12/08/2007

Man Nahnu?

28 Zulqaedah 1428 / 8 December 2007
4:33 pm



Ku memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Dengan kerahmatanNya, aku masih diberi peluang untuk terus bernafas di muka bumi yang bersifat sementara ini. Tiada yang kekal di alam semesta ini, melainkan Allah, Tuhan sekalian alam. Aku menyedari hakikat bahawa aku telah diciptakan bersifat lemah. Namun itu bukan menunjukkan bahawa kelemahan Allah untuk tidak mencipta sesuatu yang sempurna. Namun, telah tertulis di dalam Al-Quran apa motif kita diciptakan…
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka member makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Maha Memberi Rezeki, Yang Mempunyai Kekuasaan Yang Tidak Terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh KekuasaanNya.” (51:56-58)

Allah telah menciptakan makhluk yang lemah ini supaya makhluk ini memohon pergantungan hanya kepada Yang Maha Sempurna, Allah SWT. Namun, masih ada lagi yang masih menyombongkan diri, enggan atau alpa untuk menunjukkan kesyukuran kepadaNya. Padahal kita semua telah diciptakan dari benda yang sangat hina. Dan kita juga akan kembali kepada Allah sebagai benda yang hina.
“Yang demikian itu ialah Tuhan yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan) –Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur.“ (32:6-9)

Aku muhasabah diri. Aku bertanya kepada diriku sendiri. “Siapa aku? Pelajar? Anak? Cucu? Sahabat?” Ya, benar. Semua jawapan itu benar. Tetapi, masih ada satu lagi jawapan yang paling tepat yang merangkumi semua jawapan-jawapan tersebut. Aku adalah seorang MUSLIM. Jika aku benar-benar muslim yang mengamalkan gaya hidup islam (amal islami), aku akan berjaya memegang semua tanggungjawab aku tidak kira sebagai seorang pelajar, anak, atau pun sahabat, biiznillah.

Aku sedar, kadang-kala aku sering alpa. Aku tersilap meletakkan ‘priority’. Apabila aku terlalu sibuk dengan kerja-kerja dunia (assignments), aku mengabaikan kerja-kerja ukhrawi dan dakwahku. Sehingga aku menjadi bimbang jika aku mengambil sedikit masaku untuk itu, aku tidak dapat menyelesaikan assignments pada waktu yang ditetapkan. Astaghfirullah. Beraninya aku meletakkan agamaku di tangga yang kedua di dalam senarai ‘priority’ku.

Semua yang berlaku di dalam kehidupan kita adalah dengan izinNya. Keberkatan masa kita juga adalah hadiah daripadaNya. Kita tidak mungkin tahu, seminit yang kita habiskan untuk duduk di dalam majlis ilmu, bersamaan dengan 10 minit jika kita duduk untuk menyelesaikan kerja kita. Asalkan kita benar-benar ikhlas. Allah sayangkan kita, jika kita benar-benar sayangkanNya. Allah tentu akan memberi ganjaran yang hebat kepada kita, jika kita sanggup meluangkan masa untukNya. Aku teringat satu ayat yang amat menyuntik semangatku...
“Wahai Nabi (Muhammad)! Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antara kamu, niscaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti.”
(8:65)

Satu ayat ini bagaikan memberi seribu harapan kepadaku. Ayat tersebut menggambarkan suasana di dalam perang pada zaman Rasulullah SAW (perang Badar kalau tak silap… afwan… boleh check balik…). Di mana Allah telah menjanjikan kemenangan kepada ‘orang mukmin’ semasa ‘berjihad’ dalam menentang ‘orang kafir’ yang berjumlah ’10 kali gandi lebih banyak’ daripada mereka. Asalkan mereka ‘bersabar’. Fenomena ini bukan sahaja boleh di’apply’ dalam zaman tersebut, malah kepada kita juga dalam meniti kehidupan seharian.

Fenomena ini boleh diandaikan seperti ini… Ada dua orang pelajar, seorang adalah islam, dan seorang lagi adalah orang kafir. Pelajar islam ini boleh menandingi pelajar kafir tersebut, yang belajar selama 10 jam sehari, dengan hanya belajar 1 jam sehari. Bestkan?? (Nisbah 1:10 ini hanyalah perumpamaan… menunjukkan Allah akan sentiasa membantu kita dan keberkatan masa itu milik Allah dan dihadiahkan kepada hamba-hambaNya yang layak. Tak nak ke termasuk dalam golongan yang layak tu?)

Namun, ingin diingatkan di sini. Kemenangan yang dijanjikan itu adalah hanya untuk orang yang betul-betul beriman dan sabar dalam jihadnya. Jika kita betul-betul mahukan kemenangan tersebut, kita perlu terus istiqamah dalam tanggungjawab kita sebagai khalifah untuk menyampaikan dakwah, dan juga sebagai ‘abid dalam beribadat kepada Allah SWT. Dan kita perlu terus bersabar dalam ‘medan pertempuran’ ini. Kita yakin dengan janji Allah. Letakkan priority kita di tempat yang sepatutnya.

Jika kita belajar selama 20jam sehari, tetapi kita tergamak melalaikan tanggungjawab kita sebagai ‘abid dan khalifah, meletakkan priority kita sebagai seorang pelajar semta-mata, adakah kita boleh dijamin untuk mendapat 1st class dalam studies kita? Tepuk dada, tanyalah iman. Memang kita berusaha untuk mencapai kejayaan tersebut. Tapi kita mungkin terlupa bahawa siapakah yang berkuasa untuk menentukan pengakhiran usaha kita. Jika kita tergamak untuk melalaikan kerja-kerja ukhrawi, semata-mata bertungkus-lumus untuk mengejar kejayaan duniawi, fikirlah… apa beza kita dengan orang kafir? Dan fikirkanlah juga, apa pandangan Allah terhadap kita? Layakkah kita untuk menerima rahmat Allah itu jika kita leka untuk menunaikan tanggungjawab kita kepadaNya, sebagaimana janji kita kepadaNya semasa dalam rahim ibu kita lagi?

Sekarang, marilah kita duduk sebentar… berfikir sejenak… siapakah kita…. Apakah tanggungjawab kita…. Adakah kita pelajar muslim… atau pun muslim yang belajar….

Jawapan terletak di tangan kita….

Wallahu a’lam…

(mohon maaf jika tersilap kata… terkasar bahasa… saya sayang semua… fillah…. Renung-renungkan….)