2/13/2010

Sudikah Kau Menerimaku?

29th Safar 1431/13th February 2010

6:16 pm


“Dari Amir ul-Mukminin Abu Hafs ‘Umar ibn Khattab RA, katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi setiap seorang apa yang ia niatkan . Maka barang siapa hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.’ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis pertama yang dipetik dari kitab Hadits 40 – Imam Nawawi ini tidak terkira sangat besar nilainya. Kalau tidak masakan hadis ini yang dipilih oleh Imam Nawawi untuk menjadi pembuka kepada kitab Hadis beliau.

Setiap kali sebelum solat, kita berniat. Setiap kali sebelum berwudhu’, kite berniat. Begitu juga ketika sebelum bersahur, kita berniat untuk berpuasa. Niat itu sudah sebati dalam hidup kita. Usah diterangkan lagi apa yang dimaksudkan dengan niat itu. Jika ditanya, kepada apakah kita berniat untuk sesuatu amalan itu. Sudah tentu kita semua akan menjawab, tentulah kepada Allah!”

Tetapi, sejauh manakah kita telah meniatkan segala ibadat kita pada Allah? adakah hanya sekadar di lidah sahaja? Atau sekadar di pandangan mata sahaja?

Niat itu letaknya di dalam hati. Niat itu, Allah sahaja yang nampak dan tahu. Allah sahaja yang boleh menilai keihlasan hati kita menunaikan setiap ibadat itu.

Apakah pula itu ikhlas?

Baca drama di bawah ini:

Lelaki: Cik adik, marilah saya tumpangkan cik adik pulang ke rumah. Marilah bonceng motor saya ni.

Perempuan: Eh, tak mengapalah. Lagi pun seganlah. Nanti apa kata orang kampung.

Lelaki: Ala, apa yang nak dimalukan. Saya ikhlas nak menolong cik adik….

………………….

Itulah salah faham terhadap konsep ikhlas dalam masyarakat kita. Kononnya ikhlas kerana tidak mahu apa-apa balasan dari pihak cik adik itu. Namun, tidakkah kita terfikir, bolehkah kita mencampur-adukkan konsep ikhlas itu dengan maksiat dan dosa? Apakah natijahnya jika kita mencampur adukkan yang halal dan yang haram? Sedangkan kek oren yang halal itu, jika dititiskan dengan setitik arak (alcohol yang memabukkan) untuk menambahkan perisa juga telah menjatuhkan hukum haram kepada kek tersebut. Jadi, apa bezanya dengan kehidupan seharian kita? bagaimana pula jika kita telah mencampur-adukkan kehidupan seharian kita antara halal dan haram? Astaghfirullah… saya sendiri takut untuk membayangkan akibatnya.

Konsep ikhlas itu adalah apabila kita meniatkan sesuatu amalan hanya kepada Allah semata-mata. Dan bukan juga kita niatkan bersama perkara-perkara yang lain. Dan amalan yang dilakukan pula mestilah amalan yang mendatangkan ketaatan bukan kepada Allah. satu contoh yang boleh kita ambil pada zaman kini: “SATU KONSERT ROCK AMAL UNTUK MENGUTIP DANA UNTUK DIDERMAKAN KEPADA RUMAH ANAK-ANAK YATIM SAMBIL BERHIBUR!!”

Cubalah kita sendiri fikir, kerana apakah sebenarnya kita melakukan sesuatu amal itu? Adakah hanya kerana dasar kemanusiaan, atau kita ingin benar-benar mengecapai redha Allah?

Wahai sahabat, aspek niat ini bukan sesuatu yang ringan. Malah, ia sepatutnya di ambil berat. Kerana niatlah Allah akan menentukan kemana pengakhiran kita. Kerana niatlah Allah boleh meletakkan kita di syurga atau mencampakkan kita ke dalam neraka. Semua itu kerana niat. Ingatlah! Niat itu menentukan aqidah kita. Rosak aqidah kerana niat. Kerana niat yang sahih hanya terlahir dari lafaz syahadatain yang sah. Lafaz syahadatain yang sah yang lahir jika kita benar-benar melakukan persaksian bahawa TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH, DAN MUHAMMAD ITU UTUSAN ALLAH.

Namun, yang amat menyedihkan sekali, sudah ramai muda-mudi yang menjadikan hiburan sebagai Tuhan. Tidak mengaku? Cuba lihat sendiri. Berlandaskan apakah kita melakukan kerja-kerja seharian kita? Bagi yang bekerja, adakah kerana wang dan kekayaan? Bagi yang belajar, kerana hanya untuk mendapatkan 4 flat, or 1st class? Untuk menyenangkan hati pasangan? Untuk memuaskan nafsu sendiri? Jika benar kita semua buat kerana Allah, apakah buktinya? Dari hasil kerja-kerja kita itu, apakah yang telah kita sumbangkan kepada Allah dan Deen yang lurus ini? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Aku sungguh takut dengan ayat Allah ini:

“Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) mereka yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari rebut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedahpun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran.” (14:18)

Marilah kita berdoa supaya amalan-amalan kita diterima Allah untuk dijadikan modal perniagaan kita untuk mendapat untung di akhirat kelak. Marilah kita berdoa supaya Allah sentiasa melindungi kita dari hasutan-hasutan syaitan yang kerap kali merosakkan amal kita, hanya disebabkan satu bisikan halus yang mendorong hati kita jauh dari Allah. marilah kita sama-sama berlumba-lumba mengajar keampunan Allah yang seluas langit dan bumi itu.

Ya, Allah.. terimalah aku sebagai hambaMu yang taat setia padaMu….

Wallahu a’lam…