11/28/2007

Ini taqdirku....

A : Assalamualaikum, B. Kenapa kau tak ke kelas hari ni?
B : Apa nak buat… Allah dah tentukan untuk aku tak ke kelas hari ni.
A : Mmm… Kau dah siapkan assignment minggu lepas?
B : Belum lagi.
A : Aik? Kan assignment tu senang je. Kenapa kau masih belum siapkan?
B : Apa nak buat… Allah dah tentukan aku ni pemalas.
A : Mmm… Tak apalah. Nanti aku bantu kau. Jom kita pegi study circle yang Kak C buat tu.
B : Nak buat apa? Nak jadi baik? Takpe la. Kau pegi la sorang. Aku ni takkan jadi baik punye. Apa nak
buat… Allah dah jadikan aku masih macam ni.
A : Mmmmmmmmmmmmmmmmmmmm………………………….


Mmm…. Biasa tak kita terdengar kata-kata begini? Apa pendapat anda semua? Dulu, mungkin saya akan mendiamkan diri sahaja apabila ada di antara rakan saya memberi pelbagai alasan begini. Tapi sekarang, mungkin saya berasa sedikit sedih. Sedikit kesal. Dan sedikit marah. Tergamak untuk mereka mengeluarkan kata-kata seperti itu. Menjadikan Allah sebagai alas an di atas kelemahan diri sendiri. Tidakkah mereka kenal siapa Allah sebenarnya??

Allah ialah Tuhan Maha Pencipta. Dialah yang menciptakan manusia dan seluruh makhluk di muka bumi ini. Kita ini adalah hamba ciptaanNya. Tiada siapa lagi yang lebih memahami ‘ciptaan’ selain dari Penciptanya sendiri. Pernahkah anda melihat seorang jurutera membina sebuah bangunan, hanya untuk melihatnya roboh? Sungguh tak logic. Itulah hakikat pencipta. Pencipta menjadikan ciptaanNya untuk ciptaanNya sentiasa berada di dalam landasan yang betul. Namun, untuk berada di atas landasan itu, kita haruslah berusaha.

Terlalu banyak salah faham mengenai konsep ‘beriman dengan qada’ dan qadar. Ramai yang berfikir bahawa menerima seadanya segala nasib dan takdir adalah sebahagian daripada beriman dengan qada’ dan qadar. Ya, memang benar kita harus menerima segala yang berlaku dalam kehidupan kita, sebagai tanda kita yakin dengan pertolongan Allah, dan terdapat hikmah sebalik yang berlaku. Tetapi, yang dimaksudkan di sini adalah menerima bulat-bulat tanpa sebarang usaha untuk memperbaikinya.

Terdapat 4 perkara yang sudah tertulis di dalam takdir kehidupan seorang manusia sejak dia masih di dalam rahim ibunya…
1. Rezeki
2. Ajal kematian
3. Amalan
4. Nasibnya samada hidup susah atau senang

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan ketetapan ini? Beriman dengan qada’ dan qadar bermaksud percaya bahawa Allah telah menetapkan ‘kaedah’ pada segala apa yang berlaku di muka bumi ini. Dan ketetapan ini ditulis berdasarkan ‘kehendak’ dan ‘ilmu’Nya.

Apa pula yang dimaksudkan dengan ‘kehendak’ dan ‘ilmu’ ini? Ketetapan berdasarkan ‘kehendak’ adalah seperti undang-undang dan sistem alam ini berfungsi. Sunnatullah. Ketetapan di mana seluruh manusia terpaksa tunduk kepadanya. Jika kita lapar, kita perlu makan. Jika kita mengantuk, kita perlu tidur. Jika satu tumbuhan itu kering, ia memerlukan air. Begitulah ketetapan yang dimaksudkan.

Apa pula ketetapan berdasarkan ‘ilmu’-Nya? Ketetapan inilah yang sering disalah tafsirkan oleh kebanyakan dari kita. Ketetapan yang dimaksudkan di sini adalah perkara-parkara yang dituliskan di dalam ‘lauh mahfuz’ berdasarkan sifatNya yang Maha Mengetahui tentang apa usaha kita semasa di dunia. Tak faham?? Mari saya terangkan dengan lebih jelas.

