8/08/2009

Wasiat Buat Adik-adikku

17 Sya’ban 1430/8th August 2009
9:46 am


Sudah hampir dua minggu aku berada di Malaysia. Tidak tahu bila lagi aku akan berpijak lagi di bumi subur United Kingdom. Aku sudah mula merindui bumi itu. Kerana di bumi itulah, aku banyak belajar erti hidup sebenar. Di bumi itulah, aku mula mengenali diriku sendiri. Di bumi itulah aku mengenal cinta hakiki.


Teringat di saat-saat awal aku tiba di bumi itu. Aku keliru. Aku keliru siapakah diriku yang sebenar. Aku mula mencipta diriku sendiri. Aku ingin menjadi seperti ini. Aku ingin menjadi seperti itu. Semakin lama, semakin jauh aku tersasar dari matlamat penciptaan aku yang sebenar. Alhamdulillah, Allah masih menyayangi hambaNya ini. Aku dikurniakan sinar harapan yang tiada tolok bandingnya. Jika dikenang semula, aku bagaikan satu ciptaan baru yang dilahirkan semula di bumi ini. Aku dikurniakan peluang kedua, supaya tetap dalam jalan yang lurus ini.


Buat adik-adikku yang masih jauh di sana,
Janganlah kau persia-siakan peluang cerahmu di situ,
Kau mungkin tak tahu akan nilai dirimu sendiri,
Sesungguhnya dirimu itu bagaikan permata yang amat berharga,
Dan itu tugasmu untuk menggilapnya.


Wahai adik-adikku,
Kakakmu ini pernah satu ketika terlalai dalam perjalanan,
Hidupku terumbang-ambik, dik
Jadi, janganlah kau jadi sepertiku,
Sementara masamu masih panjang,
Kau gunakanlah masamu di sana untuk mencari sinar itu,
Yang banyak mengubah manusia biasa,
Menjadi manusia luar biasa

Adik-adikku,
Ingatlah tugasmu berada di sana,
Untuk mengejar ilmu,
Jadi kejarlah ilmu yang berguna,
Ilmu yang melalaikan, maka tinggalkanlah,
Kejarlah ilmu yang dapat membawa kau kepada Ilahi,
Itulah tugasmu yang sebenar


Wahai adik-adikku yang amat kusayangi,
Ingatlah, masa tetap berjalan
Masa tak akan menunggu kita,
Semakin lama kita leka,
Semakin jauh kita ditinggalkan,
Atau pun, semakin banyak peluang yang kita telah bazirkan,
Oleh itu, beringatlah wahai adik-adikku,
Peluang itu adalah nikmat Allah tanda cintaNya Dia pada dirimu, dik,
Balaslah cintaNya dengan cara yang sebenar-benanrnya.


Wahai adik-adikku,
Aku amat menyayangi kalian,
Oleh itu, sayangilah juga diri kalian,
Dan jangan biarkan dirimu itu terus terjebak ke lembah kelalaian.



Ingatlah pesanku, wahai adik-adikku sayang….



Wallahu a’lam…