan masih bernafas dalam saat seterusnya. Aku ketika ini pun berasa bimbang jika aku tidak sempat untuk menyempurnakan hasil tulisanku ini. Nyawaku boleh ditarik bila-bila masa sahaja.

Kita sememangnya sedar bahawa kita tidak akan kekal hidup di dunia ini. Tetapi hakikatnya, segolongan dari kita mudah terpedaya dengan hiburan-hiburan yang sering menggoda hati kita. Terlupa kita dengan gambaran-gambaran syurga dan segala kenikmatannya seperti dalam firman Allah SWT…
“Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebajikan, bahawa untuk mereka syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga, mereka berkata, “Inilah rezeki yang diberikan kepada kami dahulu.” Mereka telah diberi yang serupa. Dan di sana mereka (memperoleh) pasangan-pasangan yang suci. Mereka kekal di dalamnya.” (2:25)

“…mereka kekal di dalamnya…” Ini janji Allah dan kita tidak mengendahkannya demi sebuah dunia yang bakal hancur. Bodohnya kita.

Tidak. Seharusnya kita sentiasa mengimpikan untuk menjadi seperti ‘mereka’ yang disebutkan dalam ayat tersebut. Tetapi, siapakah mereka? Mereka itulah ahli syurga. Siapa pula ahli syurga? Firman Allah lagi…
“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga…” (4:57)
“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik dan tambahannya. Dan wajah mereka tidak ditutupi debu hitam yang tidak dalam kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.” (10:26)
“Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhannya, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik), (yaitu) syurga-syurga ‘And, mereka masuk ke dalamnya bersama dengan orang yang soleh dari nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya, sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan), “Selamat sejahtera keatasmu kerana kesabaranmu.” Maka alangkah nikmatnya tempat kesudahan itu.” (13:22-24)

Pelbagai andaian dilontarkan. Aku juga pernah menjadi salah seorang daripada mereka yang menyangka bahawa setiap orang islam pasti akan masuk ke dalam syurga akhirnya selepas mendapat siksaan di neraka. Betulkah andaian ini? Setiap dari kita hanya akan menjejakkan kaki ke syurga hanya dengan rahmat dan izinNya. Tidak kiralah walau apa pun, tetapi seharusnya kita sentiasa berdoa dan berusaha untuk menjauhkan diri kita dari api neraka walaupun hanya bahangnya sahaja. Sesungguhnya gambaran azab neraka itu di luar jangkauan kita kepedihannya. Kumpulkanlah segala keperitan azab di dunia ini, azab di neraka jauh lagi pedih, sakit dan perit dari itu. Sentiasalah berusaha supaya kita ditempatkan terus ke dalam syurga tertinggi. Berdoalah supaya kita akan berada dekat dengan Allah pada hari itu. Dan lebih indah lagi apabila kita dapat melihat ‘wajah’ Allah SWT.

Oleh itu, sementara kita masih bernafas, laksanakanlah tanggungjawab yang diamanatkan kepada kita. Jangan tangguhkan sehingga umur kita sudah lanjut kerana kita tidak tahu di manakah penghujung hidup kita. Mungkin esok, mungkin lusa. Yang pasti, nyawa kita akan ditarik satu hari nanti. Janganlah kita menjadikan hidup kita di dunia ini sebagai tempat berlibur semata-mata. Ingatlah, kita hidup bermatlamat. Allah matlamat kita. Kepada Allah semua urusan dikembalikan.

Takutilah mati, kerana tidak cukup amalan kita untuk ditunjukkan kepada Allah nanti, bukan kerana tidak cukup menikmati hiburan di dunia.

Zikrul maut…. zikruLlah….

Wallahu a’lam…