Andaikan telah tertulis dalam kitab takdir si B untuk tidak berjaya dalam pelajarannya (na’uzubillah min zalik). Namun, apa yang tertulis ini bukanlah telah ditetapkan hanya mengikut kehandak-Nya. Tapi, apa yang tertulis ini berdasarkan ilmu-Nya yang mengetahui sejauh mana si B ini berusaha untuk mencapai kejayaan dalam pelajarannya.

Dalam contoh lain, andaikan seseorang sedang memandu. Jika dia berfikir… “Buat apa aku nak ikut peraturan jalan raya… buat apa aku nak pandu dengan cermat… kalo Allah dah tetapkan aku nak accident, aku pandu secermat mana pun, aku akan accident jugak.” Mmm… memang selalu kita dengar kata-kata begini. Apa yang tertulis di dalam takdirnya samada dia akan selamat atau tidak. Namun, itu semuanya tertulis di bawah pengetahuanNya, sejauh mana dia mengambil langkah berjaga-jaga semasa sedang memandu.
“…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (13:11)

Namun pun begitu, manusia hanya mampu merancang. Allah sahaja yang berkuasa menentukan pengakhiran kita. Kerana dengan ilmuNya juga, Dia mengetahui apa yang lebih baik untuk kita.
“…tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (2:216)

Apa-apa pun, janganlah kita lupa akan sifat-sifat Allah. Maha Lembut, Maha Penyayang, Maha Pemurah, Maha Adil, Maha Halus, Maha Bijaksana, Maha Waspada, Maha Pemberi Rezeki, Maha Pengurnia Keamanan… Segala ketetapan ditulis diatas sifat-sifatNya yang mulia. Tidak mungkin untuk Allah menetapkan sesuatu yang tidak baik untuk ciptaanNya, kecuali kita sendiri yang terlalu lalai untuk berusaha mencapai takdir yang lebih baik.

Oleh itu, kita sebagai manusia biasa, yang tidak pernah lepa daripada melakukan kesilapan, sentiasalah bertaubat kepada Allah, bersyukurlah dengan segala nikmat yang telah diberi. Sentisalah berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi dalam hidup kita. Dalam iman, amal dan juga duniawi (asalkan tidak bertentangan dengan syara’). Letakkan segala pergantungan yang sepenuhnya kepada Allah. Kita hanya mampu berusaha. Allah sahaja dengan sifat pemurahNya, yang lebih mengetahui kesudahan yang etrbaik buat kita. Sama-samalah kita berdoa, semoga kita mendapat ‘husnul khatimah’ (pengakhiran yang baik). Aameen…

WaLlahu a’lam…



11/10/2007

Cobaan.......


27 Syawwal 1428 / 7 November 2007
11:29am


Ku menyusuri jalan ke destinasiku. Hampir setiap hari aku akan melalui jalan yang sama. Dan hampir setiap hari juga aku akan menyeberangi taman permainan bersebelahan Springfield School itu. Entah mengapa, hati ini seringkali terhibur setiap saat kumelihat pelbagai ragam kanak-kanak bersuka-ria, bergelak-tawa. Ada juga yang ditemani oleh ibu-bapa mereka. Bagiku, tempat ini adalah salah satu medan untuk mengeratkan hubungan. Alangkah riangnya mereka.

Ku mengimbau kembali zaman kanak-kanakku. Adakah aku seriang mereka? Aku mula terkenang, zaman kanak-kanakku penuh warna-warni. Tidaklah hanya dipenuhi dengan gelak-tawa semata-mata. Tangisan juga sering menemani. Pernah juga terkeluar dari mulut ini kata-kata kesal… “Malang sungguh aku…”

Masa berlalu dengan sangat pantas sekali. Aku meningkat remaja. Pada waktu itu, aku banyak belajar sesuatu yang baru. Pada waktu itu, aku mempunyai terlalu banyak kemahuan. Kerap kali aku memberontak apabila aku gagal mencapai kemahuanku itu. Sekali lagi aku menyalahkan takdir.

Hari demi hari, umurku makin meningkat. Walaupun umurku masih lagi di ambang kedewasaan, namun sudah banyak yang telah kulalui dan kupelajari. Aku mulai sedar dengan hakikat kehidupan. Kadang-kala aku tersenyum sendiri, apabila mengenang kembali yang aku pernah hampir berputus harapan tatkala ‘ujian kecil’ yang menimpaku sewaktu ketika dahulu. Apalah sangat ‘dugaan berat’ yang kurasakan ketika itu untuk dibandingkan dengan apa yang kusering alami ketika ini. Pada ketika ini, lebih banyak lagi perkara yang perlu aku fikirkan. Termasuklah soal masa depanku. Sungguh berat kurasakan bebanan ini.

