2/22/2008

Hidayah itu Hadiah



15 Safar 1429 / 22nd February 2008
5:55 pm


Rasanya sudah lama benar blog ini tidak diupdate. Almaklumlah, exam pun baru saja habis. Serabut pula otak ni dengan subjek-subjek yang perlu habis dilulangkaji. Rasa marah dengan diri sendiri. Masalah procrastination memang menjadi habit kebanyakan orang melayu.selalu menngingatkan diri sendiri, “aku bukan sebarangan orang. Aku ini orang islam. Dan aku bukan sebarangan muslim. Aku impikan untuk menjadi kekasih Allah. Dan aku beramal dengan amalan kekasih Allah...” inilah yang menjadi motivation supaya dapat menjadi hamba Allah yang lebih berkualiti.

Pernah tak sesekali terdetik di hati kita pabila kita melakukan sesuatu yang ‘lagha’, kita akan berkata, “aish… nape la aku buat benda ni. Dah la tak datangkan manfaat pun pada aku. Buat aku lagi lalai ade la. Ish..ish… ish…” Kemudian, kita end up dengan masih meneruskan aktiviti yang tak berfaedah tu. Pernah tak? Ring a bell?

Yep. Memang banyak kali ayat itu terpacul dari mulut kebanyakan dari kita. Alhamdulillah, itu adalah satu petanda yang baik jika kita sedar akan aktiviti yang kita lakukan itu adalah satu perkara yang x mendatangkan manfaat atau pun melalaikan. Tetapi alangkah malangnya kita jika kita tidak mengambil sebarang inisiatif untuk memperbaikinya. Mengapa perkara sebegini boleh berlaku?

Fenomena ini mungkin Nampak kecil dan remeh. Tapi jika kita memandang dari sudut lain, ia mungkin adalah satu perkara yang tidak sepatutnya dipandang sambil lewa. Dalam contoh lain, cuba bayangkan kita sedang melakukan sesuatu dosa seperti menipu, melihat atau mendengar perkara yang tidak senonoh, mendedahkan aurat, dan macam-macam lagi. Kemudian ayat itu terlahir di hati kita. Apa sepatutnya tindakan kita selepas itu? Teruskan? Berubah?

Mungkin kini kita baru sahaja terkejut dari lamunan bahawa betapa seringkali sebenarnya kita sudah sedar akan kesilapan yang kita lakukan. Tapi sedarkah kita bahawa itu sebenarnya adalah satu HIDAYAH yang telah Allah campakkan dalam hati kita? Yep. Hidayah. Petunjuk. Bukankah ini yang selalu kita minta dalam doa kita setiap kali selepas kita menunaikan solat?

Sebenarnya fenomena seperti ini telah Allah sebutkan dalam al-Quran di mana petunjuk telah datang kepada mereka. Tetapi atas dasar cinta mereka kepada dunia (penyakit wahan) dan kerana kesombongan mereka, mereka menolak bulat-bulat petunjuk yang haq tersebut. Malah ada juga yang menentang sekeras-kerasnya. Hayati sahaja kisah Kaum Quraisy bila mana Rasulullah SAW datang kepada mereka dengan membawa kebenaran (petunjuk). Itu adalah satu petunjuk yang sangat nyata. Tetapi, kerana takut akan hilangnya pengaruh besar mereka dalam kabilah, mereka menolak kebenaran tersebut. Jika kita juga menolak kesedaran yang telah tercampak dalam hati kita itu, apa bezanya kita dengan Abu Jahal dan Abu Lahab? Dan bagaimana pula dengan sebahagian besar Bani Israel yang menentang ajaran yang diturunkan kepada Nabi Musa? Terlalu banyak lagi contoh-contoh penentangan yang kita boleh ambil kisahnya dari al-Quran jika kita ingin pelajarinya.
“Setelah mereka (kaum Nabi Syu’aib), kemudian Kami utus Musa dengan membawa bukti-bukti Kami kepada Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya, lalu mereka mengingkari bukti-bukti itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.” (7:103)

Na’uzubillah min zaalik. Kita tentu sekali tidak mahu kesudahan yang terjadi kepada Fir’aun dan pengikut-pengikutnya terjadi kepada kita. Kita tidak mahu menjadi golongan yang membuta kerosakan. Sekurang-kurangnya, kita tidak mahu melakukan kerosakan kepada diri kita sendiri.