Seringkali aku mengeluh, tatkala dugaan datang menimpa. “Mengapalah aku yang lemah ini yang dipilih untuk menerima dugaan seberat ini…” Kemudian, aku terdiam sejenak. Astaghfirullah… Lupakah aku… “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya (2:286)” Apa yang perlu aku lakukan hanyalah kesabaran dan pergantungan 100% kepada Allah. Dan juga keyakinan yang kukuh bahawa pertolongan Allah akan datang kepada hamba-hambaNya yang bertawakal (3:122). Apalah sangat dugaan ku ini jika ingin dibandingkan dengan penderitaan RasuluLlah dan para sahabat. Sabar menahan cacian dan kejian. Tabah menghadapi sebarang tentangan hebat demi menegakkan kalimah syahadah itu. Bekalan mereka hanyalah ketabahan, ketaqwaan, tawakal dan usaha yang tak pernah putus. Itu sahaja rahsia mereka. Namun dengan bekalan itulah juga Islam berjaya dibawa ke mata dunia satu ketika dahulu.

Dan bagaimana dengan aku? Baru sahaja diuji dengan ujian yang kecil, aku sudah mengalah.

Astaghfirullah….

Tawakkaltu ‘alaLlah….

Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata ‘Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun’ (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk…” (2:155-157)

‘Inna lillahi wa inna ilaihi raajiun…


11/05/2007

Mari bersamaku...

24 Syawal 1428 / 5 November 2007
7.03am

Alhamdulillah…. Alhamdulillah…. Alhamdulillah…. Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Aku masih dapat menikmati nikmat yang tidak terhingga daripadaMu. Setiap nafas yang kuhela, semuanya atas rahmatMu semata Ya Rahman. Namun, nikmat yang paling agung, adalah aku masih ingat bahawa tanggungjawabku untuk masih berpegang kepada 2 syahadat itu. Laa ilaaha illAllah, Muhammadurrasulullah… Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu adalah utusan Allah. Aku sentiasa berdoa, moga aku tidakkan terpesong dari kalimat itu, insya Allah.


Hatiku tergerak untuk mencoret sesuatu di lembaran ini. Amat banyak perkara yang mengganggu fikiranku sejak kebelakangan ini. Mengapa aku berasa tidak tenang? Mengapa hatiku senantiasa dirundung mendung menunggu hujan ribut?

Pabila aku pandang kembali ke belakang, kulihat kembali apa kesilapan yang telah kulakukan. Terlalu banyak. Aku seringkali alpa. Tanggungjawab aku bukanlah hanya beribadat memuji Allah semata-mata. Aku tahu, Islam itu bukanlah hanya untuk diri aku sendiri. Islam itu adalah untuk umat sejagat. Ummat di seluruh dunia. Itu tugasku. Untuk membawa Islam itu ke hati semua manusia.

Aku ingat itu. Namun apa yang telah kulakukan untuk menjalankan tanggungjawabku itu? Mungkin aku tidak mampu untuk berdiri di atas bukit Safa, menyeru kepada seluruh manusia, mengajak kepada Islam. Tidak, aku tidak mampu untuk melakukannya. Jadi, apa yang boleh aku lakukan?

Kufikir kembali. Jikalau aku berdiri di tepi jalan, bolehkah mereka meneka bahawa aku adalah muslim? Jikalau aku bertutur, bolehkah mereka meneka bahawa aku seorang muslim? Jikalau aku bergaul, adakah mereka dapat meneka bahawa aku seorang muslim? Astaghfirullahal’aziim…. Terlalu banyak cacat celaku. Mana mungkin aku dapat mengajak orang kepada jalan ini, jika diriku sendiri tidak mencerminkan bahawa aku berada di atas jalan yang benar?

Ya Allah, kurniakanlah aku hidayah dan taufikMu. Kau kurniakanlah aku kekuatan. Kau gerakkanlah aku. Aku mahu berhijrah. Namun aku tidak mahu berhijrah seorang diri. Aku memohon kepadaMu, Ya Rabb. Lembutkanlah lidahku. Elokkanlah perlakuanku. Moga ramai akan mengikutku bersama, berhijrah mengejar redhaMu….