Ingatkah pula dengan kisah Abu Lahab? Abu Lahab adalah seorang kafir, penentang keras Rasulullah yang telah dicelakakan oleh Allah di dalam surah al-Lahab. Satu surah khas untuk Allah mencelakakan Abu Lahab semata-mata. Dan juga sesiapa sahaja yang mempunya charachteristics sepertinya. Dimana Allah telah memberitahu kita apakah balasannya untuk orang seperti itu. Ya Allah, jauhkanlah kami dari azabMu. Jauhkanlah kami daripada menjadi penentang agamaMu. Janganlah Kau masukkan kami dalam golongan orang-orang yang Kau celakakan.
“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan benar-benar binasa dia! Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali sabut yang dipintal.” (111:1-5)

Jika kita baru sahaja membeli satu barangan elektronik, langkah pertama sebelum kita menggunakan barang tersebut adalah untuk membelek ‘manual’ yang disertakan dan kita belajar untuk menggunakan barangan tersebut dari ‘manual’ itu. Begitu juga dengan kehidupan kita. Ia ada ‘manual’nya. Apa ‘manual’ kehidupan kita? Betul, tepat sekali. Al-Quran. Itulah yang sepatutnya menjadi rujukan kita dalam kehidupan kita seharian. Selain dari itu, beramallah dengan sunnah Rasulullah SAW. Seperti di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, akhlak Nabi Muhammad itu adalah al-Quran. Oleh itu, wajarlah kita sentiasa menjadikan Rasulullah sebagai idola ikutan kita.

Walau apapun, bukan mudah untuk kita meninggalkan segala tabiat buruk yang sudah menjadi kebiasaan kita. Tambahan lagi tabiat itu telah pun menjadi kebiasaan kita sejak dari kecil lagi. Tetapi, di situlah kepentingan untuk kita sentiasa duduk di dalam bi’ah solehah (persekitaran yang baik) di mana budaya nasihat-menasihati menjadi satu kebiasaan. Insya Allah secara tidak langsung kita akan terdorong untuk menjadi seperti kalangan orang-orang yang soleh itu. Oleh kerana itu sangat penting untuk kita mendampingi dan bersahabat baik dengan orang-orang yang soleh.

Hidup kita memang penuh dengan ujian. Samada ujian itu berupa kepayahan atau kemewahan. Ingatlah, Allah tidak menurunkan ujian itu untuk kita tanpa sebarang sebab. Telitilah di sebalik segala kesenangan dan kepayahan kita itu. Di sana sentiasa terselit petunjuk-petunjuk yang Allah ingin sampaikan kepada kita. Lihatlah. Betapa sayangnya Allah kepada kita. Jadi tunjukkanlah rasa kasih dan syukur kita kepada Allah. Sesungguhnya Allah tidak memerlukan kita, tetapi kitalah yang sentiasa memerlukan Allah dan bergantung kepadaNya. Oleh itu, janganlah persia-siakan hidayah hadiah Allah itu dan ambillah langkah yang sewajarnya untuk memperbaiki gaya hidup kita.

Saya akhiri post ini dengan kata-kata seorang sister yang bagi saya penuh dengan makna tersirat. Diharapkan ianya dapat memberikan ilham kepada semua pembaca…

“Hidayah Allah itu umpama hujan… kena pada setiap tempat, penjuru dan ceruk. Allahlah yang mencampakkan hidayah itu.. setiap tempat akan kena pancaran hidayah itu. Dan tadahan bagi hujan hidayah itu adalah hati-hati manusia… terpulang pada kita, samada untuk membuka tadahan hati kita atau menutupnya… dan bilamana saat kita bertanya tentang hidayah Allah, itulah permulaan hidayahNya.”



Wallahu a’lam....